~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Wednesday, February 25, 2009

SangkaKu

Semalam aku berlari di kaki langit untuk mencari pelangi indah. Sangkaku.. nun saujana memandang di penghujung lautan ialah tangga-tangga pelangi yang kukejar. Sangkaku.. di hujung lautan itu tidak akan membawa aku jauh di badai lautan kerana bagiku.. di hujung itulah sejauh mataku mampu memandang akan ku temui pelangi indah yang mampu kuulit dan kubelai jalur warnanya seperti fikir dan mimpiku.

Semalam kusapu gerimis yang luruh di hati. Sangkaku gerimis itu menghilangkan mentari. Sangkaku gerimis itu akan membawa pelangi indahku jauh di balik awan yang suram. Lalu kupinta gerimis itu tidak luruh lagi ke hati.

Semalam kubuang jauh-jauh duri yang menikam jiwaku. Sangkaku duri itu akan membawa tangis seumur hidupku. Lalu tidak lagi sanggup kulalui jalan yang sama kerana sangkaku duri itu akan tetap berdiri di jalan itu. Menantiku dengan megah dan menghambatku dengan gah.

Tapi hari ini apabila aku mendaki tangga-tangga kedewasaan, baru kusedar. Rupanya sangkaku hanya bersangka-sangka.

Hari ni baru kusedar..
Rupanya kaki langit tidak tercapai oleh akalku.
Rupanya hujung lautan itu tidak ternoktah pada saujana mata memandang.
Rupanya gerimis itu luruhnya ada masa-masanya membawa sinar gilang.
Rupanya duri itu tidak selamanya membawa tangis seumur hidup.
Rupanya duri itu mengajar aku menjadi aku dan mengenal aku.
Rupanya duri itu mengajar aku menjadi dewasa lebih dari sebuah kedewasaan.


Saturday, February 14, 2009

Senyum dan Tangis


“Bila senyum dan tangis menjadi satu
rindu adalah jawapan pada segalanya
rindu adalah ingatan abadi
yang tak pernah mati
biarpun jasad terpisah jauh
dan kasih adalah
cantuman segala rasa
yang menjadikan ia
sesempurna keinginan...”


Saturday, February 7, 2009

Seputar Kisah Biasa

Dia ialah seorang wanita biasa. Seorang ibu dan seorang isteri yang mengimpikan sebuah kehidupan biasa bersama suami dan anak-anak di sisi. Tapi hari itu hati wanitanya rapuh. Ketabahan yang cuba dipertahankan selama ini berkecai satu demi satu.

Suara si kecil merengek meminta disuapkan makanan terngiang-ngiang di telinga. Suara si kakak yang menangis menahan lapar bagai merobek hatinya. Menjenguk ke ruang dapur, seketika dia hampir hilang pertimbangan apabila tiap satu bekas dan tin yang dibukanya hanya terisi dengan rintih dan air matanya sendiri.

Sebulan berlalu tanpa sebarang khabar. Hanya petang tadi dia menerima sehelai warkah yang menoktahkan seluruh hidupnya. Ya.. dia hanya seorang wanita yang tidak punya sebarang upaya untuk menghalang lafaz talak daripada seorang lelaki yang bergelar suami.

Dunianya gelap. Sekelilingnya kelam. Dahan tempatnya bergantung harap selama ini patah dan hilang entah ke mana. Air mata seorang ibu dan seorang wanita berkecai dan bertaburan ke lantai.

Seluruh hidup yang disandarkan pada sang suami menjadi satu permainan takdir yang tiada bertepi. Yang tinggal cuma satu cinta yang diratapi dan sebuah kasih yang ditalkinkan sebelum masanya.

Begitulah perjalanan hidup seorang wanita, seorang ibu dan seorang isteri. Cebisan-cebisan kisah sepertinya sentiasa bermain dalam putaran kehidupan. Namun dia yang pernah kukenali pada nyatanya membuatkan diriku berfikir.. bukan sekali tetapi berkali-kali.. tentang nilai seorang Hawa di mata seorang Adam. Seorang Hawa yang dijadikan daripada rusuk seorang Adam.

Sulitkah untuk mengerti seorang Adam.. atau sukarkah untuk memahami seorang Hawa..? Kalaupun kesalahan terbeban di bahu Hawa.. bukankah Adam harus hadir memimpin agar Hawa tidak terus jatuh dan jatuh.. hanyut sendirian..? Dan teganya hati seorang Adam membiarkan zuriat sendiri menelan pahit kehidupan tanpa menemani mereka di sisi.

Kadangkala kisah-kisah sebegini menjadikan aku takut untuk membicarakan tentang sebuah perkongsian hidup. Telah terlalu banyak kisah yang terpapar di depan mata sehingga ada masa-masanya.. sukarnya untuk kusemai sebuah keyakinan...

Sendiri cuba mentafsir.. mungkin aku yang belum benar-benar mengerti....

Sunday, February 1, 2009

Kubawa diri ke ruang itu

Membaca apa yang ditulis oleh Marissa menyebabkan aku terpanggil untuk berkunjung ke stor DBP petang tadi. Sekali lagi melarikan diri ke ruang kecil di stor itu bagai membawa diriku ke satu alam lain. Alam yang penuh jujur dan telus membicarakan persoalan masyarakat juga sindiran sinis yang penuh ikhlas.

Dalam ruang yang kecil dengan renyai hujan di luar tidak sekalipun menggugat tumpuanku ke pentas kecil, walaupun sesekali gigil dengan sejuknya penghawa dingin. Masa berlalu seakan tidak terasa. Sedar-sedar sudah lebih kurang satu jam setengah aku memencilkan diri di ruang itu.


Selesai pementasan, aku melangkah keluar dengan satu kepuasan walaupun terdetik di hati ingin sekali lagi rasanya menyelami cerita yang terakhir yang dikisahkan. Mungkin juga kerana aku cukup terkesan dengan dialog-dialog yang menjadi asas penceritaannya.