~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Friday, July 31, 2009

Menggalas SuKaR


Amat payah rasanya bila diri terpaksa menjaga banyak hati.. bila rasa perlu menggalas banyak jiwa. Sukarnya bila kita berada di tengah-tengah.

Di sebelah..
ada hati yang perlu ditatang dengan penuh berhemah agar tidak membawa gerhana berpanjangan.
Lalu..
di sebelah yang lain, juga ada hati yang perlu dijaga agar tidak termakan diri.

Segalanya menuntut sabar yang tinggi. Juga menguji kematangan dalam mengambil sebarang tindakan atau menuturkan setiap bicara.

Moga aku dikurniakan kesabaran itu, juga kekuatan daripada apa yang bakal terjadi.


Thursday, July 23, 2009

Meletak Nilai pada Makna Kebahagiaan

Aku pernah ditawarkan “duit tambahan” dengan kerjaya aku sekarang. Bukan sekali tapi berkali-kali. Tapi tetap aku menolaknya tanpa berfikir untuk kali yang kedua. Aku telah dan pernah merasai.. malah dulu aku sering bergelumang dengan kerja.

Pernah satu ketika.. aku tidak tahu erti penat. Aku tidak faham makna bercuti. Apalagi mengisi ruang cuti itu dengan gelak bahagia keluarga dan saudara terdekat. Kutetapkan satu tanda dalam hidup.. yang ingin kugapai. Aku ingin buktikan, aku tetap mampu mencapai apa yang kuinginkan. Sama seperti mereka tapi dengan keringatku sendiri.

Namun hari ini.. aku tetap aku yang dulu. Cuma dengan akal dan fikir yang berbeda. Aku tidak lagi menghabiskan seluruh masaku di ruang kerja. Kuatur dan kususun langkah hidupku dengan lebih bermakna. Juga kupastikan segala amanah yang kugalas tidak akan sekali lagi mencuri ruang peribadi hidupku. Tapi itu tidak bermakna aku mengabaikan tanggungjawab yang telah kutatang sehingga ke hari ini.

Kini aku ingin benar-benar menghargai hidupku. Menikmati setiap inci dan ruang yang masih wujud dengan sebaik-baiknya. Betapa sebenarnya setiap detik dalam hidup adalah amat bermakna.

Benar.. aku tidak mampu berpaling semula apalagi menebus kembali segala masa yang telah berlalu. Biarpun cerita dan geraknya adalah sama tapi ruang waktunya tidak mungkin sama seperti sebelumnya.

Walau apapun, sekurang-kurangnya aku lebih memahami kini. Bukan wang ringgit, kejayaan atau pangkat yang meletakkan nilai pada makna kebahagiaan. Tapi kebahagiaan sebenar.. apabila setiap denyut nadi, setiap getar di dada.. mampu dihayati dan dirasai dengan penuh ketenangan dan keredaan di atas segala yang bakal menanti.


Monday, July 13, 2009

Ruang.. Lohong.. Seorang Teman

Dia perlu teruskan hidup ini.. sendiri atau berteman.. dia perlu teruskannya kerana hidup ini tidak akan terhenti kala dia mahukannya. Hidup ini akan berterusan seperti masa yang akan terus berdetak tanpa berpaling walau sesaat.

Dia akur. Masa yang telah melangkah jauh darinya tak memungkinkannya mengutip satu-persatu.. kembali. Kesalkah dirinya? Bukankah perkataan itu tidak pernah dia letakkan dalam kamus hidupnya..? Tapi hari ini.. hatinya merasakan satu ruang yang kian bisu. Lohong yang kian dalam seakan tidak terisi dengan sebarang kewujudan.

“Tetapkan impian. Satukan angan. Jadilah apa yang kamu ingin jadi. Tidak ada yang mustahil kecuali..”, tutur seorang teman.

“Hanya kalau Dia tidak mengizinkannya. Pasti sesuatu itu tidak akan berlaku. Pasti!” sambungnya lagi seakan berbisik.

Tika itu dia tidak cukup mendalami kata-kata seorang teman. Baginya.. menuturnya amat mudah. Tidak sesukar melaksanakannya.

“Jangan kamu salahkan takdir. Jangan sesekali kamu salahkan Dia kerana kamu memilih jalan yang telah kamu pilih. Memang segalanya telah Dia tentukan. Waima segala yang tersurat pada mata atau yang tersirat pada akal dan hati. Segalanya dalam pengetahuan Dia. Dia Yang Maha Tahu segala kebaikan yang ingin dilimpahkan padamu dalam kecelaan itu.”

Panjang sekali seorang teman berkata. Yang selama ini membisu dalam diam. Rupanya punya mutiara yang disimpan kemas.

Dia bungkam di situ. Dia tidak punya jalan untuk berpaling. Dia tidak punya arah untuk terus maju ke hadapan. Tapi ketika itu, dia diketemukan dengan seorang teman ini.

Seorang teman yang kunjungnya tidak mampu diingati. Datangnya tidak meletakkan tanda dan perginya tidak pernah dihambat oleh kehilangan. Tapi seorang teman itulah.. hari ini hadirnya bukan hanya telah menyentuh tapi mendakap erat seluruh hidupnya dengan tuturnya yang mengalir telus ke jiwa.