~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Friday, April 2, 2010

Yang Terluah..

Lama rasanya tidak melepaskan bicara di sini. Kekangan masa dan tanggungjawab menyebabkan ruang ini sepi seketika. Pintu akal dan fikir seakan tertutup rapat untuk hampir sepurnama lamanya.

Hati ingin berkata. Minda ingin meluahkan tatkala fikir mula berbicara. Namun sabar memujuk tenang agar melepaskan diam, mendahulukan amanah yang semakin memberat di bahu. Semakin dekat, getar dan debar semakin terasa. Moga dijauhkan putus asa menyinggah dalam diri.

Dengan kalimah Bismillah.. kaki ini melangkah ke ruang kecil untuk berdepan dengan anak-anak yang masih mentah. Seiring doa mengharapkan hati mereka yang kecil itu begitu besar untuk menerima tiap ilmu yang diperturunkan. Itulah harapan yang senantiasa tertanam dalam doa setiap kali melangkah mendepani mereka.

Menerima tanggungjawab mengajar murid-murid yang bakal menghadapi peperiksaan penting menyebabkan amanah itu serasa begitu besar. Setiap harapan dan masa depan anak-anak didik tergalas di bahu. Dan antaranya turut terpikul harapan serta impian setiap insan yang bergelar ibu dan ayah.

Tidak payah dan tidak sukar sebenarnya untuk mendekati hati anak-anak kecil itu. Tapi juga tidak senang untuk menggalas tugas sebagai seorang pendidik pada hari ini. Tugas yang tidak pernah ada noktah waima dikelilingi oleh pebagai cuti. Sebenarnya tidak ada istilah cuti dalam hidup seorang guru sekiranya dia benar-benar memahami erti seorang pendidik.


4 comments:

eeeda said...

Klu difikirkan.. rasanya tak mampu nak mengalas tanggungjawab nie.. tapi kita buat lah semampu yang boleh.

AzmaMurni Aziz said...

eeeda..

Insyaallah.. moga keikhlasan akan membenihkan keberkatan.. :)

Din Khudri said...

Hmmm kuat kuat

AzmaMurni Aziz said...

din khudri..

InsyaAllah... :)