~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Thursday, December 8, 2011

~ Memutar Kisah SeMaLaM ~


Hari ini aku memutuskan untuk menghabiskan separuh hari di toko buku mencari senaskhah diari. Telah lama rasanya tidak melangkah ke sana. Ternyata banyak tuntutan-tuntutan lain yang perlu didahulukan namun kecintaanku pada yang satu ini tidak pernah padam.

Mungkin kerana nasib, maka langkah kananku bagaikan saja dapat membaca kerinduan ini. Cepat mata menangkap.. “MPH Carnival”. Mana mungkin aku lepaskan peluang ini biarpun telah kuagih-agihkan secukupnya perbelanjaan untuk bulan ini. Ah, akan kuaturkan semula. Hati kecilku pantas memujuk.

Dan di sana kutemui teman-teman lama. Memutar kembali cerita-cerita lama satu-persatu. Segalanya masih segar di ingatan. Banyak yang aku dengar, kukutip dan kukongsikan dengan mereka.. membuatkan aku “terjaga”. Masa begitu cepat berlalu dan begitu banyak yang telah berubah.

Tiba-tiba aku jadi rindu. Amat rindu dan kerinduan ini seakan tidak terbendung lagi. Rindu pada segala yang telah berlalu, yang pernah singgah dan memberikan pelbagai warna dalam hidupku, yang menjadikan siapa aku hari ini.

Subhanallah.. perjalanan hidup yang tidak pernah kita fikirkan. Kita yang mencorakkannya mengikut warna-warna kehidupan yang kita lalui dan DIA yang menentukan segala. Setiap perjalanan warna itu ada sebab dan tujuan, namun di mana tertitik garis terakhir dalam lorekan itu.. hanya DIA yang Maha Mengetahui.

Dunia ini adalah kanvas. Kita adalah figura yang diindahkan dengan pelbagai warna kehidupan dan Allah adalah pelukis yang Maha Bijaksana.

Sunday, December 4, 2011

~ Telah kuletakkan noktah itu.. ~

Aku telah meletakkan noktah pada satu titik pengakhiran untuk satu permulaan baru. Di sini aku lebih tenang membilang hari dalam menyusuri landasan kehidupan.

Jalan hidupku mungkin tidak semudah insan lain tapi liku itulah yang mematangkan diriku. Liku itulah yang telah banyak mengajar aku tentang syukur dan menghargai setiap yang kumiliki walau sebesar zarah sekalipun.

Yang telah kufahami..
setiap kesukaran itu mengajar kita agar lebih bersedia
setiap air mata itu menuntut kita untuk menjadi lebih tabah
setiap kesakitan itu mengajar kita agar menjadi lebih kuat
dan setiap kegagalan itu mengajar kita
untuk lebih menghargai
sebelum kehilangan
mengambil tempat.