~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Wednesday, December 23, 2009

Kota Yang Mati

Mungkinkah
kota itu menjadi kota mati
yang dulunya pernah hidup
di atas ruang-ruang kesedaran
berpacakkan nisan-nisan penjajahan.

Mungkinkah
saat gagak-gagak hitam bertebaran
kota itu sedang berkabung
di atas sebuah kematian

lalu sepasang merpati putih
berterbangan mengkhabarkan berita
dan hujan pun singgah
membasuh lumpur yang terpalit
dan mungkinkah
kota itu akan hidup kembali
dengan nafas baru
mungkinkah...?


Friday, December 18, 2009

.. yang tidak pernah lupa ..





Membelek helaian majalah yang telah usang dalam simpanan bagai mengulang tayang setiap lembaran sejarah. Rupanya dalam sedar yang lena, sejarah tidak pernah meninggalkan kita. Hanya kita yang sering melupakannya. Aduhai....


Monday, December 14, 2009

Mengurung Detik

Ada saatnya
apabila kata menjadi cukup sukar
untuk mengungkapkan apa yang bermain di minda
...
lalu dirakamkan dalam detik-detik bermakna
yang mungkin hanya difahami
apabila hati mula berbicara...








Wednesday, December 9, 2009

Membilang Janji

Beberapa hari melarikan diri jauh dari kota yang penuh cerita. Berkira akan bertemu sedikit tenang di sana tapi rupanya sangka yang tidak bertemu hujung. Terantai dalam kalut yang lelah membuat diri terlupa untuk mencuri sedikit tenang di sana. Ditambah dengan denyut yang makin menggila pinta rehat yang tidak pernah sempurna.

Tidak sempat untuk berfikir. Malah makin lelah dalam janji tanggungjawab yang tidak rasmi. Pada saat-saat akhir masih tetap berukir kata untuk penuhi jan
ji yang telah dibuat. Janji yang membelit diri hingga lena terpaksa dilupakan lewat jam dua pagi.

Selesai segala.. syukur pada-Mu di atas kelancaran yang telah diberi. Biarpun ada kalut yang mungkin tidak disedari. Lalu tika jam menghampiri detik 12 malam.. kulenyapkan diri dari kemeriahan yang sedang bersinar bila mata kian memberat dan denyut makin menguasai.

Dua hari terakhir di sana.. cuba mencari sedikit tenang di rumah ayahanda yang hampir kulupa bila kali terakhir kulelapkan mata di singgahan itu. Bersantai di sana seadanya. Mengurung tenang dengan denyut yang seakan tidak mahu menjauh sambil membila
ng janji yang belum terlangsai untuk adinda bongsu. Janjiku.. sedaya mampu untuk kukarang bait-bait pantun indah menghiasi hari persandingannya nanti.

..Dan saat malam tika langkah kuatur untuk kembali ke sini.. ada titis yang cuba kusembunyikan di kolam mata lantaran untuk pertama kalinya aku tidak berkesempatan bersua salam dengan nenda tersayang sebelum kembali ke sini. Lalu perjalananku malam itu amat dingin, sepi dan kosong dalam tangis yang luruh di hati.

Catatan : 8 Disember 2009

Monday, November 23, 2009

Hidup.. satu perjalanan

Melewati beberapa khemah dan melihat senyum menghias ruang... ada bahagia di situ. Bahagia untuk satu kehidupan baru. Bahagia untuk satu permulaan baru. Bahagia bila disayangi dan apabila rasa sayang itu berbalas. Segalanya untuk permulaan adalah amat indah. Tapi untuk mengekalkan keindahan itu memerlukan lebih dari sepanjang hidup perkenalan.

Setiap perhubungan mampu saja terbina dari setiap titik yang bernama persahabatan. Satu persahabatan mampu saja menyelami dan mendalami setiap emosi dan tingkah seorang sahabat. Namun sebuah ikatan.. biar seumur hidup tidak akan mampu difahami oleh seluruh jiwa kerana hidup ini adalah satu perjalanan yang amat panjang.



Saturday, November 14, 2009

Pilihan yang SaTu

Lama berdiam memberi ruang untuk tugas dilaksanakan terlebih dahulu. Usai segalanya.. cuba meletak kembali diri pada landasan yang akrab.. berbicara pada bait-bait kata, berteman baris-baris ayat yang terbina daripada terjemahan aksara yang sarat di minda.

Aku kembali pada diri.. tinggalkan kepuraan dunia yang tidak pernah lelah bersandiwara.

Memandang wajah-wajah mulus anak-anak kecil itu.. hilang segala penat. Lupa pada masa santai yang telah dikorbankan.. hanya untuk anak-anak itu. Senyuman kecil yang penuh tulus itu mampu menenangkan setiap hati yang resah dan setiap jiwa yang gelisah.

Kalau waktu mampu diputar kembali
kalau pilihan masih di tangan sendiri
biar beribu kali tanya itu bersoal
jawabku tetap satu
biar perit
biar getir
biar sukar
jawabku tetap sama..
biar semalam
biar hari ini
biar esok
biar selamanya
tidak pernah kukesali
kerana memilih amanah ini
biarpun untuk seluruh hidupku...

Tuesday, November 3, 2009

Renung Diri II


Kekalutan memenuhi keperluan dunia amat meletihkan. Segalanya seakan tidak tergapai. Masa seakan terlalu pantas beredar berbanding kelipan mata. Sesekali tersedar.. rupanya terlalu banyak yang telah disia-siakan.

Lalu tika ada sedetik waktu u
ntuk merenung diri.. biarlah detik-detik itu terisi dengan penuh berhemah. Biarlah sentuhannya.. biarpun sedetik tapi mampu menyentuh seluruh hidup. Ya.. menyentuh seluruh hidup dan jiwa.. kembali ke asal...

Sesaat.. sedetik itu mungkin tidak punya sebarang nilai. Mungkin juga tidak punya sebarang harga kerana tiap detak yang bergetar dalam setiap sedetik itu mungkin saja bukan sesuatu yang gah untuk menyentuh seluruh hidup. Mungkin detik itu adalah rutin biasa dala
m senafas lega atau sehembus resah yang terpaksa didepani dalam mengejar satu matlamat.. yang dipanggil kehidupan.

Namun hakikatnya yang seringkali kita terlupa.. kehidupan itu sendiri sebenarnya terbina daripada cantuman-cantuman masa.. dari setiap detik jarum jam yang bergerak.. dari setiap degup jantung yang berdetak. Setiap satu langkah antara detik dan saat itu punya maknanya sendiri. Biarpun tanpa atau dengan sedar kita mendepaninya..


