~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Wednesday, February 25, 2009

SangkaKu

Semalam aku berlari di kaki langit untuk mencari pelangi indah. Sangkaku.. nun saujana memandang di penghujung lautan ialah tangga-tangga pelangi yang kukejar. Sangkaku.. di hujung lautan itu tidak akan membawa aku jauh di badai lautan kerana bagiku.. di hujung itulah sejauh mataku mampu memandang akan ku temui pelangi indah yang mampu kuulit dan kubelai jalur warnanya seperti fikir dan mimpiku.

Semalam kusapu gerimis yang luruh di hati. Sangkaku gerimis itu menghilangkan mentari. Sangkaku gerimis itu akan membawa pelangi indahku jauh di balik awan yang suram. Lalu kupinta gerimis itu tidak luruh lagi ke hati.

Semalam kubuang jauh-jauh duri yang menikam jiwaku. Sangkaku duri itu akan membawa tangis seumur hidupku. Lalu tidak lagi sanggup kulalui jalan yang sama kerana sangkaku duri itu akan tetap berdiri di jalan itu. Menantiku dengan megah dan menghambatku dengan gah.

Tapi hari ini apabila aku mendaki tangga-tangga kedewasaan, baru kusedar. Rupanya sangkaku hanya bersangka-sangka.

Hari ni baru kusedar..
Rupanya kaki langit tidak tercapai oleh akalku.
Rupanya hujung lautan itu tidak ternoktah pada saujana mata memandang.
Rupanya gerimis itu luruhnya ada masa-masanya membawa sinar gilang.
Rupanya duri itu tidak selamanya membawa tangis seumur hidup.
Rupanya duri itu mengajar aku menjadi aku dan mengenal aku.
Rupanya duri itu mengajar aku menjadi dewasa lebih dari sebuah kedewasaan.


10 comments:

ku tak sempurna said...

salam kedewasaan :D

sgt indah bhsnya ...

MarladyD said...

terpaku sejenak..berfikir...

Kamsiah said...

Hope deferred maketh the heart sick: but when desire cometh, it is a tree of life

Amal @ PriaPrai @ Chulan Chin said...

salam dik qasih..

tersedar dari bersangka-sangka lebih baik, dari terus lemas cdalam hanyutan prasangka...

menghayati indahnya alam ciptaan al-Khalik, pastinya akan membekasi sesuatu di hatimu yang akan menjadi pedoman..

semoga adikku qasih, menapak kehidupan dengan pimpinan nur-NYA..
amiin..

Sufi Idany said...

semalam sejalur pelangi membentangi dada langit terpegun ida dengan keindahannya. lama ida tunggu untuk melihat pelangi itu.... dengan harapan ianya akan kekal terlarik indah di situ. namun, ida silap Qasih, lama kelamaan jalur yang indah itu pudar, kian menghilang dari pandangan dan akhirnya terus lenyap. dan inilah ibarat cerita kehidupan. apa yang hadir dalam hidup kita akan pergi juga.... lambat atau cepat Takdir yang menentukan. sangka kita insan biasa selalunya jauh menyasar dari kebenaran. hati yang redha cuba untuk menerimanya dengan akalyang realistik.

Aishah Jamal said...

Saya suka pada kata-kata ini...
"Rupanya duri itu mengajar aku menjadi aku dan mengenal aku"

Tercucuk duri itu sakit tapi kesakitan akan menyedarkan kita dari alpa....

Qasih said...

kts..

semoga dewasa mengajar kita menjadi lebih dewasa..
===================================
marladyD..

fikir itu perlu agar tidak tersasar dari landasan yang bernama hidup.
===================================
kak kamsiah..

indah kata-kata tu.. :)
===================================
abg amal..

terima kasih kerana sentiasa mengingatkan..
===================================
sufi idany..

pelangi itu indah tapi cuma seketika. hidup ini juga indah walau hanya seketika. namun dalam pedih dan calar yang bernama kehidupan.. yakinilah.. antaranya pasti terselit kemanisannya.

kehilangan itu sakit tapi dalam sakit itu pasti terselit bahagianya bila segalanya kita yakini dan serahkan pada Dia yang Maha Mengetahui....
==================================
Aishah jamal..

lumrah manusia.. kadangkala perlukan duri untuk menilai diri.

naz ilyn said...

salam...
liku-liku perjalanan kehidupan bagai badai di lautan tak bernoktah
kekadang bergelora mengganas sukar diredah
kekadang tenang setenang air di kali
tapi ayunan renangan kita harus senada
agar tidak hanyut di bawa harus tak bertepi

ryann said...

nice

Qasih said...

naz ilyn..

untuk hidup kadangkala kita harus bijak mengatur rentak agar tidak tersasar...
===================================

ryann.. ;)