~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Saturday, February 20, 2010

Terlewatkah...?

Seketika tersedar
telah banyak kehilangan
yang makin dan kian mendekat
yang tidak pernah diendahkan
lantaran kasih diberi tidak berbelah.

Seakan dalam hayalan
bermimpi bukan pada realiti

dan apabila yang benar itu
mengetuk ruang hakikat
terlambatkah untuk sebuah kepulangan?
terlewatkah untuk sebuah kerinduan?
yang telah lama disimpan di sudut itu
satu sudut yang jauh di lubuk hati.



Friday, February 19, 2010

Kenapa Ada Pendam..?

Entah di mana salahnya apabila tiba-tiba segalanya menjadi kosong, keliru dan begitu terasing sekali. Mahu ditidakkan tapi kekesalan datang mendekat seakan tidak mahu menjauh lagi.

Amarah menyinggah hanya kerana perkara yang amat remeh. Segalanya mampu diuraikan dengan sedikit perbincangan tapi kenapa antaranya perlu ada pendam..?

Tuhan..
Berikanlah kekuatan.
Tabahkanlah hati ini.


Thursday, February 11, 2010

Anugerah-Nya..

Subhanallah..
indahnya anugerah Tuhan pada hamba-Nya.
Tenang mata memandang setenang hati merasai...



Tuesday, February 2, 2010

DoA

Ya Allah Ya Tuhanku
kiranya ilmu yang kuberikan
kepada anak-anak didikku
adalah lahir dengan penuh keikhlasan
maka penuhilah dada mereka dengan ilmu
yang telah Engkau perkenankan.


Ya Allah Ya Tuhanku
kiranya pengorbanan masa
yang telah kuluangkan
adalah tulus kerana-Mu
maka berkatilah pengorbanan ini.


Ya Allah Ya Tuhanku
kerana sesungguhnya
Engkau yang Maha Mengetahui
maka permudahkanlah hamba-Mu ini
dalam mendidik dan membimbing mereka
ke arah nur-Mu yang satu.


Doa.. hanya itu yang termampu kuhadiahkan kepada mereka sebagai tanda kasihku dalam getar dan debar yang makin kuat menghuni tatkala memandang satu-persatu wajah-wajah polos di hadapanku. Sesungguhnya mereka belum mengenal mainan dunia. Mereka belum menjamah helah dan muslihat dunia yang tidak pernah mengenal erti kasihan. Mereka masih kecil dalam hijau yang masih segar.

Terkadang aku tertanya sendiri mengenang telatah mereka. Hati yang seharusnya putih dan belum tercalar tapi di mana silapnya. Terkadang agak sukar untuk dibentuk. Rona anak-anak sekarang yang tertitik hitam dalam hijaunya yang masih mentah. Salah siapakah? Masih aku tercari jawabnya dalam diam.. memerhati, menilai dan terus menekuni setiap tingkah dan laku mereka.