Thursday, October 15, 2009

Renung Diri

Untuk kesekian kali,
jemari ini kaku untuk berbicara.
Minda ini kosong untuk terus bercerita.
Masa seakan terhenti.
Hari tidak beranjak.
Detik tidak berdetak.
Dalam diam mungkin berharap..
masa tidak berputar ke depan
atau
berpaling ke belakang..
kembali.


Melihat a
muk alam..
terkadang menyentak sedar.
Merenung alpa manusia..
resah semakin mendekat.
Betapa janji Allah itu pasti.
Lalu getar gentar ini menjadi semakin kalut.
Di manakah tempat diri ini di sisi-Nya..
apabila sesekali alpa menghimpit diri..?





Friday, October 9, 2009

Indah.. tapi sayangnya...

Pernah satu ketika, kujejak rezeki itu bukan dari bangsaku sendiri. Aku senang bekerja dengan mereka kerana mereka senantiasa menghargai walau sekecil mana sekalipun usaha yang kita lakukan.

Aku memerhati dan belajar daripada mereka. Wang bukan segala-galanya tapi kualiti.. itu yang diutamakan. Kesetiaan, ketekunan.. dan nilai kekeluargaan adalah antara rahsia kejayaan. Siapapun diri kita.. posisi apa sekalipun yang kita sandang.. hakikatnya kita berada di dalam
satu keluarga. Saling memerlukan dan saling menyokong. Walau sekecil mana tiang itu tapi tetap memainkan peranan untuk menegakkan sebuah kota.

Indah falsafahnya tapi sayang.. bukan datang dari bangsaku sendiri. Hakikat yang sukar untuk ditelan...





Monday, September 21, 2009

Bisikan Dua Syawal


Lain benar rasanya kunjungan Syawal kali ini. Penuh rindu dan sayu yang sukar untuk dimengerti dengan kata-kata. Ada air mata yang ingin mengalir tapi cepat pula diseka oleh rasa yang tak terluah.

Melihat nenda tersayang yang kian uzur.. bagai ada satu bicara yang payah untuk dilengkapkan baitnya. Membayangkan.. masih ada lagikah Syawal pada tahun-tahun berikutnya dengan sentuhan kasih insan-insan tersayang... mengundang pilu yang
kian menyesak.

Tuhanku.. dua Syawal ini, telah Kau sentuh hatiku untuk merenung di sebalik tabir fikir. Membuat perkiraan hidup yang telah ditinggalkan di belakang. Menilainya, menimbang dan menyimpulnya dengan segala kekurangan, kelalaian serta keterbatasan masa yang sering dijadikan alasan.

Dua Syawal ini juga.. seolah membuka ruang untuk aku melihat lukisan hari depan yang sebenarnya telah lama kusimpan erat dalam genggaman. Hanya aku yang belum punya kekuatan untuk menggantungnya di ruang hakikat. Sedang sebenarnya kita manusia telah diberikan oleh-Nya pilihan untuk merancang apa yang terbaik untuk kita. Selalunya sebagai insan juga kita sering alpa untuk merencana pada landas iman.. yang sebenarnya
amat indah laluannya.

Tuhan.. sesungguhnya Engkau telah mengatur setiap sesuatu itu dengan sebab yang cukup sempurna. Walau takdir yang tertulis makin sukar untuk ditafsir.. aku redha. Moga diberikan ketabahan dan kekuatan iman kiranya telah tertulis.. hidup ini harus kudepani sendirian.


Saturday, September 19, 2009

Air mata Ramadan di Ambang Syawal

Berat sungguh untuk meleraikan pautan Ramadan
kerana sesungguhnya rindu itu belum sempat dirungkai satu-persatu.
Namun telah dijanjikan hujungnya di sini.
Moga masih ada Ramadan untuk ditunggu..
untuk dijamah kasihnya sekali lagi.


Moga Ramadan kali ini yang telah sampai ke penghujungnya
meninggalkan kita dengan kematangan akal dan fikir
serta sabar yang tinggi
untuk menanti kunjungannya
dalam kerinduan yang tak pernah padam
dengan kesetiaan yang tak pernah berbelah...


Salam Aidil Fitri...


Wednesday, September 9, 2009

PeRtEmUaN

Untuk sebuah pertemuan
..menyisih
..menyingkap
..menyesak
bertanya pada diam
berlari dalam kelam
bersoal pada bisu
berharap dalam bungkam.


Saturday, September 5, 2009

Tafsir CiNtA

Cinta
adalah melalui beberapa pintu.
Ada dari pintu sayang,
ada dari pintu kasih,
ada dari pintu rindu,
tetapi
yang paling aman dan kekal
ialah

cinta yang melalui pintu kasih itu.


(HAMKA - Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck)

Monday, August 24, 2009

Guris Sendaan


Ketidakselesaan mendepani rakan sekerja atau resah mendepani kebenaran? Masih kucari jawabnya. Segalanya bermula dengan usikan nakal seorang rakan. Akhirnya bertukar menjadi satu sendaan yang kadangkala mampu mengguris dengan cukup halus sekali.

Sikapku menjadi bahan jenaka dan tempat untuk melepaskan tawa. Lalu tanya datang bersoal.. salahkah caraku mendidik..?

Dengan pertimbangan akal dan waras tanpa melibatkan detak rasa, aku cuba mengumpul rasional di sebalik sendaan demi sendaan. Segalanya apabila kudekati setiap anak didikku dengan caraku sendiri.

Tiada lantang amarah, tiada herdik mencerlung.. yang ada hanya kata kususun dengan hemah, hati kusentuh dengan sabar, kuselami dan kutekuni jiwa anak-anak didikku dan kubacakan resah di mata mereka sebagaimana kudendangkan bait-bait ilmu yang membuahkan cinta di hati mereka. Tiada ketakutan di mata mereka untuk bersoal kemusykilan yang bermain di minda.

Aku mampu tersenyum apabila kedegilan anak-anak didikku mampu kulembutkan. Bukan dengan ugut paksa tapi dengan nasihat yang kusentuh ke jiwa mereka. Lalu salahkah caraku mendidik bila ketegasanku bersulamkan kasih? Salahkah caraku apabila amarah itu kusimpan jauh di sudut sabar? Apakah setiap guru itu perlu melemparkan amarah sebagai satu syarat pasti dalam mendidik?

Apakah aku sebagai seorang pendidik telah gagal untuk melaksanakan amanah yang selama ini kutatang hanya kerana aku tidak ingin dikenali sebagai ‘cikgu garang’ yang mampu menggetarkan hati si kecil?

