~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Monday, June 27, 2011

~ Titis TiNtA ~

Telah agak lama kubiarkan teratak ini sepi tidak berkalam. Seakan hilang dalam sunyi yang panjang. Tenggelam dalam lara yang paling dalam. Sungguh.. segala seakan terhenti bukan hanya untuk sesaat dan tidak pula tertitik pada mana-mana noktah.

Teratak ini kutinggalkan seketika. Cuba kutarikan rentaknya di luar sana. Cuba kulestarikan setiap mimpi agar nyatanya tidak lagi sekadar igauan. Lalu kususun langkah ini satu-persatu menemani setiap jalan kehidupan yang kulalui. Terkadang keliru menyapa. Aku jadi gamam sendiri.

Aku hanya punya tanganku sendiri untuk kugenggam erat. Hanya bahuku sendiri untuk kualirkan segala resah. Dan aku hanya ada diriku untuk kusandarkan rebah. Hanya diriku...

Kubiarkan laluan hari berjalan pada jalannya. Kulihat segalanya berubah dan masa terus berdetik. Aku tidak tahu di mana akhirnya perjalananku ini. Siapa yang akan terus menemani langkahku.. tidak ku punya jawapannya walau pada bayangan sekalipun.

Namun, satu yang kupasti.. aku tidak pernah sendirian selagi kugenggam erat kasih-Nya dalam kasihku kerana DIA tidak pernah meninggalkan aku sendirian walaupun sesaat.

Mungkin dalam hidup ini, banyak yang kupinta daripada-Nya tapi tidak semua menjadi milikku kerana sesungguhnya DIA telah menyediakan yang terbaik untukku.

Dan sungguh.. aku meyakini itu sebagaimana yakinnya aku pada cinta dan kasih-Nya yang tidak pernah berpaling dariku. Terkadang aku terlupa tapi DIA tidak pernah melupakan diriku.. Subhanallah...


No comments: