~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Friday, May 29, 2009

Takdir yang tertulis...


“Mungkin ini telah tertakdir dan tertulis dalam rentetan perjalanan hidupku.”

Tanpa sedar hatiku berbisik pada fikir tatkala kususuri jalan yang telah sunyi itu. Ku pandang sekeliling. Dedaun cempaka berguguran dan bunga-bunganya gemalai menghias sekitar setelah disentuh mesra angin.

Aku bahagia di sini. Syukur pada-Mu.. Ya Allah... Getir membawa aku ke sini. Sabar.. memimpinku mendaki tangga-tangga ketenangan.


Monday, May 18, 2009

Dari Mata Qasih.. Tafsir ke Hati.. Renung ke Jiwa...


Catatan : 16 Mei 2009

Berbicara tentang seorang guru.. mungkin punya tafsir berbeda bagi setiap individu. Lantas apabila membuka kembali cerita hari semalam.. minda menyingkap ingatan pada seorang guru yang pernah mengajarku semasa di sekolah rendah. Seorang guru yang sepatutnya mendidik dan menyemai rasa cintaku pada bahasa ibunda tapi sebaliknya telah meletak benci yang tidak bertanda.

Masih segar diingatan bicaranya. Masih terasa jemarinya yang mencubit dan memulas perutku tanpa belas. Masih terasa pijar telinga ini ditarik... segalanya bila diingat kembali hanya kerana aku tidak sempat melangsaikan kerja yang dipinta dalam waktu yang terlalu singkat. Kala itu di hati terdetik.. kalau ditakdirkan aku menjadi seorang guru.. aku tidak ingin menjadi seorang guru sepertinya.

Melangkah ke alam dewasa.. aku ditemukan dengan seorang guru yang amat kukagumi.. Cikgu Narimah. Melaluinya kembali kupupuk cinta itu. Sikapnya.. perhatiannya menjadikan aku diriku sekarang. Satu yang kusemat dalam diri dan dalam setiap doaku.. “Tuhanku, jadikan aku seorang guru seperti dirinya.. yang punya cekal tidak berbelah.. yang punya kental tidak ternoktah.”

Kini.. hari ini aku bergelar seorang guru. Dan tanggal 16 Mei merupakan satu penghargaan kepada insan yang bergelar guru. Menerima hadiah daripada murid-murid mampu membuat hati seorang guru tersenyum. Hadiah itu.. tanda penghargaan dan ingatan dari yang bergelar murid.

Namun
kegembiraan sebenar
yang terlukis di hati seorang guru
ialah apabila guru itu..
mampu mengubah sikap anak didiknya

mampu meletakkan rasa percaya di hati anak didiknya
mampu menyelami hati dan jiwa mereka
bukan sekadar mengherdik, meninggikan suara untuk melunaskan kerja.

Titis kegembiraan yang luruh di hati seorang guru itu apabila..
turut merasai tangis gembira anak didiknya di kala meraih detik kejayaan

jua bukan sekadar kesal yang bertandang..

tatkala anak didiknya bergelut dengan kegagalan

tapi turut merenung kekurangan diri untuk diperbaiki

agar tidak akan ada lagi pedih kecewa
yang terlakar di wajah anak didiknya.

Seorang guru itu
bukan sekadar menghitung hari untuk bercuti

bukan hanya membilang waktu untuk pulang ke rumah
kerana seorang guru itu..

di bahunya tergalas amanah
di tangannya letaknya harapan

satu bangsa.. sebuah negara..

runtuh dan bangunnya..

segalanya bermula dari seorang GURU.



Monday, May 4, 2009

Mencari Mahsuri di Panggung Sari


Catatan : 30 April 2009

Penat yang belum sempat bernafas lega... aku mencuri ruang antaranya untuk merehatkan minda mencari Suri di Langkawi berlatarkan Istana Budaya. Usai menonton.. satu rasa menyelinap dan hati berbisik.. puas!

Walaupun tidak berpeluang memenuhi jemputan ryann disebabkan oleh kesibukan dan tuntutan tugas yang tidak pernah langsai, akhirnya pada malam terakhir kuhadirkan diri ke ruang itu untuk sekali lagi melihat sentuhan ibu Fauziah Nawi.

Untuk mencari sat
u yang sempurna segalanya.. pasti tidak mungkin. Namun menyaksikan Suri yang penuh lagenda hasil sentuhan ibu Fauziah Nawi di Panggung Sari.. hati ini berkata.. memang inilah ibu Fauziah.

Pembukaan tirai dengan paparan peta Langkawi satu idea yang baik namun bagiku adalah lebih cantik kiranya paparan tersebut adalah pengisahan asal-usul Suri yang menjadikan dia seistimewa lagendanya.

Dua babak yang membuai rasa dan hampir mengundang tangis yang titis ke pipi.. pertama tika Suri dipenjarakan. Rayuan sang ayah juga pintaan kemaafan daripada Wan Endah dan iringan lagu hasil sentuhan Iryanda Mulia menjadikan ia sendu berlagu pilu.

Dan sekali lagi rasa ini terbuai oleh babak terakhir tatkala Suri meluahkan kecewanya dengan tutur sumpah pada pulau bertuah itu. Pedih tusukan fitnah dan calar kecewa di jiwa Suri tidak hanya dirasakan di pentas lakon itu tapi turut dikongsi bersama penonton. Pendam luka di hati si ayah yang akhirnya mengundang amuk sebagai protes pada ketidakadilan juga dapat dirasai. Pujian harus diberikan pada Ard Omar, anak didik stefani.

Wan Mahura.. satu watak antagonis yang memainkan peranan yang bukan kecil dalam Lagenda Mahsuri sebenarnya ialah penggerak yang memainkan peranan penting dalam melakarkan lagenda itu sendiri. Tanpa Wan Mahura takkan mungkin wujudnya lagenda yang masih diceriterakan sehingga ke hari ini. Lumrah hukum alam.. hitam dan putih sebenarnya sentiasa saling melengkapi. Sebagai
mana putihnya darah Suri sebegitulah hitamnya hati Mahura. Tanpa hitam dan putih itu.. alam ini takkan tertinta seindah seadanya.