~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Saturday, February 7, 2009

Seputar Kisah Biasa

Dia ialah seorang wanita biasa. Seorang ibu dan seorang isteri yang mengimpikan sebuah kehidupan biasa bersama suami dan anak-anak di sisi. Tapi hari itu hati wanitanya rapuh. Ketabahan yang cuba dipertahankan selama ini berkecai satu demi satu.

Suara si kecil merengek meminta disuapkan makanan terngiang-ngiang di telinga. Suara si kakak yang menangis menahan lapar bagai merobek hatinya. Menjenguk ke ruang dapur, seketika dia hampir hilang pertimbangan apabila tiap satu bekas dan tin yang dibukanya hanya terisi dengan rintih dan air matanya sendiri.

Sebulan berlalu tanpa sebarang khabar. Hanya petang tadi dia menerima sehelai warkah yang menoktahkan seluruh hidupnya. Ya.. dia hanya seorang wanita yang tidak punya sebarang upaya untuk menghalang lafaz talak daripada seorang lelaki yang bergelar suami.

Dunianya gelap. Sekelilingnya kelam. Dahan tempatnya bergantung harap selama ini patah dan hilang entah ke mana. Air mata seorang ibu dan seorang wanita berkecai dan bertaburan ke lantai.

Seluruh hidup yang disandarkan pada sang suami menjadi satu permainan takdir yang tiada bertepi. Yang tinggal cuma satu cinta yang diratapi dan sebuah kasih yang ditalkinkan sebelum masanya.

Begitulah perjalanan hidup seorang wanita, seorang ibu dan seorang isteri. Cebisan-cebisan kisah sepertinya sentiasa bermain dalam putaran kehidupan. Namun dia yang pernah kukenali pada nyatanya membuatkan diriku berfikir.. bukan sekali tetapi berkali-kali.. tentang nilai seorang Hawa di mata seorang Adam. Seorang Hawa yang dijadikan daripada rusuk seorang Adam.

Sulitkah untuk mengerti seorang Adam.. atau sukarkah untuk memahami seorang Hawa..? Kalaupun kesalahan terbeban di bahu Hawa.. bukankah Adam harus hadir memimpin agar Hawa tidak terus jatuh dan jatuh.. hanyut sendirian..? Dan teganya hati seorang Adam membiarkan zuriat sendiri menelan pahit kehidupan tanpa menemani mereka di sisi.

Kadangkala kisah-kisah sebegini menjadikan aku takut untuk membicarakan tentang sebuah perkongsian hidup. Telah terlalu banyak kisah yang terpapar di depan mata sehingga ada masa-masanya.. sukarnya untuk kusemai sebuah keyakinan...

Sendiri cuba mentafsir.. mungkin aku yang belum benar-benar mengerti....

7 comments:

Sheeta dari Laputa said...

Qasih...

Pada siapa kisah ini terlakar..? Saya tumpang simpati. Lewat dewasa ni, rumah tangga sekadar pelengkap tanpa nilai pada sesetengah org. Saya harap kelak, bahtera yang bakal saya naiki tidak akan pecah dihempas ombak..

Badai itu sentiasa ada dlm rumahtangga.. Namun usahlah musnahkan ikatan itu. Gegaran Arash kuat dan adalah mungkin lebih kerap zaman ini.

Qasih...

Saya bukan yang layak bicara tentang ini. Kerana saya kira saya adalah masih kurang merasa garam kehidupan.

Perkara yang tidak harus, sekarang sudah menjadi biasa, kan? Adeh.. (Sangsi dengaan masa depan sendiri)

Suka penyataan ini "Kadangkala kisah-kisah sebegini menjadikan aku takut untuk membicarakan tentang sebuah perkongsian hidup. Telah terlalu banyak kisah yang terpapar di depan mata sehingga ada masa-masanya.. sukarnya untuk kusemai sebuah keyakinan..."

AzmaMurni Aziz said...

Marissa..

lakaran kisah ini tentang seseorang yg pernah Qasih kenali.. lama dulu. seorang jiran yg merahsiakan getirnya hingga tak tertanggung sendirian. tika itulah duka itu tampak oleh kami sekeluarga.. tatkala tiada lagi bahu untuk disandarkan lara.. tatkala hati ibu bagai diruntun mendengar tangis anak...

BelalangDewa said...

apa kesudahan perjalanan hidup wanita itu, Qasih... Bagaimana dengan anak-anaknya..? Apakah bekas suaminya bertanggungjawab membesarkan anak-anak itu...?

Bila Diary Bercerita said...

Salam perkenalan Qasih,
Kata-kata yang Qasih lakarkan dalam laman ini menarik minat saya untuk terus membacanya.
Ingin sekali saya linkkan blog Qasih dilaman saya pula. Harap Qasih merestuinya...

KTS said...

hidup ni penuh risiko.. kena berani...

AzmaMurni Aziz said...

divahantu..

jiran Qasih tu dah pulang ke kampungnya diva. tanpa kerja dan tidak berpendidikan tinggi, memang amat sukar baginya. anak-anak membesar dgn rasa yg memberontak di jiwa. kasih ayah terlerai sebagaimana terlerainya ikatan antara ayah dan ibu mereka.. tanggungjawab bekas suami beralih arah pd keluarganya yg baru...
===================================
Aishah Jamal..

terima kasih kerana sudi menyelami bicara tinta Qasih.. segala yg terlakar di sini lahir daripada pemerhatian jua rasa yg tidak terluah oleh bicara.. lalu Qasih tintakn pada bait-bait kata...
*semoga ukhuwah ini berpanjangan..
yang baik ambillah sebagai tauladan
yang sebaliknya jadikan sempadan..
===================================
kts..

benar.. hidup ini penuh risiko tapi kadang-kadang keberanian tidak datang bersama risiko. saat sebegitu.. yang diperlukan hanyalah benteng iman yang kukuh, kan..

Sufi Idany said...

perit dan sakitnya ceritera hidup seorang perempuan. lemah dan tidak daya selalu menjadi bahan persenda kaum lelaki,... adilkah kehidupan sebegini????