Sendaan itu seakan tidak pernah mahu berhenti walau telah sampai ke titik noktahnya. Hanya kerana aku adalah ‘cikgu yang tidak tahu untuk marah apabila mengajar’. Perlukah kemarahan itu untuk menyemai rasa cinta...?

Satu masa.. aku juga pernah bergelar murid. Pernah ada benci dan juga sayang pada insan yang bergelar guru. Lalu untuk apa aku memilih benci untuk kutanam di hati anak-anak didikku. Bukankah sayang itu lebih indah walaupun aku terpaksa menelan setiap sendaan itu yang tidak mungkin ternoktah.

Biarlah.. aku tetap dengan caraku.




Saturday, August 22, 2009

Tamu 1430

Di hening malam
lerai penantian
bersama kerinduan itu
yang tertahan sekian lama.

Datangnya bertamu
menyingkap tabir malam
indahnya rindu itu
nikmatnya penantian itu.

Moga kali ini
rindu dendam itu
menjadikan sepertiga malam ini
basah dengan titis kerinduan
sendu dengan rintih penyesalan.

* SALAM RAMADAN... *

Tuesday, August 11, 2009

Merdeka yang kutemui

Satu ketika
aku melihat Merdeka yang masih terpenjara.
Merdeka itu terantai erat.
Lemah.

Di ketika yang lain,
aku terserempak dengan Merdeka
tapi tidak lagi kukenalinya.

Merdeka yang kulihat itu telah hilang susilanya.
Telah pudar malunya.
Telah luntur semangat juangnya.

Lalu kucuba cantumkan lipatan-lipatan sejarah.
Cuba kumenelusur perit luka,
titis darah yang masih mengalir
dan parut yang masih lagi basah.

Aku cuba mengerti
di sebalik luka yang tidak pernah sembuh itu.
Aku cuba mencari pincangnya.
Tapi akhirnya kufahami..
Merdeka itu sebenarnya tidak pernah bebas.
Masih lagi dijajah dan terjajah.


Saturday, August 8, 2009

Kekurangan yang Sempurna


Kekurangan itu
bukan untuk dihindari
juga bukan untuk disalahkan
tidak juga satu alasan
untuk dikasihani.


Kekurangan itu
adanya untuk diterima
kurangnya untuk dilengkapi
kerana yang bernama kekurangan itu
hadirnya untuk melengkapi
sebuah kesempurnaan.


* Kekurangan itu sebenarnya menjadikan insan itu cukup sempurna. Namun, sempurnanya sebuah kekurangan itu adalah sempurna yang bersyarat.. menerima segalanya SEADANYA...


Sunday, August 2, 2009

Di sebalik pencarian

Mencari pada satu pencarian tanpa titik noktah pasti akan mengundang soal yang tak berjawab. Kita tahu, faham mahupun mengerti.. kanvas takdir bukan kita yang gerakkan. Palitan warna dari gerak tingkah dan ayunan emosi yang kita tuliskan di kanvas itu juga bukan atas kuasa kita sepenuhnya. Itu kita tahu.

Tapi terkadang.. getar rasa dalam mencari sesuatu yang abadi untuk melengkapkan satu pusingan kehidupan menjadikan kita terus mencari tanpa lelah.. walau sebenarnya kita cukup mengerti... tidak akan berinjak walau sebutir zarah tanpa izin-Nya.


Friday, July 31, 2009

Menggalas SuKaR


Amat payah rasanya bila diri terpaksa menjaga banyak hati.. bila rasa perlu menggalas banyak jiwa. Sukarnya bila kita berada di tengah-tengah.

Di sebelah..
ada hati yang perlu ditatang dengan penuh berhemah agar tidak membawa gerhana berpanjangan.
Lalu..
di sebelah yang lain, juga ada hati yang perlu dijaga agar tidak termakan diri.

Segalanya menuntut sabar yang tinggi. Juga menguji kematangan dalam mengambil sebarang tindakan atau menuturkan setiap bicara.

Moga aku dikurniakan kesabaran itu, juga kekuatan daripada apa yang bakal terjadi.


Thursday, July 23, 2009

Meletak Nilai pada Makna Kebahagiaan

Aku pernah ditawarkan “duit tambahan” dengan kerjaya aku sekarang. Bukan sekali tapi berkali-kali. Tapi tetap aku menolaknya tanpa berfikir untuk kali yang kedua. Aku telah dan pernah merasai.. malah dulu aku sering bergelumang dengan kerja.

Pernah satu ketika.. aku tidak tahu erti penat. Aku tidak faham makna bercuti. Apalagi mengisi ruang cuti itu dengan gelak bahagia keluarga dan saudara terdekat. Kutetapkan satu tanda dalam hidup.. yang ingin kugapai. Aku ingin buktikan, aku tetap mampu mencapai apa yang kuinginkan. Sama seperti mereka tapi dengan keringatku sendiri.

Namun hari ini.. aku tetap aku yang dulu. Cuma dengan akal dan fikir yang berbeda. Aku tidak lagi menghabiskan seluruh masaku di ruang kerja. Kuatur dan kususun langkah hidupku dengan lebih bermakna. Juga kupastikan segala amanah yang kugalas tidak akan sekali lagi mencuri ruang peribadi hidupku. Tapi itu tidak bermakna aku mengabaikan tanggungjawab yang telah kutatang sehingga ke hari ini.

Kini aku ingin benar-benar menghargai hidupku. Menikmati setiap inci dan ruang yang masih wujud dengan sebaik-baiknya. Betapa sebenarnya setiap detik dalam hidup adalah amat bermakna.

Benar.. aku tidak mampu berpaling semula apalagi menebus kembali segala masa yang telah berlalu. Biarpun cerita dan geraknya adalah sama tapi ruang waktunya tidak mungkin sama seperti sebelumnya.

Walau apapun, sekurang-kurangnya aku lebih memahami kini. Bukan wang ringgit, kejayaan atau pangkat yang meletakkan nilai pada makna kebahagiaan. Tapi kebahagiaan sebenar.. apabila setiap denyut nadi, setiap getar di dada.. mampu dihayati dan dirasai dengan penuh ketenangan dan keredaan di atas segala yang bakal menanti.


Monday, July 13, 2009

Ruang.. Lohong.. Seorang Teman

Dia perlu teruskan hidup ini.. sendiri atau berteman.. dia perlu teruskannya kerana hidup ini tidak akan terhenti kala dia mahukannya. Hidup ini akan berterusan seperti masa yang akan terus berdetak tanpa berpaling walau sesaat.

Dia akur. Masa yang telah melangkah jauh darinya tak memungkinkannya mengutip satu-persatu.. kembali. Kesalkah dirinya? Bukankah perkataan itu tidak pernah dia letakkan dalam kamus hidupnya..? Tapi hari ini.. hatinya merasakan satu ruang yang kian bisu. Lohong yang kian dalam seakan tidak terisi dengan sebarang kewujudan.

