~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Tuesday, May 31, 2011

~ Sedetik yang Tak Ternilai.. ~

Jumaat lepas, tanpa kusangka aku telah diarahkan untuk membawa beberapa orang anak didikku untuk ke Lembah Azween Resort, menyampaikan derma bagi pihak sekolah kepada anak-anak yatim mangsa tanah runtuh di Hulu Langat. Kuterima tugas itu dengan hati terbuka.

Syukur kupanjatkan pada-Nya kerana Allah telah membuka ruang untukku hadirkan diri ke sana. Telah lama aku mencari peluang dan ruang untuk mendekati anak-anak itu. Akhirnya aku diberikan kesempatan itu biarpun hanya sedetik waktu.

Hati ini amat tersentuh saat tangan ini disalami penuh hormat. Air jernih cuba kutahan dari tumpah di bibir mata basah ke pipi. Pilu yang luruh di hati anak itu seakan turut mengalir ke hatiku. Memandang wajah dan matanya mengundang rawan yang sukar kuungkap melalui kata-kata. Matanya bercerita segala dalam bisu bahasa yang entah bagaimana mampu kufahami pedihnya.

Sebak yang cuba kusembunyikan akhirnya tewas jua kala kakiku melangkah meninggalkan anak itu. Segera kuseka titis yang mengalir di pipi. Moga tidak ada antara anak didikku yang sempat menyedari air jernih yang telah menitis di pipi guru mereka ini.

Perjalanan pulang, seakan sekolam hening menumpahkan selaut sunyi. Segalanya bungkam dalam kata yang tak terluah. Hanya doa yang mampu mengiringi...

Ya Allah.. lindungilah anak-anak itu
Dengan rahmat dan keredhaan-Mu
Jadikanlah mereka
Anak-anak yang kental jiwanya
Dan kuat semangatnya
Agar tidak mudah menyerah dan kalah
Dengan ujian duniawi
Penuhilah dada mereka
Dengan iman dan taqwa
Sebagai bekalan ukhrawi
Amin...


6 comments:

Amal @ PriaPrai @ Chulan Chin said...

aslkm..
didoakn smga rahmat Ilahi memayungi hidupmu dik qasih..

sememang yg punya perasaan, pasti mampu simpati dgn nasib anak2 itu..

abg am juga antr yg dekat dgn mangsa- 7 org murid abg am terkorban dlm tragedi myayat hati itu..

jk abg am tau dik qasih dtg ke lembah azwen, blh abg am jmpa dik di sana.. apa daya.."takdir penentu segala"..

bsama kita mdoakn mereka yg tlh pergi mgadap Ilahi..

al-Fatihah

.: S.A.Y.A :. said...

Assalamualaikum...
Kak Qasih yg selalu empati...
Sama2 kita doa ya kak...

Mahu jadi guru seperti kak Qasih 1 sedikit waktu lagi...
Yang selalu ada rasa & tak pernah kehilangan rasa...
Doakan ye kak... =)

AzmaMurni Aziz said...

Abg Am..

waalaikumussalam..

Semasa Qasih ke sana dan berjumpa dengan salah seorang daripada mereka, masih tergambar di mata anak itu rasa terkejut dengan apa yang telah berlaku.

Apabila kami diberitahu.. anak-anak yang masih tinggal tidak mempunyai saudara-mara atau keluarga yang sanggup datang menjemput.. simpati datang bertimpa..

Ya.. sama-samalah kita mendoakan yang terbaik untuk mereka yang masih tinggal dan juga yang telah pergi mengadap Ilahi...

AzmaMurni Aziz said...

Misraini..

wlkmslm dik.. apa jua yang kita lakukan biarlah disertai dengan minat dan keikhlasan. InsyaAllah.. kejayaan dan kebahagiaan akan mengiringi..

.: S.A.Y.A :. said...

salam...
kak qasih...
ada bengkel asas penulisan novel tarbiah remaja di galeri ilmu kota damansara, petaling jaya...
syaratnya mesti hantar sinopsis satu m/s saja pun x apa2...
kak qasih sangat berbakat menulis dengan nada memujuk...
kak x mau cuba?
cubalah kak...
menulis itu juga dakwah...
kita x punya banyak harta untuk kita sedekahkan sebagai bekalan pahala berpanjangan...
namun, Allah hadiahkan kita dengan ilmu dan bakat...
penulisan yang ditulis dengan ilmu kebaikan dan membawa orang untuk dekat pada-NYA juga satu perjuangan yang tiada sudah...
peluang terbaik untuk kakak saya yang manis-manis tulisannya ni... =)

AzmaMurni Aziz said...

Misraini..

InsyaAllah, dik...

Menulis menuntut tanggungjawab yang besar. T/kasih atas keprihatinan.

Kak Qasih menulis untuk ketenangan diri. Meluah segala rasa dan kusut di minda melalui tinta, meredakan resah melalui puisi.

Mis.. kak Qasih akui tak semua orang mampu menulis dan tulisan dari hati adalah tulisan yang punya seribu satu makna dan rahsia tersendiri.. yang mampu menyentuh setiap jiwa dan rasa dengan cara yang paling halus.

Kakak doakan moga dirimu dalam limpahan rahmatNya sentiasa.. amiinn..