~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Sunday, February 24, 2013

~ Masih Meneka.. menduga.. ~

Kukira 
meneka bahagia itu mudah
rupanya 
tidak semudah yang kusangka
kukira
menduga itu hanya menduga-duga
rupanya
ku perlu celikkan akal
untuk membidik rasa
agar tidak tersasar.

Kukira
meneka itu tidak perlu menduga
rupanya
sangkaan itu hanya sangka semata
 aku perlu terus meneka
untuk menduga bahagia.

Monday, February 11, 2013

~ Meneka Bahagia ~

Sekian lama mendiamkan diri, aku menjadi pemerhati... melihat kebahagiaan insan-insan yang pernah kukenali dari jauh. Mereka pernah hadir dalam hidupku. Pernah menjadi sahabat juga pernah berkongsi tawa.

Namun hari ini, ukhuwah itu seakan terlerai pada nyata. Hanya ingatan yang menjadi penghubung pada satu kewujudan yang telah ditinggalkan dalam penafian yang tidak berhujung. Mereka semakin jauh dari landasan persahabatan. Dan aku semakin menjadi orang asing yang seakan tidak pernah hadir dalam cebisan kisah lampau hidup mereka.

Lalu dari jauh ketika aku ‘membaca’ kebahagiaan mereka, rasa yang sedikit tercalar ini mempersoalkan... siapakah aku yang pernah menyentuh hidup mereka suatu waktu dahulu? Kalau aku yang pernah dipanggil sahabat... tidak ada sahabat yang pernah melupakan sahabatnya. Maka siapakah aku sebenarnya yang pernah mereka gelar sahabat..? Dan fahamlah aku. Jawapan itu tidak akan pernah mendekat kerana hanya aku yang menyimpan kejap memori itu.

Aku cuba meneka bahagiaku sendiri. Seakan kabus yang membayangi seluruh hidup ini. Aku cuba mencari dahan atau arah agar jalanku berpandu. Namun hingga kini masih tiada huluran jemari yang mampu kugenggam untuk memimpinku agar tidak rebah dan tersasar dari jalan-Nya.

Walau dalam redha dan pasrah, tetap cuba kuteka bahagiaku sendiri. Semakin lama kehilangan demi kehilangan semakin memenatkan. Aku takut untuk terus meneka, juga takut untuk menghitung hari depan.

Ya Allah... sesungguhnya Engkau maha mengetahui. Kurniakanlah yang terbaik untukku.. Ya Allah... Aamiin.