~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Thursday, August 28, 2008

Maruah Merdeka


Merdeka itu
yang kurentasi melaluinya
adalah merdeka yang berdarah
merdeka itu adalah merdeka yang dijajah
merdeka itulah merdeka yang hilang
dalam laungan kemerdekaannya
yang usang dan tercarik
oleh belati kemajuan.


Merdeka yang berdarah hatinya
ditusuk tingkah anak warisan
yang terkoyak pakaian bangsanya - Melayu.


Merdeka yang hilang maruahnya
yang luka jantungnya
yang terkulai semangatnya
yang tercalar jiwanya
adalah merdeka hari ini
yang dilukai dan dicalar
oleh tangan anak bangsanya sendiri.


Merdeka hari ini
adalah kemerdekaan yang usang
yang kian hilang di dalam laungan kemerdekaan
yang terjajah di tanah sendiri
kemerdekaan yang terpenjara
dalam belenggu kekalutan
laungan penuh kepalsuan.


Merdekakah kita?

Thursday, August 21, 2008

Pencarian Tanpa Noktah

sejujurnya aku memang meminati dunia sastera dan seni, juga cukup mengagumi bahasa ibunda. aku yakinkan diri.. aku dilahirkan dengan jiwa yang satu ini. bagiku dunia yang satu ini tidak salah. dunia ini putih dalam warnanya sendiri.

tapi tika ingatan ini menerjah lewat masa kecilku...segala yang tergambar tentang dunia ini sudah cukup menggoyahkan diriku. aku disuakan dengan kepapaan, kedunguan, kemelaratan, kebodohan dan pelbagai kenegatifan dunia ini. sehingga kadangkala aku jadi ragu untuk meletakkan sederap langkahku melewati garis sempadan ke dunia khayal ini (sejujurnya itulah tafsiran yang diajarkan padaku yang sekecil anak, saat itu).

mungkin kerana aku dibesarkan dalam lingkungan manusia-manusia yang berajakan sains dan teknologi menjadikan aku sekerdil-kerdilnya tika itu. bukan maksudku bidang sains itu satu simpang yang kaku tapi aku yang sedangkal usia kecilku tika itu disuakan dengan dunia sains yang penuh jaminan. sedang dunia yang satu lagi (yang makin dekat dengan hatiku) adalah satu dunia yang malap. itulah yang aku faham hasil dari lontaran bibir-bibir tua yang telah terlebih dulu makan garam dariku.

lalu tatkala aku yang tak betah berada dalam genggaman ‘dunia realiti’ itu... lantas mengheret langkahku satu persatu atas nama tekad ke tangga menara Universiti Malaya. kuteruskan pencarianku ke singgahsana Akademi Pengajian Melayu.

di sana kuteruskan pencarian dalam pertapaan yang penuh keterasingan. kugenggam tekad... aku harus terus berdiri untuk membuktikan ‘dunia khayal’ ini mampu menjadikan aku seorang manusia yang sebenar-benarnya manusia. seorang manusia yang tidak mati jiwanya dan tidak hitam hatinya tika melangkah masuk ke dunia yang penuh cabaran.. tatkala meneruskan langkah ke alam kerja yang sukar menjanjkan suatu kepastian.

tapi bila kematangan menjengah.. aku akur. hidup ini perlu saling bergantungan. tidak ada dunia khayal atau fantasi. tidak ada dunia realiti atau nyata. apa saja dunia kita... di mana saja kita berlari, berdiri, berjalan, merangkak atau bertatih.. dan di mana sahaja dunia yang kita singgahi.. yang pasti ianya tidak akan sempurna tanpa kedua-duanya.

cuma ada masa-masanya aku ingin lontarkan rasa terkilan ini jauh dari hati bila merenungkan betapa egoisnya tanggapan yang dilemparkan pada dunia kecilku ini oleh mereka yang mendabik dada berpijak pada dunia realiti yang penuh kesempurnaan.

dan aku akan terus mencari, mencari dan terus mencari... kesempurnaan kecil dalam dunia kecilku ini yang dihiasi dengan setulus ketenangan. biarlah hanya aku yang mengerti betapa indahnya dunia ini dalam tafsiranku sendiri. juga tentunya takkan kulupakan dunia yang satu lagi kerana kedua-duanya amat diperlukan untuk saling melengkapi sebuah ‘kesempurnaan’.

