~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Sunday, November 28, 2010

~ Tentang RaSa ~



Apa guna berpandang mata

Kalau tidak sampai ke hati

Apa guna berkias kata

Kalau kasih berbunga simpati.


Friday, November 26, 2010

~ Wajah MaLaM ~

Menatap wajah malam
ada cerita yang belum selesai
ada kata yang belum terungkai.

Dalam sunyi dan dingin
yang membalut segala rasa
tirai alam tersingkap
rahsia hati terbentan
g.

Getar yang mendebar dada
membawa cerita yang tak terungkap
membuka kisah yang tak terluah.

Antara sunyi yang dingin
dan hitam yang gelisah
ada hati yang tenang
menatap sinar bintang

memujuk sendu bulan
agar tidak menitis tangis
pada kasih yang hilang.


Friday, November 19, 2010

~ Bila tintaku berkata ~

Aku ingin menulis. Meluahkan segalanya dalam bait-bait kata tapi aku tidak tahu dari mana harus kumulakan aksara-aksara itu. Segalanya berjalan seperti yang telah tersurat dalam laluan takdir di bawah ketentuan-Nya. Dan segala yang tersirat adalah kehebatan-Nya yang tidak terjangkau oleh minda kecilku.

Apapun aku akur untuk terus berjalan pada laluan yang telah sedia terbentang di hadapanku. Tampak mudah dan lurus walau kadangkala berselang onak dan duri yang tidak terlihat oleh pandang mata. Sekali lagi aku akur.. tidak ada yang mudah walau untuk mengerdipkan sepasang mata. Segalanya dengan izin-Nya.. Subhanallah...

Hari ini aku membawa diri.. merenung kembali jalan-jalan yang pernah kulalui, menilai khilaf diri, meneliti cantuman-cantuman hidupku yang masih belum lengkap. Aku mencari di mana letaknya diri ini.. hari ini.. semalam dan hari depan yang belum pasti.

Aku bertatih sendirian, berjalan dan cuba berlari. Kemudian jatuh dan cuba bangun semula. Kuatur langkah satu demi satu. Segalanya kulakukan dan laluinya sendiri.

Sungguh.. seketika aku terkedu. Setabah itukah diriku..? Mendekati angka 14.. di perantauan. Sekuat itukah aku?

Tidak punya jurusan yang mampu dibanggakan oleh sesetengah orang.. aku masih boleh bernafas lega di kota ini. Syukurku pada-Nya di atas segala kurniaan dan nikmat yang tidak terbatas. Soal jodoh.. hari depan.. kuserahkan pada DIA yang lebih mengetahui. Usah lagi terus-terusan hujani aku dengan pertanyaan kerana aku tidak punya jawapannya.

Thursday, November 11, 2010

~ Hari iNi.. ~

Hari ini..
Genang mata seorang guru adalah tumpahan segala jerih dan kasih yang tergalas di bahu atas nama amanah dan tanggungjawab.

Hari ini..
Linang yang luruh di birai mata anak-anak itu adalah lukisan kemanisan sebuah kejayaan yang sering terlakar dalam laungan suara seorang guru.

Hari ini..
Seorang murid mengerti makna kasih yang tersulam dalam tiap amarah yang singgah lewat tutur bicara seorang guru.

Hari ini..
Seorang murid mula memahami erti ketegasan seorang guru bukanlah lontaran kebencian mahupun hukuman semata. Sebaliknya adalah tangan yang membimbing agar tidak terus rebah tanpa sokongan.