~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Saturday, January 16, 2010

Sejarah dan Hikayatnya

Semalam sejarah berhikayat
jatuh rebah seorang pejuang
semalam sejarah bercerita
tersungkur parah
yang bernama wira.

Hari ini sejarah jua berkata
bercerita tentang perjuangan
berbicara tentang kemenangan

tapi bicara sejarah hari ini
bukan lagi bicara pejuang
bukan lagi bicara
yang bergelar wira.


Benar!
Sejarah tetap bernama sejarah
walau bicaranya berbeza kini
sejarah tetap sejarah
walau yang bernama perjuangan
bukan lagi berjuang
di atas nama sebuah perjuanga
n
kerana zaman mendahului zaman
telah bermadah berkias seadanya
Jebat disanjung, derhakanya bukan ukuran
setianya Tuah bukan bayaran seorang wira
kerana setianya yang buta
membangkitkan suara perjuangan
kerana setianya juga
membunuh langkah seorang wira.

Benarlah!
Sejarah tetap sejarah
walau lagunya berbeza kini
namun terhimpun di dalamn
ya
cerita yang sama
hikayat yang
sama
hanya rentak berbeza.



Friday, January 8, 2010

Semoga Berbahagia.. Adinda

Doa Kakanda.. Semoga berbahagia Adinda..



Sirih junjung sirih beradat
Dititip dengan bunga melati

Majlis dimula penuh istiadat

Menyambung kasih dua sejoli




Mahligai bahagia impian bersama
Sehati sejiwa menjalin kasih

Lafaz diucap janji diterima

Dua hati diikat kasih



Sekacip madah seulas kata
Buat ingatan teruna dan dara

Bila hati seia sekata

Mahligai bahagia tuju bersama




Bersama Ayahanda dan Bonda





Di taman indah puteri dilamar
Cincin di jari sebagai tanda
Direnjis-renjis si air mawar
Mohon restu ayah dan bonda



Sungguh si nuri bersuara merdu
Hinggap di dahan di malam hari
Bila hati berlagu rindu
Itu tandanya cinta bersemi



Mahligai bahagia impian diri
Seia sekata tidak kan mungkir
Doa dimohon restu diberi
Moga bahagia hingga ke akhir




Tuesday, January 5, 2010

Diari Hati Seorang KEKASIH

Bersamamu ingin ku ungkapkan sayang
namun tak terdaya untuk kulafazkan
di sisimu ingin kubelai wajah mesra
namun tangan ini terantai erat
lalu bagaimanakah harus ku nyatakan
pada hatimu dan rasamu
aku hanyalah seorang perindu

menghitung rindu di birai waktu.

Andainya lekaku membiarkan sangsi
sesekali menyisih keyakinan ke tepian
lalu membiarkan kolam pilu melimpahkan
serumpun tangis di perdu resah
maafkanlah...

Andainya bicaraku menghiris se
mbilu
di lembut kasihmu yang tak ternilai
nilaiannya
lalu terkadang dengan sedar yang
bukan
sekadar hayalan
goresan luka di hatimu kutitiskan
dengan pedih sebuah janji
yang tak termampu untuk kugenggam
maafkanlah...

Kiranya kasihku hanya bermadah sayang
cuma bertinta rindu
tapi berbingkai perpisahan
maafkanlah..
kerana sesungguhnya
bukan niat sekadar menghir
is rasa
bukan kata sekadar menabur janji
dan bukan bicara sekadar menyulam harap.

Di sini kerana segalanya sesungguhnya
dalam rela yang resah
dan dalam keterpaksaan yang payah
pasrah meminggirkan sebuah pertemuan
parah memenjarakan rindu yang tertangguh
hanya kerana segalanya
bukanlah di tangan kita untuk membina
fantasi sebuah mimpi
di dunia realiti.

Satu yang nyata

kasih ini
bukan sekadar indah ilusi
kerana derita dan pedihnya
adalah kasih yang indah
nilaiannya adalah luhur sebuah hati.


Catatan : 29 Julai 2001

Saturday, January 2, 2010

Bicara Sepertiga Malam

Membilang hari-hari semalam.. banyak kenangan yang tertinggal dalam laluan masa. Terkadang tanpa sengaja tak terakam oleh ingatan. Lalu yang tinggal hanya detik kosong yang terkurung dalam memori.

Betapa hidup ini terlalu singkat untuk dikeluhkan dalam simpang-siur kehidupan yang terlalu panjang untuk difikirkan. Hingga terkadang tidak sedar.. masa berlari pergi membawa segala. Dalam sekelipan mata dan seperti sehembus nafas.. setiap langkah hidup yang kita atur dalam separuh kehidupan rupanya tertinggal di belakang begitu sahaja. Tanpa sebarang catatan pada diari hayat yang telah lama tidak tersentuh.

Betapa masa begitu pantas berlari dan kita menjadi begitu lel
ah mengejar. Lalu bila sesekali lena malam terusik oleh sunyi sepertiga malam.. sedar datang mengetuk pintu muhasabah. Tuhanku.. betapa kelalaian itu tidak pernah terlupa untuk mendampingi. Dan betapa sunyi yang berbicara di sepertiga malam ini telah membuka hijab diri satu-persatu.