~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Monday, April 26, 2010

hItaM pUtIh

Saat kubawa fikir ini menyelam hitam
mencerna segala mimpi dan realiti
segala rasa dan hakikat
sunyi tidak lagi menjengah
pantas terhambat ruang sesal
betapa hitam putih dalam diri
seakan bersatu dalam diam.

Tika kubawa akal mencari putih
terlindung jauh di balik bayang hitam

sungguh!
titik putih itu tidak pernah tenggelam
walau dalam pekatnya hitam.

Dalam hitam tertitik setitis putih
dalam putih tercalit setitik hitam.

Putih hitam mencari akal fikir
membuka hijab dosa semalam
membentang sejadah pahala

melukis garis sedar
rimbun pelangi itu
bertemunya pada titik hitam dan putih
yang telah ditentukan oleh-Nya.


Sunday, April 18, 2010

Cermin Diri

Melempar pandangan ke luar tingkap, satu pandangan kosong menerjah. Membilang jejak-jejak yang tertinggal di belakang lalu bertanya pada diri.. di manakah letaknya diri ini di dunia di luar sana? Masih adakah yang mengingati atau mengenali kalau tanpa sedar bahu berselisih di mana-mana?

Terkadang serasa dunia di luar sana begitu aneh dan begitu asing sehingga kadangkala memaksa diri mengunci rapat kebebasan itu hanya di ruang ini. Tapi ada masa-masanya sisi lain dalam diri bertanya.. berbaloikah..? Namun de
ngan cepat sedar mengetuk jaga.. segala perjalanan hidup ini yang telah sudah atau akan dilalui telah pun diatur sempurna oleh-Nya.

Pernah satu ketika, bicara fikir yang benar-benar menguasai diri... manakah bahu yang dapat disandarkan duka ini kalau mereka yang disayangi harus menyahut perjanjian yang telah ditentukan?

Saat tinta ini dilakar, titis yang hangat bergenang cuba ditahan agar tidak tumpah. Terlalu banyak yang berlaku dalam hidup ini sehingga diri ini tidak pa
sti sama ada masih sekuat dahulu atau sebaliknya. Pemergian arwah Tok Wan walaupun telah begitu lama terasa bagai semalam. Kekuatan yang tinggal.. hanyalah nenda dan makcik yang kuanggap bagaikan ibu sendiri.

Semoga ketabahan diri tidak pernah berkurang kerana sesungguhnya hanya Dia Yang Maha Mengetahui perjalanan terbaik untuk hamba-Nya.


Ya Allah
Kiranya ingin Kau uji hati ini
Ujilah ia agar lebih dekat dengan-Mu
Kiranya ingin Kau uji hati ini
Ujilah ia agar lebih rindu pada kasih-Mu
Dan kiranya ingin Kau uji hati ini
Ujilah ia agar lebih reda dengan ujian-Mu.

Friday, April 2, 2010

Yang Terluah..

Lama rasanya tidak melepaskan bicara di sini. Kekangan masa dan tanggungjawab menyebabkan ruang ini sepi seketika. Pintu akal dan fikir seakan tertutup rapat untuk hampir sepurnama lamanya.

Hati ingin berkata. Minda ingin meluahkan tatkala fikir mula berbicara. Namun sabar memujuk tenang agar melepaskan diam, mendahulukan amanah yang semakin memberat di bahu. Semakin dekat, getar dan debar semakin terasa. Moga dijauhkan putus asa menyinggah dalam diri.

Dengan kalimah Bismillah.. kaki ini melangkah ke ruang kecil untuk berdepan dengan anak-anak yang masih mentah. Seiring doa mengharapkan hati mereka yang kecil itu begitu besar untuk menerima tiap ilmu yang diperturunkan. Itulah harapan yang senantiasa tertanam dalam doa setiap kali melangkah mendepani mereka.

Menerima tanggungjawab mengajar murid-murid yang bakal menghadapi peperiksaan penting menyebabkan amanah itu serasa begitu besar. Setiap harapan dan masa depan anak-anak didik tergalas di bahu. Dan antaranya turut terpikul harapan serta impian setiap insan yang bergelar ibu dan ayah.

Tidak payah dan tidak sukar sebenarnya untuk mendekati hati anak-anak kecil itu. Tapi juga tidak senang untuk menggalas tugas sebagai seorang pendidik pada hari ini. Tugas yang tidak pernah ada noktah waima dikelilingi oleh pebagai cuti. Sebenarnya tidak ada istilah cuti dalam hidup seorang guru sekiranya dia benar-benar memahami erti seorang pendidik.