~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Sunday, May 30, 2010

~ AnDaiNyA ~

Andainya diriku memilih diam
bukanlah kerana benci mendekati
hanya sekadar memendam rindu
yang tak mungkin kau mengerti
pada hatimu yang bisu.

Andainya diriku memilih tangis
bukanlah kesal menghias hati

hanya sekadar mengucap kasih
yang tak mungkin kau mengerti
pada rasamu yang dingin.

Andainya diriku jauh menghilang
bukanlah ingin kuhadirkan perpisahan
dan tidak sekali kasih ini kubiar pergi

hanya sekadar menginsafi diri
pada suara rindumu yang tak lagi kudengar kini
yang tak pernah lagi mengunjungi
lena dan jagaku.

Andainya diriku tak lagi kau temui
dalam lena dan jagamu
maafkanlah dan mengertilah
andainya kasih ini hanya untukmu

kasihilah...
andainya rindu ini hanya untukmu
rinduilah....

Tinta: 27 Ogos 2002


Sunday, May 23, 2010

Mungkin telah terlalu lama...

Mungkin aku telah berlama di sini. Terlalu lama.. sehingga aku seolah terlupa tentang kali pertama jejak kuletakkan di sini. Mungkin telah sampai waktunya untuk aku kembali mengabdikan diri di tempat yang telah kutinggalkan. Walau di sana yang mungkin masih tersisa hanyalah kenangan silam. Digenggam hilang.. didakap erat ke jiwa.

Di sini aku telah semakin lelah dalam melawan segala rasa. Telah semakin lelah menatang dan menjaga satu jiwa. Namun segalanya seakan melukis di angin lalu.. hilang tanpa tertinggal walau setitis.

Mungkin aku perlu mengerti untuk kembali mencari diri yang telah lama hilang. Mungkin juga aku perlu mengerti.. kehilangan itu semakin mendekat. Lalu siapalah aku untuk menghalang setiap yang telah tertulis...

Ya.. mungkin aku perlu membina hati sekeras batu agar air mata ini tidak lagi tumpah apabila saat itu tiba. Mungkin aku harus perisaikan jiwa ini agar tidak mudah rapuh tika menggenggam noktah pertemuan. Dan mungkin.. telah tiba masanya untuk kusimpan cerita-cerita semalam seerat mungkin. Agar dapat kuteruskan perjalanan ini.. walau aku tidak pasti di mana harus kumulakan kerana aku telah terlalu lama terhenti dari mencari sebuah kehidupan...


Sunday, May 16, 2010

Ruang Untuk Menilai

Hampir seminggu berlalu. Tiada riak dan tutur yang menghias perjalanan hari. Setiap ruang yang tidak terisi dengan usik dan senda, rajuk dan marah.. bagai ada satu kehilangan dalam kekosongan itu. Setiap hembus nafas hanya berteman aksara-aksara yang kaku. Setiap rentak, gerak, dan tindak seperti berada dalam dunia yang jauh dari segala kehidupan.

Segala kesenyapan ini yang tidak pernah tenggelam di dalam kebisingan itu rupanya telah memberi begitu banyak ruang untuk menilai. Juga memberi begitu banyak ketakutan setiap kali detik kehidupan itu terhitung di atas jalur masa yang akan dilalui.

Sesungguhnya perjalanan ini masih panjang dan tidak mungk
in untuk dilalui sendirian. Semoga kekuatan itu masih utuh dalam genggaman. Semoga ketabahan ini masih setia menyelimuti diri agar tidak kedinginan dalam getir ujian.

Wednesday, May 12, 2010

Bila olah membuat tingkah..

Hari yang sepatutnya dipenuhi dengan rasa yang menyenangkan bertukar menjadi sebaliknya. Segalanya menjadi kelam.. muram. Sinar seakan hilang tanpa pamitan. Sepi pantas menyinggah. Menyelak satu-persatu helaian-helaian resah lantas memutarkan kembali bicara-bicara kelmarin. Cuba mencari gores kata yang mengguris rasa sehingga kemaafan tidak lagi mungkin.. menggantikan pedih yang tercalar.

Sekali ini pujuk tidak lagi mendekat kerana hati t
elah terlalu letih membuat rayu memohon rajuk membuat timbang. Cukuplah.. bila bicara tetap bernafas dalam sunyi tanpa ada hujungnya.. dan bila olah membuat tingkah.. sampai bilakah lagi sabar ini harus mengambil tempat..?


~ Tinta : 10 Mei ~

Friday, May 7, 2010

Detak Hati

Berkerah keringat untuk menjadikan manusia itu lebih nilai kemanusiaannya bagai menggalas segunung pekerti yang semakin kusam warnanya. Kalau pekerti itu ibaratnya sepohon pokok.. telah lama daun-daunnya gugur sebelum tiba masanya. Di manakah silapnya apabila maruah tidak lagi mempunyai nilai..?

Benarlah.. dunia ini telah sampai ke hujungnya...