~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Monday, March 28, 2011

~ MuDaH yang PaYaH ~

Petang tadi berkesempatan lagi menonton rancangan Oprah, salah satu daripada rancangan kegemaranku. Berkisah tentang kehidupan seorang pelakon rancangan tv “who’s the boss?” yang kemudian beralih arah menjadi seorang guru dan mengajar bahasa Inggeris.. impian awal yang tersimpan sebelum bergelar pelakon.

Menurutnya, tidak senang sebenarnya untuk menjadi seorang guru apalagi untuk mendidik walau seorang pelajar. Hari pertama ternyata tidak semudah yang disangka. Tanpa skrip dan dialog, nyata sekali begitu payah untuk menarik perhatian
dan minat pelajar agar memberikan sepenuh tumpuan kepadanya. Lalu apabila melihat riak bosan pada wajah pelajarnya, dia seakan hilang semangat. Sebagai lelaki, dia menangis tanpa malu atas kegagalannya itu. Hampir menyerah kalah dengan pelajar-pelajarnya sendiri. Mujur dia cepat sedar dan bulan-bulan seterusnya dia menjadi seorang bapa, seorang teman, juga seorang guru yang cukup digemari.

Ya.. memang benar. Bukan mudah untuk menjadi seorang guru yang mampu mendidik dan diingati oleh pelajar. Juga bukan mudah untuk mencuri perhatian mereka agar membidik pandang tepat ke arah suara yang terlontar. Dan bukan juga mudah untuk menerobos minda bawah sedar mereka agar menerima segala lontaran kata menjadi cerita-cerita yang mampu terpahat kukuh dalam akal kefahaman dan minda mereka.

Memang bukan mudah.. hanya yang mempunyai kecekalan, semangat, minat serta kesabaran yang tinggi sahaja yang mampu menjadikan sesuatu yang kelihatan mudah pada anggapan itu sebenarnya bukan mustahil.


Friday, March 18, 2011

~ Yang TerPinjam ~


127 hours.. satu yang kupelajari daripada filem ini ialah apa juga matlamat yang ingin kita capai dalam hidup, perlu seiring doa, usaha dan semangat. Doa tanpa usaha takkan membawa kita ke mana-mana. Usaha tanpa semangat.. segalanya sia-sia. Yang pastinya, banyak yang terpinjam sebaik sahaja selesai menonton filem ini. Tentang kuasa mengawal, kuasa minda juga tentang ikhtiar hidup.

Garapan dan teknik yang menarik sepanjang penceritaan menyebabkan 1 jam 45 minit tidak terasa lama. Namun sedikit terkilan apabila pertengahan cerita sedikit terganggu dengan dengkur orang sebelah yang jaraknya selang dua kerusi.. ermm...


Sunday, March 13, 2011

~ Renung DiRi III ~

~ Ujian bukan sekadar menguji
ketabahan dan kekuatan hati
serta jiwa semata,
tapi ujian juga menguji
kekentalan iman serta kerapuhan peribadi.

Sesungguhnya..

cara kita berhadapan dan menangani
setiap ujian yang mendatang itu
akan membuka satu-persatu
hijab diri
untuk kita lebih mengenali
dan memahami
siapa kita sebenarnya... ~



Tuesday, March 8, 2011

~ ..kOsOng.. ~

Tika jam menunjukkan tepat 3.30 petang, aku tidak mahu jam itu terus berdetik. Kalaulah pilihan itu di tanganku.. biar saja aku lemas dan lelah dalam hal pekerjaan ini. Lebih ku rela daripada memikirkan pengakhiran kisah pada penghujung hari ini.

Aku ingin berlama di sini. Di tempat pekerjaan ini. Sesuatu yang tidak pernah aku fikirkan untuk lakukannya sebelum ini. Hatiku lebih tenang dalam kesibukan ini. Namun pilihan itu bukan di tanganku. Aku harus pulang. Pulang pada se
gala kekosongan yang sedia menanti.

Lalu aku memaksa diri memandu pulang dalam fikir yang melayang entah ke mana. Semakin hampir ke tempat yang ku tuju, semakin kekosongan memenuhi segenap ruang. Seketika.. aku benar-benar kehilangan arah. Ingin kuleraikan segala dalam titis yang luruh namun kebingungan semakin erat berdampingan.

Ya Allah.. bawalah hamba-Mu ini ke mana saja di bumi-Mu yang maha luas ini.. asalkan saja aku tidak perlu terus sendirian mengatur langkah. Aku pasrah.. dan kuredha. Hanya kasih-Mu yang kumiliki.

Sunday, March 6, 2011

~ Sandar yang PaTaH ~

Telah acapkali aku menyandar percaya pada yang dipanggil teman. Namun tiap kali itulah percaya itu menjadi lebur tak bernisan. Persahabatan itu menjadi perkuburan kaku tanpa sempat ditalkinkan.

Mungkin aku terlalu menggantung harap. Menyerah segala percaya dan beranggapan hanya dia teman yang aku punya. Sedang dia masih punya teman yang lain dan aku hanyalah antara yang singgah dalam hidupnya.


Mungkin juga kerana itulah.. apabila olah membuat onar dalam hubungan kami.. dia masih punya ruang lain untuk berkongsi cerita dan tawa. Dan aku.. hanya ada diriku.

Pernah aku mengintai-intai nombor-nombor yang masih dalam simpananku, untuk berkongsi sedikit cerita lama sambil meleraikan pintalan rindu.. mungkin. Namun segalanya hampa. Hanya nombor yang tertera.. hanya nombor.

Ternyata tanpa sedar aku melepaskan segala ikatan persahabatan yang pernah kumiliki hanya kerana aku percaya dan yakin.. bahu yang kusandarkan duka dan tawa selama ini tidak akan pernah meninggalkan aku. Benarkah...?

Kugenggam kejap telahanku agar tidak terlepaskan kerana aku tahu.. aku tidak punya kekuatan itu kalau benar saat itu tiba. Ya, kalau pun benar.. aku amat-amat berharap dan berdoa agar apabila tiba saat itu aku telah punya kekuatan untuk menyandarkan segala rasa pada bahuku sendiri. Amat-amat berharap....