~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Monday, March 30, 2009

Bukan Pilihan Terakhir


Seorang ibu pernah menyuarakan kebimbangannya kepadaku kerana anaknya seakan sudah hilang minat untuk belajar. Setiap hari pasti ada sahaja alasan yang mampu difikirkan untuk menyelinap keluar dari kelas. Tujuannya hanya untuk menelefon bonda meminta dijemput dengan seribu satu alasan.

Kutekuni setiap kata si ibu dan kubaca baris-baris harapan yang dilontarkan dari bibir seorang ibu. Kurangkai dan jalinkan setiap kata-kata dan harapan itu untuk kulebih memahami...

Bersama si anak.. kucuba selami jiwanya. Kudekati hatinya, kusentuh rasanya dan kuikuti getar resahnya. Kutekuni si anak sebagai seorang kawan dan kupimpinnya sebagai seorang guru.

Tidak lama.. seminggu kemudian kulihat perubahan yang membuatkan hati ini menguntum senyum. Belum sempat ku berdiri dari duduk, si anak telah siap di depanku bertanyakan apa yang ingin kuajar hari itu. Kadangkala seawal pagi sesampaiku di bilik, dia terus menemuiku bertanyakan kerja yang ingin kuberikan atau buku yang akan kugunakan. Di dalam kelas juga sikapnya tidak lagi seperti dulu yang sering mengadu kesakitan.

Untuk semuanya.. aku hanya mampu memanjatkan syukurku pada-Nya...

Kupilih amanah ini bukan kerana ini jalan yang terakhir terpaksa akur kuterima. Kupilih tanggungjawab ini yang kini kugalas ke bahuku atas rasa kagumku tehadap arwah mak ngah, seorang guru yang telah mendidik ramai insan.

Sedari dulu, apabila ditanya tentang hala tuju dan matlamat hidup, jawapanku hanya satu.. aku ingin mendidik. Aku ingin memanusiakan sekurang-kurangnya seorang manusia. Wahai.. terlalu tinggi rasanya cita-cita itu tapi aku berpegang pada prinsip.. tiada yang mustahil selagi kita bernafas!


Saturday, March 28, 2009

Manisnya kerana duka dan duri..


Manisnya hidup ini adalah kerana duka dan duri yang pernah mencalar rasa dan jiwa.

Kesakitan itu menjadikan kita lebih memahami erti kebahagiaan.

Kepedihan itu menjadikan kita lebih mengerti makna sebuah pengorbanan.

Dan kedukaan itu akan mengingatkan kita pada saat-saat bahagia yang pernah hadir dalam hidup ini.. mengajar kita untuk lebih menghargai...


Monday, March 23, 2009

Tiada Lakaran Seindah Lakaran Takdir


Kehilangan...

Entah mengapa.. terasa kehilangan begitu dekat menghampiri. Terasa diri jauh dari segala. Hari-hari yang telah berlalu dan ditinggalkan.. seakan saat itu telah begitu lama berlalu. Dan aku.. serasa baru sedetik cuma membuka mata, menyedari aku sendirian.. di sini.

Seketika terasa diri ini berada di gurun yang amat luas. Segalanya dilihat tidak punya beza. Semuanya sama. Pandangku ke kanan, kiri, depan dan belakang.. semuanya sama. Diri ini terkaku di situ. Hilang arah untuk terus memilih langkah.

Benarlah seperti apa yang sering dibualkan. Sakit menjadikan kita lebih dekat pada-Nya. Kesusahan menjadikan kita lebih hampir dengan-Nya. Kedukaan menjadikan kita sentiasa ingin mendampingi-Nya. Dan kesendirian ini menjadikan diriku begitu mencintai-Nya.

Mendambakan kasih manusia kadangkala menjadikan kita lupa. Menginginkan cinta manusia senantiasa menjadikan kita alpa. Lalu apabila kehilangan menghampiri, resah begitu menghantui dan gelisah sering menemani. Betapa rapuhnya jiwa bila berhadapan dengan kehilangan walaupun kita tahu.. kehilangan adalah pasti bagi yang bernyawa.

Namun lumrah manusia yang dijadikan jauh dari kesempurnaan, tidak akan mampu berdiri sendiri dalam lautan kehidupan. Juga tiada daya untuk menentang badai ujian sendirian. Lalu apakah yang harus kukatakan apabila aku harus dan masih sendiri merentas perjalanan usia? Salahkah kiranya ketenangan itu kutemui dengan cara ini? Selebihnya kuserahkan pada Dia Yang Maha Mengetahui dalam menentukan lakaran hidupku.. kerana kuyakini.. tiada lakaran seindah lakaran takdir yang telah ditentukan oleh-Nya.


Thursday, March 19, 2009

UsAi..

Dalam pencarian itu
terhenti dan terkaku
mungkinkah di sini akhirnya?

Pencarian sebuah pertemuan
dalam dingin subuh
dalam getar fajar
dalam merah senja.

Perjalanan itu
pencarian itu
pertemuan itu
ternoktah
pastikah di situ?

Telah usai di situ
dalam lelah
dalam hembus nafas
dalam tiap denyut nadi
segalanya bersatu
dalam diam
tanpa suara
tanpa kata.

Diam..
memahami
mengerti
menyerah
berserah
hanya
pada-Nya.



Sunday, March 15, 2009

Yang Terbias


Hari-hari dan minggu berlalu begitu sahaja dalam penyepian yang seakan tiada titik noktah. Satu kebiasaan yang menjadi begitu luar biasa bagi diriku. Kesibukan yang sering mendampingiku bukanlah suatu yang di luar daripada biasa. Namun ketenangan dalam kesibukan itu menjadikan diriku berada di luar dari batas waktu yang biasa kulalui. Lalu yang terbias dari kesibukan yang begitu menenangkan itu ialah rasa syukur kepada-Nya.


Saat dan detik yang berlalu tanpa sempat kutintakan pena Qasih di laman ini menjadikan diri ini terasa begitu kosong dan sepi. Masa seakan terhenti sebelum waktunya. Dan aku seakan tidak lagi berada dalam dunia yang nyata. Aku bernafas dalam ribut masa dan aku berlari dalam kalut hari. Betapa aku benar-benar merindui jemariku tatkala bertinta meluahkan bait kata yang diterjemahkan dari minda dan hati.


Sunday, March 8, 2009

Peringatan Nenda Tuah


Di hujung senja
kitalah pendukung cerita
pada layar malam
kitalah pencatit ulung
pada lagu-lagu sumbang
yang berdendang
di kala layar senja berlabuh.

Tika deru semilir pagi menjengah
kita kutip kenangan lalu
di usungan waktu
kita buka warkah usang
bicara nenda Tuah:
“Takkan Melayu hilang di dunia.”

Di antara kaki senja
dan deru semilir pagi
kita pendukung generasi harapan
adalah cucu-cucu Tuah
yang masih kalut
mencari identiti sendiri
gah, di atas nama kemodenan!

Lalu
unggulkah bicara Tuah?
sedang kealpaan kian menyaluti
anak-anak warisan bangsa.

- 13 September 1996 -

(Puisi ini kulakar tatkala merenung diri dan merenung bangsaku yang bernama Melayu)

Saturday, March 7, 2009

HaKiKaT


Sederap kali melangkah

sedetik masa beredar
pada wajar bertanya
pada hati dan hakiki
satu perjalanan
yang menagih
pasrah dan redha
dalam cantuman
akal dan fikir.

Tika bangkit dari lena
berbisik dalam sedar
kematangan bukan harta
yang mampu dipusakai
juga bukan nama
yang mampu diwarisi.