“Tetapkan impian. Satukan angan. Jadilah apa yang kamu ingin jadi. Tidak ada yang mustahil kecuali..”, tutur seorang teman.

“Hanya kalau Dia tidak mengizinkannya. Pasti sesuatu itu tidak akan berlaku. Pasti!” sambungnya lagi seakan berbisik.

Tika itu dia tidak cukup mendalami kata-kata seorang teman. Baginya.. menuturnya amat mudah. Tidak sesukar melaksanakannya.

“Jangan kamu salahkan takdir. Jangan sesekali kamu salahkan Dia kerana kamu memilih jalan yang telah kamu pilih. Memang segalanya telah Dia tentukan. Waima segala yang tersurat pada mata atau yang tersirat pada akal dan hati. Segalanya dalam pengetahuan Dia. Dia Yang Maha Tahu segala kebaikan yang ingin dilimpahkan padamu dalam kecelaan itu.”

Panjang sekali seorang teman berkata. Yang selama ini membisu dalam diam. Rupanya punya mutiara yang disimpan kemas.

Dia bungkam di situ. Dia tidak punya jalan untuk berpaling. Dia tidak punya arah untuk terus maju ke hadapan. Tapi ketika itu, dia diketemukan dengan seorang teman ini.

Seorang teman yang kunjungnya tidak mampu diingati. Datangnya tidak meletakkan tanda dan perginya tidak pernah dihambat oleh kehilangan. Tapi seorang teman itulah.. hari ini hadirnya bukan hanya telah menyentuh tapi mendakap erat seluruh hidupnya dengan tuturnya yang mengalir telus ke jiwa.



Tuesday, June 30, 2009

..tidak hanya saat tinta ternoktah..

Sedari kecil kita sering disuakan dengan cerita-cerita indah sang putera dan puteri yang berakhir dengan ‘..dan mereka hidup bahagia selama-lamanya’. Lalu kita menerimanya sebagai sesuatu yang indah dan nyata. Kita bawanya ke dalam setiap mimpi dan angan sehinggalah ke satu ketika.. saat kematangan memberikan salam pada kehidupan.

Getir.. payah.. mendepani onar dalam meneruskan kelangsungan hidup telah membangkitkan minda untuk mempersoal, mencari dan mendepani yang bernama hakikat. Lalu apabila ruang kematangan mula mengisi setiap inci dari jasad dan fikir.. hati akan pedih dengan goresan calar yang merobek angan di hujung setiap mimpi zaman keanakan.

Justeru.. sedar dengan lembut, terkadang kasar.. akan menjemput waras untuk kembali membangkit sedar bahawa hidup ini tidak semudah melakar cereka di helaian putih.. kerana yang pasti.. bahagia itu tidak hanya bermula saat tinta ternoktah.

Bahagia itu
letaknya di hati
dari jiwa yang tenang
dalam cinta yang dalam
dari nafas penuh kerinduan
dalam redha yang penuh keikhlasan...

..SUBHANALLAH...


Thursday, June 25, 2009

TeMaN JiWa

Tersentuh dengan alunan lagu dan rentak cerita yang begitu meruntun jiwa. Tanpa perlu lafaz bait-bait kata. Tanpa perlu susunan bicara. Cukup dengan bahasa tubuh, pandangan mata dan getar emosi. Terkasima seketika. Tanpa sedar.. titis luruh ke pipi tanpa dapat ditahan-tahan.

Teman jiwa.. setiap orang meletak harap hingga ke akhir hayat. Teman yang memahami. Bersama ketika senang dan tetap teguh setianya di kala dugaan datang menguji.

Namun tika teman jiwa yang setia di sisi tidak lagi mampu menemani, runtunan kesunyian dan hambatan ketakutan akan kesendirian mendepani hari-hari mendatang.. pastinya akan meninggalkan satu kesan yang cukup mendalam.




Monday, June 15, 2009

..Mengutip Sunyi..

Usai melakar kenangan bersama keluarga, akhirnya aku kembali ke sini. Ke tempat yang mengajar aku tentang erti sebuah kematangan. Biarpun hanya seketika meninggalkan tempat ini namun rasa rindu itu terlalu menebal dalam diri.

Lalu renungku membawa tanya.. apakah sudah kurang sayangku pada tempat yang melukiskan perjalanan zaman keanakanku? Apakah sudah berkurang cintaku pada tempat kelahiran? Kuselam hati untuk kucari jawab. Yang kutemui.. mungkin di sana yang tersisa hanya kenangan. Manis untuk dikenang, pilu untuk dirindu, pahit untuk ditelan. Segalanya teradun menjadi satu. Dan perjalanan hidup ini harus diteruskan sehingga ke noktahnya.

Adakalanya hati ini bersoal dan pinta akal mahupun waras memberikan jawabnya. Bila menyedari keegoan diri dalam meniti perjalanan usia.. sendiri.. di manakah akhirnya perjalanan ini?


Friday, May 29, 2009

Takdir yang tertulis...


“Mungkin ini telah tertakdir dan tertulis dalam rentetan perjalanan hidupku.”

Tanpa sedar hatiku berbisik pada fikir tatkala kususuri jalan yang telah sunyi itu. Ku pandang sekeliling. Dedaun cempaka berguguran dan bunga-bunganya gemalai menghias sekitar setelah disentuh mesra angin.

Aku bahagia di sini. Syukur pada-Mu.. Ya Allah... Getir membawa aku ke sini. Sabar.. memimpinku mendaki tangga-tangga ketenangan.


Monday, May 18, 2009

Dari Mata Qasih.. Tafsir ke Hati.. Renung ke Jiwa...


Catatan : 16 Mei 2009

Berbicara tentang seorang guru.. mungkin punya tafsir berbeda bagi setiap individu. Lantas apabila membuka kembali cerita hari semalam.. minda menyingkap ingatan pada seorang guru yang pernah mengajarku semasa di sekolah rendah. Seorang guru yang sepatutnya mendidik dan menyemai rasa cintaku pada bahasa ibunda tapi sebaliknya telah meletak benci yang tidak bertanda.

Masih segar diingatan bicaranya. Masih terasa jemarinya yang mencubit dan memulas perutku tanpa belas. Masih terasa pijar telinga ini ditarik... segalanya bila diingat kembali hanya kerana aku tidak sempat melangsaikan kerja yang dipinta dalam waktu yang terlalu singkat. Kala itu di hati terdetik.. kalau ditakdirkan aku menjadi seorang guru.. aku tidak ingin menjadi seorang guru sepertinya.

