~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Tuesday, May 31, 2011

~ Sedetik yang Tak Ternilai.. ~

Jumaat lepas, tanpa kusangka aku telah diarahkan untuk membawa beberapa orang anak didikku untuk ke Lembah Azween Resort, menyampaikan derma bagi pihak sekolah kepada anak-anak yatim mangsa tanah runtuh di Hulu Langat. Kuterima tugas itu dengan hati terbuka.

Syukur kupanjatkan pada-Nya kerana Allah telah membuka ruang untukku hadirkan diri ke sana. Telah lama aku mencari peluang dan ruang untuk mendekati anak-anak itu. Akhirnya aku diberikan kesempatan itu biarpun hanya sedetik waktu.

Hati ini amat tersentuh saat tangan ini disalami penuh hormat. Air jernih cuba kutahan dari tumpah di bibir mata basah ke pipi. Pilu yang luruh di hati anak itu seakan turut mengalir ke hatiku. Memandang wajah dan matanya mengundang rawan yang sukar kuungkap melalui kata-kata. Matanya bercerita segala dalam bisu bahasa yang entah bagaimana mampu kufahami pedihnya.

Sebak yang cuba kusembunyikan akhirnya tewas jua kala kakiku melangkah meninggalkan anak itu. Segera kuseka titis yang mengalir di pipi. Moga tidak ada antara anak didikku yang sempat menyedari air jernih yang telah menitis di pipi guru mereka ini.

Perjalanan pulang, seakan sekolam hening menumpahkan selaut sunyi. Segalanya bungkam dalam kata yang tak terluah. Hanya doa yang mampu mengiringi...

Ya Allah.. lindungilah anak-anak itu
Dengan rahmat dan keredhaan-Mu
Jadikanlah mereka
Anak-anak yang kental jiwanya
Dan kuat semangatnya
Agar tidak mudah menyerah dan kalah
Dengan ujian duniawi
Penuhilah dada mereka
Dengan iman dan taqwa
Sebagai bekalan ukhrawi
Amin...


Monday, May 23, 2011

~ Yang bermain di FiKiR ~

Apabila dirimu memandang kehidupan
Pandanglah dengan mata hatimu..
Apabila dirimu memandang cinta
Pandanglah dengan waras akalmu
Agar dapat dikau timbang..
Jatuhmu bersambut
Teguhmu berdiri tidak runtuh
Lemasmu tidak jauh ke dasar
Langkahmu tidak terus tersasar
Kerana kau genggam iman dalam dadamu
Untuk menyuluh cintamu...



Sunday, May 8, 2011

~ DiA ~

Dia.. yang hanya kulihat wajahnya dari potret yang masih tersimpan. Dia.. yang kukenali hanya dari cerita-cerita yang diperdengarkan kepadaku. Dia.. yang pernah kumimpikan kasih dan sentuhannya.. tidak pernah kusesali kerana tidak memilikinya.

Mama.. terima kasih kerana memberikan ‘nafas’ untukku mengenali dunia ini. Sungguh.. begitu besar pengorbananmu. Biarpun jasadmu tidak
tersentuh olehku namun kasihmu tetap kutemui dalam diri setiap yang bergelar ibu. Belaian rindu dan sayangmu tetap setia menyentuh jiwaku melalui jiwa setiap ibu yang kutemui.

Sesungguhnya tidak pernah kurasai berjauhan daripada kasih sayangmu. Tidak pernah walau sekalipun kurasai kehilanganmu kerana dikau senantiasa hadir di sisiku..

..dalam redup mata setiap ibu yang kutemui.
..dalam lembut bicara dari setiap ibu yang kudengari.
..dalam manis setiap senyuman yang terukir di bibir.
..dan dalam setiap sentuhan kasih yang menyelimuti diriku.

Ya Allah.. sesungguhnya Engkau lebih mengerti walau tanpa bicara. Ya Allah.. tempatkanlah roh ibuku bersama hamba-hambaMu yang Engkau redhai. Dan rahmatilah setiap insan yang telah menyentuh hidupku dan jiwaku dengan kasih seorang ibu.. amiin.



Wednesday, May 4, 2011

~ Tentang KeMaaFaN ~

Apabila berbicara tentang kemaafan, seringkali persoalan demi persoalan menggusar lelah. Bagai tidak ada hentian juga seakan tidak bertemu hujung, bicara tentang kemaafan seolah tidak ada akhirannya.

Lafaz yang begitu senang terungkap, walau pada detik yang sama lafaz itu turut menjamah luka yang meninggalkan pedih berpanjangan.

Maaf.. terlalu halus bicara. Begitu sopan nada terluah.

Andai sebaris ayat atau sepatah kata itu mampu
merubah segala.. pasti kata maaf itu tidak lagi perlu berhemah di bibir untuk kali yang tidak terhitung kerana segala lajak itu telah dapat dibasuh dengan hanya sepatah kata.. maaf...