~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Saturday, January 17, 2009

Erti Sebuah C.I.N.T.A. 2


Menunganku petang itu panjang. Jauh sekali. Mungkin. Berkali-kali kufikir dan kuselam.. wajarkah untuk kubicarakan.. di sini..? Dan bila rasa ini tidak tertanggung lagi..

kubiarkan rasa ini berbicara
kubiarkan tinta ini bersuara
dan
kubiarkan kalam ini bercerita...

Pagi itu seperti pagi-pagi yang lainnya adalah pagi yang biasa. Dengan cerita dan kisah yang biasa. Juga dengan teman yang biasa. Ku mulakan hari itu juga dengan langkah yang biasa. Penuh tenang.

Sepanjang perjalanan.. kupintalkan satu-persatu, kususun dan kuatur seyakin hati untuk kujalankan tanggungjawab yang telah sedia kugenggam. Tapi seketika keyakinan itu seakan digugat apabila temanku bersuara. Meluahkan kebosanannya untuk memulakan hari itu. Memuntahkan kemalasannya untuk terus mendepani anak-anak kecil yang masih hijau dengan rencah hidup ini. Walhal hari itu adalah hari pertama untuk melangsaikan amanah setelah lama bercuti.

Bukan pertama kali. Bukan sekali dua aku disuakan dengan suara-suara sebegitu yang berlagu di pendengaranku membuatkan aku sering menyoal sendiri.. kiranya tiada cinta, mengapa tega membiarkan diri terus diulit dengan bidang ini.. kerjaya ini? Adakah kerana hanya ini pilihan yang tinggal..?

Aduhai.. kadangkala tak sanggup lagi rasanya untuk kuterus menjadi pendengar pada rasa cinta itu yang kian pudar di hati mereka. Atau mungkin rasa itu tak pernah bermukim... Ada masa-masanya aku jadi semakin tidak mengerti.. untuk apa dicanang-canangkan rasa itu..? Untuk apa dikongsi kebosanan dan kemalasan itu? Terbebankah bahu kalian menggalas tanggungjawab itu?

Wahai teman.. cukuplah kalian mengeluh di atas ketidaksanggupan kalian menggalas tanggungjawab ini. Jangan musnahkan masa depan anak-anak kecil itu dengan rasa cinta kalian yang kian menghilang. Serahkan rasa cinta itu pada mereka yang benar-benar mencintai kerjaya ini.

Sesungguhnya amanah dan tanggungjawab yang terlukis pada wajah-wajah kecil itu bukanlah satu beban... tapi satu anugerah yang tidak ternilai....



7 comments:

Ibnurashidi said...

Salam...

Semoga tabah memegang amanah..niatkan kerana Allah semata.

Anonymous said...

cinta sentiasa bermain-main pada pangkal hati..nenunggu-nunggu ruang untuk menakluki. Cinta Ilahi yang menakluki hati membuatkan cinta fantasi taat pada Ilahi. namun jika cinta fantasi menguasi hati, cinta Ilahi akan hilang dari dir.

AzmaMurni Aziz said...

Ibnurashidi,
insyaAllah.. moga ketabahan itu tidak luntur dan goyah oleh ujian.


parkchcik,
indah kata-katanya buat muhasabah diri..

Anonymous said...

'mengeluh' pun a channel to express one's feeling.. sometimes it's better out than in...

naz ilyn said...

salam...

anak-anak bangsa
membesarkan biji mata
dipagi hari menggagah diri
dengan niat mengapai impian
bersulam tikad dan keazaman
demi masa depan cemerlang
tapi...
mengapa mereka dipersia
dengan niat tak seikhlas mana
amanah.. niat kerana Allah harus senada sekata

Sifu Mirza said...

benarlah apa kata di hati...

AzmaMurni Aziz said...

Anonymous,

memang benar.. adakalanya meluahkan itu lebih baik daripada memendam yang akhirnya memakan diri sendiri.

tapi kadangkala.. apabila terlalu sangat mengeluh pada perkara yang sama.. akan bertandang kesalan di hati. lalu bila keluhan itu terlalu sering diluahkan pada pendengaran lain, bukankah gambaran yang negatif juga akan berbalik pada diri sendiri..?

tapi.. setiap orang punya cara berbezakan untuk melepaskan rasa.. selagi tidak mempengaruhi orang lain tiada salahnya.. sekadar pendapat dari Qasih..

==================================

naz ilyn,

itulah jadinya bila amanah yang diterima bukan dengan sepenuh hati tapi sekadar memenuhi tuntutan hidup kerana sudah tiada pilihan...

==================================

sifu mirza,

hati sememangnya bijak mengerti walau ada masa-masanya tersasar dari memahami...