Melangkah ke alam dewasa.. aku ditemukan dengan seorang guru yang amat kukagumi.. Cikgu Narimah. Melaluinya kembali kupupuk cinta itu. Sikapnya.. perhatiannya menjadikan aku diriku sekarang. Satu yang kusemat dalam diri dan dalam setiap doaku.. “Tuhanku, jadikan aku seorang guru seperti dirinya.. yang punya cekal tidak berbelah.. yang punya kental tidak ternoktah.”

Kini.. hari ini aku bergelar seorang guru. Dan tanggal 16 Mei merupakan satu penghargaan kepada insan yang bergelar guru. Menerima hadiah daripada murid-murid mampu membuat hati seorang guru tersenyum. Hadiah itu.. tanda penghargaan dan ingatan dari yang bergelar murid.

Namun
kegembiraan sebenar
yang terlukis di hati seorang guru
ialah apabila guru itu..
mampu mengubah sikap anak didiknya

mampu meletakkan rasa percaya di hati anak didiknya
mampu menyelami hati dan jiwa mereka
bukan sekadar mengherdik, meninggikan suara untuk melunaskan kerja.

Titis kegembiraan yang luruh di hati seorang guru itu apabila..
turut merasai tangis gembira anak didiknya di kala meraih detik kejayaan

jua bukan sekadar kesal yang bertandang..

tatkala anak didiknya bergelut dengan kegagalan

tapi turut merenung kekurangan diri untuk diperbaiki

agar tidak akan ada lagi pedih kecewa
yang terlakar di wajah anak didiknya.

Seorang guru itu
bukan sekadar menghitung hari untuk bercuti

bukan hanya membilang waktu untuk pulang ke rumah
kerana seorang guru itu..

di bahunya tergalas amanah
di tangannya letaknya harapan

satu bangsa.. sebuah negara..

runtuh dan bangunnya..

segalanya bermula dari seorang GURU.



Monday, May 4, 2009

Mencari Mahsuri di Panggung Sari


Catatan : 30 April 2009

Penat yang belum sempat bernafas lega... aku mencuri ruang antaranya untuk merehatkan minda mencari Suri di Langkawi berlatarkan Istana Budaya. Usai menonton.. satu rasa menyelinap dan hati berbisik.. puas!

Walaupun tidak berpeluang memenuhi jemputan ryann disebabkan oleh kesibukan dan tuntutan tugas yang tidak pernah langsai, akhirnya pada malam terakhir kuhadirkan diri ke ruang itu untuk sekali lagi melihat sentuhan ibu Fauziah Nawi.

Untuk mencari sat
u yang sempurna segalanya.. pasti tidak mungkin. Namun menyaksikan Suri yang penuh lagenda hasil sentuhan ibu Fauziah Nawi di Panggung Sari.. hati ini berkata.. memang inilah ibu Fauziah.

Pembukaan tirai dengan paparan peta Langkawi satu idea yang baik namun bagiku adalah lebih cantik kiranya paparan tersebut adalah pengisahan asal-usul Suri yang menjadikan dia seistimewa lagendanya.

Dua babak yang membuai rasa dan hampir mengundang tangis yang titis ke pipi.. pertama tika Suri dipenjarakan. Rayuan sang ayah juga pintaan kemaafan daripada Wan Endah dan iringan lagu hasil sentuhan Iryanda Mulia menjadikan ia sendu berlagu pilu.

Dan sekali lagi rasa ini terbuai oleh babak terakhir tatkala Suri meluahkan kecewanya dengan tutur sumpah pada pulau bertuah itu. Pedih tusukan fitnah dan calar kecewa di jiwa Suri tidak hanya dirasakan di pentas lakon itu tapi turut dikongsi bersama penonton. Pendam luka di hati si ayah yang akhirnya mengundang amuk sebagai protes pada ketidakadilan juga dapat dirasai. Pujian harus diberikan pada Ard Omar, anak didik stefani.

Wan Mahura.. satu watak antagonis yang memainkan peranan yang bukan kecil dalam Lagenda Mahsuri sebenarnya ialah penggerak yang memainkan peranan penting dalam melakarkan lagenda itu sendiri. Tanpa Wan Mahura takkan mungkin wujudnya lagenda yang masih diceriterakan sehingga ke hari ini. Lumrah hukum alam.. hitam dan putih sebenarnya sentiasa saling melengkapi. Sebagai
mana putihnya darah Suri sebegitulah hitamnya hati Mahura. Tanpa hitam dan putih itu.. alam ini takkan tertinta seindah seadanya.




Wednesday, April 22, 2009

Mencari Cinta Sebenar


Salamku ke kanan
salamku ke kiri
mencari dalam diam
bertemu dalam kata
kalam-kalam bercerita
betapa sunyi itu rindu
senyap itu kasih
tawaduk itu cinta.

Lakaran-lakaran kasih itu
berlagu pada surah-surah-Mu
untaian-untaian cinta itu
bernyanyi pada kalam-Mu.

Lalu pada hela nafas ini
hembusku penuh sedar
pada nadi yang masih
menghitung zikrullah.

Sesungguhnya pada-Mu Ya Rabbi..
rayuku..
pujukku..
pintaku..
mohonku..
kafankan jasadku
bukan dengan kebencian-Mu
talkinkan jenazahku
bukan dengan amarah-Mu
selimutkan jiwaku dengan kerinduan itu
getarkan hatiku dengan janji-janji-Mu
agar tidak rasa ini berpaling
walau sedetik dari nur-Mu.

Subhanallah...

Monday, April 20, 2009

Warkah Buat Sahabat


Assalamualaikum wbt..

Kehadapan seorang sahabat yang pernah berkongsi segala rasa. Semoga dirimu dirahmati oleh-Nya walau di mana jua dikau berpijak di bumi Allah ini.

Buatmu sabahat,

Kupinta... maafkanlah kiranya rasamu telah kucalarkan tanpa sedarku. Kupinta sahabat.. maafkanlah diriku kerana tiada niat di hatiku untuk menyentuh amarahmu.

Bertahun kita bina ikatan persahabatan ini.. bertahun jua kita semai rasa percaya. Jua telah lama kita saling berkongsi hari duka dan gembira bersama. Dan hari ini.. yang bertahun itu ternyata masih belum utuh untuk dipertahankan. Dalam sekelipan mata... kebencian yang bermukim di hatimu telah menghancurkan segala tinta indah yang kita lakarkan dalam diari semalam.

Pintaku padamu sahabat.. hanya sebuah kemaafan di atas keterlanjuranku.. di luar sedarku. Pintaku sahabat.. mengertilah... aku hanya manusia biasa yang takkan mampu untuk menghindari kesilapan.