Wednesday, August 20, 2008

Bicara Rindu

Kiranya dapat ku rungkaikan
bicara rindu ini menjadi satu
kiranya dapat kuhamparkan
resah rindu ini...
menjadi selimut malammu
akulah penunggu malam
yang paling setia.


Kiranya dapat ku ungkapkan
irama rindu ini menjadi lagu
kiranya dapat kutenun sutera rindu ini
menjadi selendang kasihmu
akulah penanti abadi yang tak pernah jemu
mengusung rindu di hujung pertemuan.


Andainya rindu itu penebat sebuah luka
andainya rindu itu penawar sebuah tangis
akulah perindu itu yang mengukir bahagia
di pintu kasihmu...


Namun akulah perindu walang
mengemis kasih di hujung air mata
mencipta rindu di bayang pertemuan
dan membelai potretmu di persada mimpi.

Tuesday, August 19, 2008

CERITA Puteri KecilKu

dari jauh kulihat dia berlari menuju ke arahku. laju langkah kecilnya membuatkan aku tersenyum sendiri. aku tetap berdiri di situ.. menanti huluran dan pelukan tangannya seperti selalu. sebaik sampai di depanku, tanpa berlengah tangan kecil itu terus memelukku erat seakan tidak mahu melepaskan.

bening wajah itu mendongak memandangku. mata kami lalu bersatu dalam diam. kuperhatikan mulus wajah di depanku itu. ada kesayuan dalam sinar matanya. ada sendu yang bermukim di bibir kecil itu, lantas melontarkan kata..

“cikgu.. kenapa cikgu tak ajar puteri lagi?”

“puteri nak belajar dengan cikgu. bila cikgu nak ajar puteri lagi?”

wahai puteri kecilku.. apa yang harus kukatakan padamu yang masih belum mengerti rencah hidup ini. apa yang harus kubicarakan pada anak sekecil itu. dayaku terantai. lidahku kelu. yang termampu.. kupandang wajahnya dengan jawapan sebuah senyuman.

“puteri nak belajar dengan cikgu ye? nanti cikgu ajar ye tapi bukan sekarang...”

puteri kecilku itu terpaksa kuberikan jawapan sebuah pembohongan. bukan hanya memujuk hati kecilnya tapi juga untuk memujuk hatiku sendiri.

pelukannya terurai tapi matanya masih lagi menagih harapan dariku. perlahan.. puteri kecilku itu mengatur langkah kecilnya meninggalkan aku yang masih setia memerhati langkahnya. dan tanpa kusangka, puteri kecilku menoleh memandang ke arahku.. menghadiahkan senyuman kecilnya dan meninggalkan aku dengan lambaiannya. dari jauh kulihat senyum dan tawa puteri kecilku itu bersama gelak dan tingkah kawan-kawannya.

Saturday, August 16, 2008

Laut Zaman Pentas Kehidupan


Dari laut zaman

dia melentur arus kebimbangan
dalam gelora rasa
yang tak pernah beriak tenang.


Dari pentas kehidupan
dia memamah senja usia
dalam hambatan memori
yang tak pernah bersinar gilang.


Antara laut zaman dan pentas hidup
dialah burung yang mencari biru langit
dan putih awan
namun tak pernah terjangkau
oleh sayapnya yang patah
berteman ribut yang gersang.


Tinta: 29 Mac 2001 (8.30 mlm)

Friday, August 15, 2008

Sekalung Terima Kasih

di sini keakraban yang terjalin dalam bahasa tanpa suara yang bertinta kata-kata di alam maya cukup untuk menjadikannya sebagai satu jalinan yang cukup indah. bukan rupa jadi ukuran.. jua bukan pangkat atau harta jadi nilaian. di sini.. sedetik berbicara serasa sepurnama hati telah disentuh. biarpun tiada salam jemari bertaut, sekadar ucap salam mengerat rasa telah tanpa sedar menggamit senyum yang berbunga di hati. betapa jalinan-jalinan ukhuwah begitu mudah terbina.. semoga ianya berkekalan selamanya.

lalu sekalung terima kasih.. Qasih ucapkan kepada akak yang sudi memberikan..


