~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Friday, November 19, 2010

~ Bila tintaku berkata ~

Aku ingin menulis. Meluahkan segalanya dalam bait-bait kata tapi aku tidak tahu dari mana harus kumulakan aksara-aksara itu. Segalanya berjalan seperti yang telah tersurat dalam laluan takdir di bawah ketentuan-Nya. Dan segala yang tersirat adalah kehebatan-Nya yang tidak terjangkau oleh minda kecilku.

Apapun aku akur untuk terus berjalan pada laluan yang telah sedia terbentang di hadapanku. Tampak mudah dan lurus walau kadangkala berselang onak dan duri yang tidak terlihat oleh pandang mata. Sekali lagi aku akur.. tidak ada yang mudah walau untuk mengerdipkan sepasang mata. Segalanya dengan izin-Nya.. Subhanallah...

Hari ini aku membawa diri.. merenung kembali jalan-jalan yang pernah kulalui, menilai khilaf diri, meneliti cantuman-cantuman hidupku yang masih belum lengkap. Aku mencari di mana letaknya diri ini.. hari ini.. semalam dan hari depan yang belum pasti.

Aku bertatih sendirian, berjalan dan cuba berlari. Kemudian jatuh dan cuba bangun semula. Kuatur langkah satu demi satu. Segalanya kulakukan dan laluinya sendiri.

Sungguh.. seketika aku terkedu. Setabah itukah diriku..? Mendekati angka 14.. di perantauan. Sekuat itukah aku?

Tidak punya jurusan yang mampu dibanggakan oleh sesetengah orang.. aku masih boleh bernafas lega di kota ini. Syukurku pada-Nya di atas segala kurniaan dan nikmat yang tidak terbatas. Soal jodoh.. hari depan.. kuserahkan pada DIA yang lebih mengetahui. Usah lagi terus-terusan hujani aku dengan pertanyaan kerana aku tidak punya jawapannya.

No comments: