~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Wednesday, April 22, 2009

Mencari Cinta Sebenar


Salamku ke kanan
salamku ke kiri
mencari dalam diam
bertemu dalam kata
kalam-kalam bercerita
betapa sunyi itu rindu
senyap itu kasih
tawaduk itu cinta.

Lakaran-lakaran kasih itu
berlagu pada surah-surah-Mu
untaian-untaian cinta itu
bernyanyi pada kalam-Mu.

Lalu pada hela nafas ini
hembusku penuh sedar
pada nadi yang masih
menghitung zikrullah.

Sesungguhnya pada-Mu Ya Rabbi..
rayuku..
pujukku..
pintaku..
mohonku..
kafankan jasadku
bukan dengan kebencian-Mu
talkinkan jenazahku
bukan dengan amarah-Mu
selimutkan jiwaku dengan kerinduan itu
getarkan hatiku dengan janji-janji-Mu
agar tidak rasa ini berpaling
walau sedetik dari nur-Mu.

Subhanallah...

Monday, April 20, 2009

Warkah Buat Sahabat


Assalamualaikum wbt..

Kehadapan seorang sahabat yang pernah berkongsi segala rasa. Semoga dirimu dirahmati oleh-Nya walau di mana jua dikau berpijak di bumi Allah ini.

Buatmu sabahat,

Kupinta... maafkanlah kiranya rasamu telah kucalarkan tanpa sedarku. Kupinta sahabat.. maafkanlah diriku kerana tiada niat di hatiku untuk menyentuh amarahmu.

Bertahun kita bina ikatan persahabatan ini.. bertahun jua kita semai rasa percaya. Jua telah lama kita saling berkongsi hari duka dan gembira bersama. Dan hari ini.. yang bertahun itu ternyata masih belum utuh untuk dipertahankan. Dalam sekelipan mata... kebencian yang bermukim di hatimu telah menghancurkan segala tinta indah yang kita lakarkan dalam diari semalam.

Pintaku padamu sahabat.. hanya sebuah kemaafan di atas keterlanjuranku.. di luar sedarku. Pintaku sahabat.. mengertilah... aku hanya manusia biasa yang takkan mampu untuk menghindari kesilapan.

Sahabat.. kiranya di suatu masa nanti.. amarahmu telah dingin dan telah kau buka pintu kemaafan buat sahabat ini.. bisikkanlah padaku tentang kesilapanku itu agar tidak ku ulang untuk kali yang keduanya.. kerana sesungguhnya calar yang berdarah di hatimu turut merobek rasaku.

Lalu hanya satu kupinta... berikanlah kemaafanmu itu sebelum mata ini tertutup.. selamanya...


Dari seorang sahabat.

Monday, April 13, 2009

M.E.L.A.Y.U.K.U.

Melalui rentetan sejarah, aku diajar sejak kecil tentang bangsaku Melayu yang tunjang dan akarnya budaya.. bersatunya tidak goyah, perjuangannya tidak mudah rapuh, semangatnya yang kental dan kesetiaannya yang cukup utuh. Aku diulit dengan lagenda silam kepahlawanan terbilang yang tidak ada duanya.

Entah kenapa.. tika aku cuba menelusur bangsaku hari ini.. nyata.. bukan sekadar mimpi.. amat payah rasanya untuk kucari Melayu yang pernah diceriterakan padaku sejak di bangku sekolah. Seakan bangsaku yang semalam hanya wujud pada helaian-helaian buku-buku sejarah yang kian hilang bisanya.

Laluan masa yang berdekad lamanya ternyata seakan merapuhkan semangat yang telah lama tertanam pada bangsaku. Lalu yang tinggal hanyalah kebimbangan yang seakan tidak ada hujungnya. Atau.. mungkinkah sudah tiba pada akhirnya...?

Bangsaku hari ini terlalu cepat melatah walau sekalipun tidak dijentik.
Bangsaku hari ini penuh dengan amarah biarpun bukan pada tempatnya.
Bangsaku hari ini penuh dengan kelantangan biarpun dulunya berkias bicara.
Bangsaku hari ini sudah hilang Melayunya.. sudah habis malunya...