It has been done according to the following rules:

1. The winner may put the logo on her blog.
2. Put a link to the person you got the award from.
3. Nominate 5 blogs.
4. Put links to the blogs.
Leave a message for your nominees

*penghargaan ini ingin Qasih kongsikan dan berikan pada:

1. bash
2. OD
3. divahantu
4. azza
5. kak kamsiah


juga pada kamezaim.. terima kasih kerana mengingati...



It has been done according to the following rules:

1. The winner may put the logo on her blog.
2. Put a link to the person you got the award from.
3. Nominate 7 blogs.
4. Put links to the blogs.
Leave a message for your nominees

*penghargaan ini ingin Qasih kongsikan dan berikan pada:

1. bash
2. OD
3. divahantu
4. azza
5. kak kamsiah
6. kutaksempurna
7. akak


dan terima kasih azza... yang Qasih hargai...




juga kak kamsiah... terima kasih kerana sudi memberi...




Sunday, August 10, 2008

Indah Tapi Menyakitkan...

“Kasih sayang adalah pengorbanan yang tidak akan ada akhirnya”

menyayangi dan disayangi adalah satu ANUGERAH yang paling indah dan istimewa. namun seringkali apabila kita menyayangi seseorang... terlalu amat mudah untuk kita sakiti hati orang yang menyayangi kita atau insan yang kita sayangi. dengan sedar atau tanpa sedar... yang indah akan terlalu menyakitkan bila sentuhannya kian jauh... bila kehangatannya kian sirna.

Friday, August 8, 2008

Harga Sebuah Kenangan

seketika.. bila merenung kembali hari-hari yang telah dilalui, bagaikan kehilangan kata-kata untuk menyusun urutan-urutan ingatan menjadi sebuah cerita yang boleh diulang tayangkan di ruang ingatan. segalanya kosong.. seperti semalam tak pernah wujud dalam hidup seorang AKU. lalu...

tika perlahan kubuka pintu ingatan
yang kutulis dalam diari peribadi
dengan segaris ragu
tika kuselak helaian demi helaian
yang tercatat hanya KOSONG!

percaya atau tidak.. yang paling berharga dalam hidup seorang manusia adalah KENANGAN. lebih bernilai daripada harta segunung atau wang bertimbun.

tiba-tiba ingatan ini melayang dan singgah pada seraut wajah.. TOK WAN. seorang lelaki yang cukup kukagumi kehadirannya. semasa hayatnya, dia sering bercerita padaku tentang masa silamnya.. suatu nilai yang tidak ternilaikan.. tok wan punya ingatan yang cukup utuh. itulah harta paling berharga padanya dalam kekaburan mata yang menjadi teman akrabnya.

di penghujung hayatnya yang masih tersisa.. tok wan tak pernah lagi melangkah jauh dari halaman rumah... langkahnya cuma bertawaf keliling rumah atau setidaknya mendengar kekalutan dunia dari kaca tv atau corong radio. lalu tika sesekali aku bersimpuh di sisinya (dalam waktu yang sedesas nafas), aku didendangkan dengan cerita-cerita masa lalunya.. berlagukan senyum yang tak pernah lekang di bibir tua tok wan.

sekilas tika kupandang wajah tua itu.. tuturnya satu persatu bagaikan ingin menghambat putaran waktu agar setiap kenangan yang tersimpan kukuh dapat diuraikan satu demi satu. dalam sinar mata tok wan yang kian pudar, kulihat betapa setiap ujaran kenangan itu bagaikan talian hayat yang harus digenggam erat. dalam senyum dan diam tok wan dan dalam getar suara tuanya dapat kufahami...

tika usia bertandang senja
tika mata tak lagi bercahaya
tika langkah tak lagi semaju dulu
yang berharga bukan lagi wang berjuta
yang bernilai bukan lagi pangkat segala
yang tak ternilai adalah kenangan
tiada cagaran...
tiada bayaran...
hanya sebuah jaminan
hidup ini masih punya nilainya
selagi ingatan masih punya KENANGAN...

(Al-Fatihah buat Tok Wan tersayang.. semoga rohnya sentiasa dicucuri dengan rahmat dan dalam lindungan-Nya sentiasa. Amin..)

Monday, August 4, 2008

Doa Seorang Kekasih...

Bismillah....

Tuhanku
seandainya telah Kau catatkan dia milikku
tercipta untukku
dekatkanlah hatinya dengan hatiku
titipkanlah kemesraan antara kami
agar kebahagiaan ini kekal abadi
seiringkanlah kami
mengharungi kehidupan yang luas ini
ke tepian yang sejahtera.

Tetapi Tuhanku Yang Maha Pengasih
seandainya telah Kau takdirkan
dia bukan milikku
bawalah dia jauh dari pandanganku
luput dari ingatanku
dan peliharalah diriku dari kekecewaan
serta Tuhan Yang Maha Mengerti
berilah aku kekuatan
melontarkan bayangannya ke dada langit
hilang bersama senja nan merah dan kegelapan awan
agar aku bisa bahagia walaupun tanpa drinya.

Dan Tuhan Yang Tercinta
gantikanlah yang telah hilang
tumbuhkanlah kembali yang telah patah
meskipun tidak sama dengan dirinya
biar sekuat manapun aku mencintai dirinya
kupohon agar Tuhan melenyapkan perasaan ini
sekiranya kau ditakdirkan bukan untukku
dan bukan milikku.

Tetapi...
seandainya engkau ditakdirkan untukku
kumohon agar takdir memperkuatkan lagi
cintamu padaku
seperti mana kuatnya aku mencintaimu.

Andainya kita ditakdirkan bahagia
bersyukurlah...
andainya kita disuratkan kecewa
bersabarlah...
sesungguhnya kita di bawah kuasa Yang Esa.


(aku benar-benar lupa di manakah alunan kemerduan doa ini pernah kudengar, namun... betapa indahnya bait-bait doa yang penuh ketulusan, kepasrahan dan keredhaan yang segalanya adalah dari-Nya dan untuk-Nya. Subhanallah...)

DEWASAnya Sebuah PENGALAMAN

kita sering disuakan dengan ungkapan.. “pengalaman mendewasakan”. tapi bagi diriku.. dewasanya sebuah pengalaman, itulah yang mendewasakan seorang manusia.. mematangkan seorang insan.

apa bezanya??

PENGALAMAN MENDEWASAKAN..

bagiku .. pengalaman itu menjadikan seseorang lebih dewasa. lebih tepat menjadi pengajaran agar tidak mengulangi kesilapan yang sama untuk kali yang kedua dan seterusnya. SATU UNGKAPAN KLISE! pengalaman yang memalukan, memualkan, hitam putihnya sebuah pengalaman... sebenarnya menjadikan kita manusia, mungkin serik atau lebih kuat untuk meneruskan hidup ini yang belum tercatat tapi telah termaktub dalam janji Tuhan yang PASTI.

DEWASANYA SEBUAH PENGALAMAN..

ungkap mindaku dan bisik fikir pada logik akal (tafsiran seorang insan yang masih Hijau dengan Hitamnya kehidupan) ... dewasanya pengalaman adalah dinilai dari tahap demi tahap dalam hidup ini dengan renung dan fikir yang penuh kejujuran dan kesedaran.

sememangnya diakui.. pengalaman mendewasakan tapi dewasa yang bagaimana? dewasa dengan rasa malu.. dewasa dengan rasa bangga.. atau dewasa yang bagaimana sebenarnya? terpulang.. tepuk fikir tanya minda!