Sahabat.. kiranya di suatu masa nanti.. amarahmu telah dingin dan telah kau buka pintu kemaafan buat sahabat ini.. bisikkanlah padaku tentang kesilapanku itu agar tidak ku ulang untuk kali yang keduanya.. kerana sesungguhnya calar yang berdarah di hatimu turut merobek rasaku.

Lalu hanya satu kupinta... berikanlah kemaafanmu itu sebelum mata ini tertutup.. selamanya...


Dari seorang sahabat.

Monday, April 13, 2009

M.E.L.A.Y.U.K.U.

Melalui rentetan sejarah, aku diajar sejak kecil tentang bangsaku Melayu yang tunjang dan akarnya budaya.. bersatunya tidak goyah, perjuangannya tidak mudah rapuh, semangatnya yang kental dan kesetiaannya yang cukup utuh. Aku diulit dengan lagenda silam kepahlawanan terbilang yang tidak ada duanya.

Entah kenapa.. tika aku cuba menelusur bangsaku hari ini.. nyata.. bukan sekadar mimpi.. amat payah rasanya untuk kucari Melayu yang pernah diceriterakan padaku sejak di bangku sekolah. Seakan bangsaku yang semalam hanya wujud pada helaian-helaian buku-buku sejarah yang kian hilang bisanya.

Laluan masa yang berdekad lamanya ternyata seakan merapuhkan semangat yang telah lama tertanam pada bangsaku. Lalu yang tinggal hanyalah kebimbangan yang seakan tidak ada hujungnya. Atau.. mungkinkah sudah tiba pada akhirnya...?

Bangsaku hari ini terlalu cepat melatah walau sekalipun tidak dijentik.
Bangsaku hari ini penuh dengan amarah biarpun bukan pada tempatnya.
Bangsaku hari ini penuh dengan kelantangan biarpun dulunya berkias bicara.
Bangsaku hari ini sudah hilang Melayunya.. sudah habis malunya...

Monday, March 30, 2009

Bukan Pilihan Terakhir


Seorang ibu pernah menyuarakan kebimbangannya kepadaku kerana anaknya seakan sudah hilang minat untuk belajar. Setiap hari pasti ada sahaja alasan yang mampu difikirkan untuk menyelinap keluar dari kelas. Tujuannya hanya untuk menelefon bonda meminta dijemput dengan seribu satu alasan.

Kutekuni setiap kata si ibu dan kubaca baris-baris harapan yang dilontarkan dari bibir seorang ibu. Kurangkai dan jalinkan setiap kata-kata dan harapan itu untuk kulebih memahami...

Bersama si anak.. kucuba selami jiwanya. Kudekati hatinya, kusentuh rasanya dan kuikuti getar resahnya. Kutekuni si anak sebagai seorang kawan dan kupimpinnya sebagai seorang guru.

Tidak lama.. seminggu kemudian kulihat perubahan yang membuatkan hati ini menguntum senyum. Belum sempat ku berdiri dari duduk, si anak telah siap di depanku bertanyakan apa yang ingin kuajar hari itu. Kadangkala seawal pagi sesampaiku di bilik, dia terus menemuiku bertanyakan kerja yang ingin kuberikan atau buku yang akan kugunakan. Di dalam kelas juga sikapnya tidak lagi seperti dulu yang sering mengadu kesakitan.

Untuk semuanya.. aku hanya mampu memanjatkan syukurku pada-Nya...

Kupilih amanah ini bukan kerana ini jalan yang terakhir terpaksa akur kuterima. Kupilih tanggungjawab ini yang kini kugalas ke bahuku atas rasa kagumku tehadap arwah mak ngah, seorang guru yang telah mendidik ramai insan.

Sedari dulu, apabila ditanya tentang hala tuju dan matlamat hidup, jawapanku hanya satu.. aku ingin mendidik. Aku ingin memanusiakan sekurang-kurangnya seorang manusia. Wahai.. terlalu tinggi rasanya cita-cita itu tapi aku berpegang pada prinsip.. tiada yang mustahil selagi kita bernafas!


Saturday, March 28, 2009

Manisnya kerana duka dan duri..


Manisnya hidup ini adalah kerana duka dan duri yang pernah mencalar rasa dan jiwa.

Kesakitan itu menjadikan kita lebih memahami erti kebahagiaan.

Kepedihan itu menjadikan kita lebih mengerti makna sebuah pengorbanan.

Dan kedukaan itu akan mengingatkan kita pada saat-saat bahagia yang pernah hadir dalam hidup ini.. mengajar kita untuk lebih menghargai...


Monday, March 23, 2009

Tiada Lakaran Seindah Lakaran Takdir


Kehilangan...

Entah mengapa.. terasa kehilangan begitu dekat menghampiri. Terasa diri jauh dari segala. Hari-hari yang telah berlalu dan ditinggalkan.. seakan saat itu telah begitu lama berlalu. Dan aku.. serasa baru sedetik cuma membuka mata, menyedari aku sendirian.. di sini.

Seketika terasa diri ini berada di gurun yang amat luas. Segalanya dilihat tidak punya beza. Semuanya sama. Pandangku ke kanan, kiri, depan dan belakang.. semuanya sama. Diri ini terkaku di situ. Hilang arah untuk terus memilih langkah.

Benarlah seperti apa yang sering dibualkan. Sakit menjadikan kita lebih dekat pada-Nya. Kesusahan menjadikan kita lebih hampir dengan-Nya. Kedukaan menjadikan kita sentiasa ingin mendampingi-Nya. Dan kesendirian ini menjadikan diriku begitu mencintai-Nya.

Mendambakan kasih manusia kadangkala menjadikan kita lupa. Menginginkan cinta manusia senantiasa menjadikan kita alpa. Lalu apabila kehilangan menghampiri, resah begitu menghantui dan gelisah sering menemani. Betapa rapuhnya jiwa bila berhadapan dengan kehilangan walaupun kita tahu.. kehilangan adalah pasti bagi yang bernyawa.

Namun lumrah manusia yang dijadikan jauh dari kesempurnaan, tidak akan mampu berdiri sendiri dalam lautan kehidupan. Juga tiada daya untuk menentang badai ujian sendirian. Lalu apakah yang harus kukatakan apabila aku harus dan masih sendiri merentas perjalanan usia? Salahkah kiranya ketenangan itu kutemui dengan cara ini? Selebihnya kuserahkan pada Dia Yang Maha Mengetahui dalam menentukan lakaran hidupku.. kerana kuyakini.. tiada lakaran seindah lakaran takdir yang telah ditentukan oleh-Nya.


