~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Monday, August 24, 2009

Guris Sendaan


Ketidakselesaan mendepani rakan sekerja atau resah mendepani kebenaran? Masih kucari jawabnya. Segalanya bermula dengan usikan nakal seorang rakan. Akhirnya bertukar menjadi satu sendaan yang kadangkala mampu mengguris dengan cukup halus sekali.

Sikapku menjadi bahan jenaka dan tempat untuk melepaskan tawa. Lalu tanya datang bersoal.. salahkah caraku mendidik..?

Dengan pertimbangan akal dan waras tanpa melibatkan detak rasa, aku cuba mengumpul rasional di sebalik sendaan demi sendaan. Segalanya apabila kudekati setiap anak didikku dengan caraku sendiri.

Tiada lantang amarah, tiada herdik mencerlung.. yang ada hanya kata kususun dengan hemah, hati kusentuh dengan sabar, kuselami dan kutekuni jiwa anak-anak didikku dan kubacakan resah di mata mereka sebagaimana kudendangkan bait-bait ilmu yang membuahkan cinta di hati mereka. Tiada ketakutan di mata mereka untuk bersoal kemusykilan yang bermain di minda.

Aku mampu tersenyum apabila kedegilan anak-anak didikku mampu kulembutkan. Bukan dengan ugut paksa tapi dengan nasihat yang kusentuh ke jiwa mereka. Lalu salahkah caraku mendidik bila ketegasanku bersulamkan kasih? Salahkah caraku apabila amarah itu kusimpan jauh di sudut sabar? Apakah setiap guru itu perlu melemparkan amarah sebagai satu syarat pasti dalam mendidik?

Apakah aku sebagai seorang pendidik telah gagal untuk melaksanakan amanah yang selama ini kutatang hanya kerana aku tidak ingin dikenali sebagai ‘cikgu garang’ yang mampu menggetarkan hati si kecil?

Sendaan itu seakan tidak pernah mahu berhenti walau telah sampai ke titik noktahnya. Hanya kerana aku adalah ‘cikgu yang tidak tahu untuk marah apabila mengajar’. Perlukah kemarahan itu untuk menyemai rasa cinta...?

Satu masa.. aku juga pernah bergelar murid. Pernah ada benci dan juga sayang pada insan yang bergelar guru. Lalu untuk apa aku memilih benci untuk kutanam di hati anak-anak didikku. Bukankah sayang itu lebih indah walaupun aku terpaksa menelan setiap sendaan itu yang tidak mungkin ternoktah.

Biarlah.. aku tetap dengan caraku.




Saturday, August 22, 2009

Tamu 1430

Di hening malam
lerai penantian
bersama kerinduan itu
yang tertahan sekian lama.

Datangnya bertamu
menyingkap tabir malam
indahnya rindu itu
nikmatnya penantian itu.

Moga kali ini
rindu dendam itu
menjadikan sepertiga malam ini
basah dengan titis kerinduan
sendu dengan rintih penyesalan.

* SALAM RAMADAN... *

Tuesday, August 11, 2009

Merdeka yang kutemui

Satu ketika
aku melihat Merdeka yang masih terpenjara.
Merdeka itu terantai erat.
Lemah.

Di ketika yang lain,
aku terserempak dengan Merdeka
tapi tidak lagi kukenalinya.

Merdeka yang kulihat itu telah hilang susilanya.
Telah pudar malunya.
Telah luntur semangat juangnya.

Lalu kucuba cantumkan lipatan-lipatan sejarah.
Cuba kumenelusur perit luka,
titis darah yang masih mengalir
dan parut yang masih lagi basah.

Aku cuba mengerti
di sebalik luka yang tidak pernah sembuh itu.
Aku cuba mencari pincangnya.
Tapi akhirnya kufahami..
Merdeka itu sebenarnya tidak pernah bebas.
Masih lagi dijajah dan terjajah.


Saturday, August 8, 2009

Kekurangan yang Sempurna


Kekurangan itu
bukan untuk dihindari
juga bukan untuk disalahkan
tidak juga satu alasan
untuk dikasihani.


Kekurangan itu
adanya untuk diterima
kurangnya untuk dilengkapi
kerana yang bernama kekurangan itu
hadirnya untuk melengkapi
sebuah kesempurnaan.


* Kekurangan itu sebenarnya menjadikan insan itu cukup sempurna. Namun, sempurnanya sebuah kekurangan itu adalah sempurna yang bersyarat.. menerima segalanya SEADANYA...


Sunday, August 2, 2009

Di sebalik pencarian

Mencari pada satu pencarian tanpa titik noktah pasti akan mengundang soal yang tak berjawab. Kita tahu, faham mahupun mengerti.. kanvas takdir bukan kita yang gerakkan. Palitan warna dari gerak tingkah dan ayunan emosi yang kita tuliskan di kanvas itu juga bukan atas kuasa kita sepenuhnya. Itu kita tahu.

Tapi terkadang.. getar rasa dalam mencari sesuatu yang abadi untuk melengkapkan satu pusingan kehidupan menjadikan kita terus mencari tanpa lelah.. walau sebenarnya kita cukup mengerti... tidak akan berinjak walau sebutir zarah tanpa izin-Nya.