.. dan bagaimana pula dewasanya sebuah pengalaman? atau dengan kata lain.. bagaimana sebuah pengalaman itu dikatakan matang, bukan ‘keanak-anakan’ lagi?

bila kita meletakkan selangkah tapak ke depan, kita akan menjadi lebih baik dari sebelumnya. semestinya tidak sesekali mengulangi kesilapan yang sama apalagi mengulangi kesilapan orang lain.

antara logik akal, rasional fikir dan rintih hati dan dijurikan dengan minda yang positif serta dihakimi dengan semangat yang optimis... maka lahirlah sebuah pengalaman yang dewasa.. dewasa dengan kesedaran.. dewasa dengan keberanian untuk mengakui kesalahan dan dewasa dengan penuh ketenangan serta rasa syukur kerana masih bernafas untuk meneruskan hidup ini yang tidak sesempurna mana.

Saturday, August 2, 2008

Cerita Seorang Aku...


Tika kukutip titis-titis kenangan
yang jatuh ke riba
kusimpul secarik rasa
yang kian lusuh
lalu kugenggam senafas rindu
dalam ceraian waktu
yang kian terpisah di laluan masa.

Di sini tika berpaling kembali
mencantum cerita semalam menjadi satu
mencari titik pemula, sebuah kisah seorang aku
sebuah cerita sepurnama lalu
pantas diri tertunduk pilu
hati tertawan sendu
rasa terpana membisu.

Hari ini tatkala seorang aku
yang dulunya hampir rebah
di laluan takdir
lalu bangkit membina jalannya sendiri
ternyata masih seperti dulu
menyulam harap di hujung pelangi
agar sepi tak lagi bertandang
dan esok tak lagi sendiri
melakar kenangan
agar senafas rindu
bisa menghembuskan
selaut bahagia...

MotivaSI dan AKU

aku gemar menjelajah ke dalam dunia motivasi menerusi buku-buku motivasi yang tak pernah surut di mana-mana cermin kedai atau kaca tv. bukanlah bermakna aku perlukan lebih motivasi untuk terus hidup. juga bukan bermakna aku terlebih motivasi sehinggakan terlebih masa untuk menjadi pendengar setia pada setiap masalah yang wujud di dalam dunia.

cuma sesekali bila kesedaran menjengah dalam diri.. dan bila akal fikir mula berdetak.. aku ajukan sebaris kata pada diri sendiri.. yang sebenarnya pernah kudengar dendangannya di antara buku-buku motivasi yang pernah kujamah dan kumamah lumat isinya.

“apa yang kita cari dalam hidup ini sebenarnya..”

“benarkah kita benar-benar bahagia..”

“bilakah saatnya kita benar-benar bahagia..”

“sebenarnya.. kita bekerja untuk hidup atau hidup untuk bekerja...”

sebaris kata-kata yang sebenarnya sering kita pandang dengan ekor mata. soalan remeh yang langsung tidak penting untuk dimuatpadatkan dalam otak fikir kita. itulah anggapan kita atau tanggapan yang sering kita hamparkan bila persoalan tentang hidup menjengah rutin harian.

apapun... kita di sini, di pentas yang maha besar ini.. kita sering lupa. aku juga sering lupa, terlupa atau buat-buat lupa yang hidup kita ini tidaklah sepanjang mana. dan masa yang diberikan pada kita untuk mencanai sebuah kesedaran sebenarnya tidak sesingkat mana.

untuk terus hidup aku perlukan ingatan agar tidak tersilap melangkah. dan untuk ingatan itu, aku perlukan seseorang yang boleh berjaga tika aku terlena kerana..

dalam sedar kita sebenarnya terlena
dalam lena kita sebenarnya terjaga
terkadang antara mimpi dan impian
batasnya cuma segaris yakin.

Friday, August 1, 2008

Hitungan Sebuah Penantian

Bertafakur di sudut kesepian
berserah di anjung kesedaran
dan berlabuh di daerah ketentuan.

Lalu meniti singgahan hayat
menjamah lusuh rindu
di pintu penantian.

Seperti semalam yang mencuri ruang resah
dan tika getir menjamah selaut kasih
tika dibenamkan kaki hayat di pantai hakikat
mulus wajah tak lagi di alis pertemuan
lalu bening dan redupnya birai kasih
gugurnya menghitung hari.

Tinta: 11 Julai 2001