Thursday, March 19, 2009

UsAi..

Dalam pencarian itu
terhenti dan terkaku
mungkinkah di sini akhirnya?

Pencarian sebuah pertemuan
dalam dingin subuh
dalam getar fajar
dalam merah senja.

Perjalanan itu
pencarian itu
pertemuan itu
ternoktah
pastikah di situ?

Telah usai di situ
dalam lelah
dalam hembus nafas
dalam tiap denyut nadi
segalanya bersatu
dalam diam
tanpa suara
tanpa kata.

Diam..
memahami
mengerti
menyerah
berserah
hanya
pada-Nya.



Sunday, March 15, 2009

Yang Terbias


Hari-hari dan minggu berlalu begitu sahaja dalam penyepian yang seakan tiada titik noktah. Satu kebiasaan yang menjadi begitu luar biasa bagi diriku. Kesibukan yang sering mendampingiku bukanlah suatu yang di luar daripada biasa. Namun ketenangan dalam kesibukan itu menjadikan diriku berada di luar dari batas waktu yang biasa kulalui. Lalu yang terbias dari kesibukan yang begitu menenangkan itu ialah rasa syukur kepada-Nya.


Saat dan detik yang berlalu tanpa sempat kutintakan pena Qasih di laman ini menjadikan diri ini terasa begitu kosong dan sepi. Masa seakan terhenti sebelum waktunya. Dan aku seakan tidak lagi berada dalam dunia yang nyata. Aku bernafas dalam ribut masa dan aku berlari dalam kalut hari. Betapa aku benar-benar merindui jemariku tatkala bertinta meluahkan bait kata yang diterjemahkan dari minda dan hati.


Sunday, March 8, 2009

Peringatan Nenda Tuah


Di hujung senja
kitalah pendukung cerita
pada layar malam
kitalah pencatit ulung
pada lagu-lagu sumbang
yang berdendang
di kala layar senja berlabuh.

Tika deru semilir pagi menjengah
kita kutip kenangan lalu
di usungan waktu
kita buka warkah usang
bicara nenda Tuah:
“Takkan Melayu hilang di dunia.”

Di antara kaki senja
dan deru semilir pagi
kita pendukung generasi harapan
adalah cucu-cucu Tuah
yang masih kalut
mencari identiti sendiri
gah, di atas nama kemodenan!

Lalu
unggulkah bicara Tuah?
sedang kealpaan kian menyaluti
anak-anak warisan bangsa.

- 13 September 1996 -

(Puisi ini kulakar tatkala merenung diri dan merenung bangsaku yang bernama Melayu)

Saturday, March 7, 2009

HaKiKaT


Sederap kali melangkah

sedetik masa beredar
pada wajar bertanya
pada hati dan hakiki
satu perjalanan
yang menagih
pasrah dan redha
dalam cantuman
akal dan fikir.

Tika bangkit dari lena
berbisik dalam sedar
kematangan bukan harta
yang mampu dipusakai
juga bukan nama
yang mampu diwarisi.


Wednesday, February 25, 2009

SangkaKu

Semalam aku berlari di kaki langit untuk mencari pelangi indah. Sangkaku.. nun saujana memandang di penghujung lautan ialah tangga-tangga pelangi yang kukejar. Sangkaku.. di hujung lautan itu tidak akan membawa aku jauh di badai lautan kerana bagiku.. di hujung itulah sejauh mataku mampu memandang akan ku temui pelangi indah yang mampu kuulit dan kubelai jalur warnanya seperti fikir dan mimpiku.

Semalam kusapu gerimis yang luruh di hati. Sangkaku gerimis itu menghilangkan mentari. Sangkaku gerimis itu akan membawa pelangi indahku jauh di balik awan yang suram. Lalu kupinta gerimis itu tidak luruh lagi ke hati.

Semalam kubuang jauh-jauh duri yang menikam jiwaku. Sangkaku duri itu akan membawa tangis seumur hidupku. Lalu tidak lagi sanggup kulalui jalan yang sama kerana sangkaku duri itu akan tetap berdiri di jalan itu. Menantiku dengan megah dan menghambatku dengan gah.

Tapi hari ini apabila aku mendaki tangga-tangga kedewasaan, baru kusedar. Rupanya sangkaku hanya bersangka-sangka.

Hari ni baru kusedar..
Rupanya kaki langit tidak tercapai oleh akalku.
Rupanya hujung lautan itu tidak ternoktah pada saujana mata memandang.
Rupanya gerimis itu luruhnya ada masa-masanya membawa sinar gilang.
Rupanya duri itu tidak selamanya membawa tangis seumur hidup.
Rupanya duri itu mengajar aku menjadi aku dan mengenal aku.
Rupanya duri itu mengajar aku menjadi dewasa lebih dari sebuah kedewasaan.


Saturday, February 14, 2009

Senyum dan Tangis


“Bila senyum dan tangis menjadi satu
rindu adalah jawapan pada segalanya
rindu adalah ingatan abadi
yang tak pernah mati
biarpun jasad terpisah jauh
dan kasih adalah
cantuman segala rasa
yang menjadikan ia
sesempurna keinginan...”


Saturday, February 7, 2009

Seputar Kisah Biasa

Dia ialah seorang wanita biasa. Seorang ibu dan seorang isteri yang mengimpikan sebuah kehidupan biasa bersama suami dan anak-anak di sisi. Tapi hari itu hati wanitanya rapuh. Ketabahan yang cuba dipertahankan selama ini berkecai satu demi satu.

Suara si kecil merengek meminta disuapkan makanan terngiang-ngiang di telinga. Suara si kakak yang menangis menahan lapar bagai merobek hatinya. Menjenguk ke ruang dapur, seketika dia hampir hilang pertimbangan apabila tiap satu bekas dan tin yang dibukanya hanya terisi dengan rintih dan air matanya sendiri.

Sebulan berlalu tanpa sebarang khabar. Hanya petang tadi dia menerima sehelai warkah yang menoktahkan seluruh hidupnya. Ya.. dia hanya seorang wanita yang tidak punya sebarang upaya untuk menghalang lafaz talak daripada seorang lelaki yang bergelar suami.

Dunianya gelap. Sekelilingnya kelam. Dahan tempatnya bergantung harap selama ini patah dan hilang entah ke mana. Air mata seorang ibu dan seorang wanita berkecai dan bertaburan ke lantai.

Seluruh hidup yang disandarkan pada sang suami menjadi satu permainan takdir yang tiada bertepi. Yang tinggal cuma satu cinta yang diratapi dan sebuah kasih yang ditalkinkan sebelum masanya.

Begitulah perjalanan hidup seorang wanita, seorang ibu dan seorang isteri. Cebisan-cebisan kisah sepertinya sentiasa bermain dalam putaran kehidupan. Namun dia yang pernah kukenali pada nyatanya membuatkan diriku berfikir.. bukan sekali tetapi berkali-kali.. tentang nilai seorang Hawa di mata seorang Adam. Seorang Hawa yang dijadikan daripada rusuk seorang Adam.

Sulitkah untuk mengerti seorang Adam.. atau sukarkah untuk memahami seorang Hawa..? Kalaupun kesalahan terbeban di bahu Hawa.. bukankah Adam harus hadir memimpin agar Hawa tidak terus jatuh dan jatuh.. hanyut sendirian..? Dan teganya hati seorang Adam membiarkan zuriat sendiri menelan pahit kehidupan tanpa menemani mereka di sisi.

Kadangkala kisah-kisah sebegini menjadikan aku takut untuk membicarakan tentang sebuah perkongsian hidup. Telah terlalu banyak kisah yang terpapar di depan mata sehingga ada masa-masanya.. sukarnya untuk kusemai sebuah keyakinan...

Sendiri cuba mentafsir.. mungkin aku yang belum benar-benar mengerti....

Sunday, February 1, 2009

Kubawa diri ke ruang itu

Membaca apa yang ditulis oleh Marissa menyebabkan aku terpanggil untuk berkunjung ke stor DBP petang tadi. Sekali lagi melarikan diri ke ruang kecil di stor itu bagai membawa diriku ke satu alam lain. Alam yang penuh jujur dan telus membicarakan persoalan masyarakat juga sindiran sinis yang penuh ikhlas.

Dalam ruang yang kecil dengan renyai hujan di luar tidak sekalipun menggugat tumpuanku ke pentas kecil, walaupun sesekali gigil dengan sejuknya penghawa dingin. Masa berlalu seakan tidak terasa. Sedar-sedar sudah lebih kurang satu jam setengah aku memencilkan diri di ruang itu.


Selesai pementasan, aku melangkah keluar dengan satu kepuasan walaupun terdetik di hati ingin sekali lagi rasanya menyelami cerita yang terakhir yang dikisahkan. Mungkin juga kerana aku cukup terkesan dengan dialog-dialog yang menjadi asas penceritaannya.



Friday, January 30, 2009

Sejenak..bertafakur..bertawajuh


Sejenak ruang sepi itu kujelajahi
di penjurunya kutemui kekosongan yang nyata
lalu dengan penuh teliti, perlahan dan hati-hati
ku isikan ia dengan zikrullah.

Bertafakur seketika
merenung sisi gelap dalam diri
kutemui hitam yang kelam
sunyi
kosong
sepi
sendiri
mati.

Lalu berwudukku dalam rindu-Mu
untukku isikan nur dalam jiwaku
bersolatku dalam diam-Mu
untukku muhasabahkan diriku
bersujudku menyentuh kasih-Mu
untukku isikan tasbih dan tahmidku
bertawajuhku hanya pada-Mu.


Monday, January 26, 2009

Aku ingin Diam...


Telah lama kugenggam hati itu. Kesakitan ini juga telah lama kupendam. Kini lukanya kian berdarah. Calarnya kian memerah. Telah lama kumiliki hati ini. Perjalanan lapan tahun yang penuh pedih. Hari ini kulepaskan hati itu pada rasa yang bukan milikku lagi. Aku ingin diam.. diam.. diam.. kerana aku telah terlalu lelah. Aku ingin diam dalam sunyi.. sepi.. sendiri... aku ingin diam dalam pedih yang kian mencalar rasa...


Friday, January 23, 2009

Hanya DOa


Aku tak punya kekuatan untuk bercerita lagi
aku tak punya kekuatan untuk berhujah lagi
aku telah bisu dari berbicara
aku telah bisu dari berkata.

Semalam
aku masih punya hati
agar tak mati.

Semalam
aku masih punya jiwa
agar tak kecewa.

Semalam
aku masih punya rasa
agar tak binasa.

Hari ini
aku hanya
punya
satu
.
.
.
DOA.


Saturday, January 17, 2009

Erti Sebuah C.I.N.T.A. 2


Menunganku petang itu panjang. Jauh sekali. Mungkin. Berkali-kali kufikir dan kuselam.. wajarkah untuk kubicarakan.. di sini..? Dan bila rasa ini tidak tertanggung lagi..

kubiarkan rasa ini berbicara
kubiarkan tinta ini bersuara
dan
kubiarkan kalam ini bercerita...

Pagi itu seperti pagi-pagi yang lainnya adalah pagi yang biasa. Dengan cerita dan kisah yang biasa. Juga dengan teman yang biasa. Ku mulakan hari itu juga dengan langkah yang biasa. Penuh tenang.

Sepanjang perjalanan.. kupintalkan satu-persatu, kususun dan kuatur seyakin hati untuk kujalankan tanggungjawab yang telah sedia kugenggam. Tapi seketika keyakinan itu seakan digugat apabila temanku bersuara. Meluahkan kebosanannya untuk memulakan hari itu. Memuntahkan kemalasannya untuk terus mendepani anak-anak kecil yang masih hijau dengan rencah hidup ini. Walhal hari itu adalah hari pertama untuk melangsaikan amanah setelah lama bercuti.

Bukan pertama kali. Bukan sekali dua aku disuakan dengan suara-suara sebegitu yang berlagu di pendengaranku membuatkan aku sering menyoal sendiri.. kiranya tiada cinta, mengapa tega membiarkan diri terus diulit dengan bidang ini.. kerjaya ini? Adakah kerana hanya ini pilihan yang tinggal..?

Aduhai.. kadangkala tak sanggup lagi rasanya untuk kuterus menjadi pendengar pada rasa cinta itu yang kian pudar di hati mereka. Atau mungkin rasa itu tak pernah bermukim... Ada masa-masanya aku jadi semakin tidak mengerti.. untuk apa dicanang-canangkan rasa itu..? Untuk apa dikongsi kebosanan dan kemalasan itu? Terbebankah bahu kalian menggalas tanggungjawab itu?

Wahai teman.. cukuplah kalian mengeluh di atas ketidaksanggupan kalian menggalas tanggungjawab ini. Jangan musnahkan masa depan anak-anak kecil itu dengan rasa cinta kalian yang kian menghilang. Serahkan rasa cinta itu pada mereka yang benar-benar mencintai kerjaya ini.

Sesungguhnya amanah dan tanggungjawab yang terlukis pada wajah-wajah kecil itu bukanlah satu beban... tapi satu anugerah yang tidak ternilai....