~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Tuesday, July 21, 2020

Pelangi Tujuh Warna

  🌷Catatan: 20 Julai 2020🌷

Kadangkala kita berdepan dengan saat-saat sukar sehingga terhambat sesal. 

Namun yang sering kita lupa.. perancangan Allah cukup indah tersusun. Tidak pernah sekalipun terlintas di fikiran sehinggalah ke detik-detik yang menyedarkan.

Allah itu Maha Mengetahui segala yang tersembunyi mahupun yang nyata. Dan kita pula bukanlah peramal untuk terus menerka.

Sampai ketikanya.. simpan sahaja segala keluh dan kesah. Ikhlaskan setiap liku berduri yang terpaksa kita hadap dan yakinlah.. di penghujungnya nanti kita tidak lagi menjadi manusia yang sama.

Pelangi pasti akan muncul dengan cerita tujuh warna yang indah. 


~~~🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷~~~




~ AzmaMurni Aziz ~

Wednesday, July 8, 2020

Bangkitnya Jiwa Yang Tewas

 Hidup adalah tentang memutuskan apa yang kita fikirkan. Tewas atau tidak.. segalanya tentang apa yang bermain dalam fikiran.

Memilih untuk menyerah bererti kita memilih untuk gagal. Memilih untuk terus berjuang bererti kita memilih untuk mengorbankan segala rasa.


Dalam kesakitan yang terzahir mahupun sebaliknya, di situlah titik mulanya untuk kita bangkit atau terus jatuh dan takkan mampu untuk bangun lagi. Segalanya adalah mainan fikiran.

Hakikatnya, tidak semua orang mempunyai kekuatan untuk kembali bangun, bertatih, berjalan dan kemudian berlari setelah jatuh dan cedera dalam kehidupan.

Malah emosi yang tercalar dan terluka juga seringkali berjaya menewaskan hati manusia. Dan hati yang tertewas sering mengundang kekalahan jiwa dalam memperjuangkan kehidupan.

Namun jiwa yang mampu bangkit setelah tertewas akan menjadi jiwa yang kental. Jiwa yang tidak mudah menyerah kalah pada keadaan.

Kadangkala jua kesakitan atau kekecewaan akan menemukan manusia kepada sisi lain diri yang tidak terjangka.. yang tersembunyi diam dalam diri. Hanya bangkit setelah terpukul oleh kesan yang diperoleh daripada pillihan yang salah.

Hidup ini tidak terduga. Di luar daripada jangkaan yang mampu kita fikirkan. Kita meletakkan harapan yang terlalu tinggi dan kita kecewa. Pada ketika kita merasakan kehilangan segala harapan, kita temui sisi lain diri kita yang telah lama diam hilang. Lalu kita pun bangkit dengan jiwa merdeka yang baharu.
                                                                                                                                     
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Jiwa yang kuat
adalah jiwa yang bangkit
setelah tewas
dalam perjuangan
emosi.
~~~~~~~~~~~~

~ AzmaMurni Aziz ~
Catatan 8 Julai 2020


Tuesday, July 7, 2020

Dansa Malam


Duhai
tika malam meninggalkan sunyi
di lorong-lorong gelita
wajah-wajah kepuraan pun
menyelak gebar mimpi
untuk terus berdansa
di pentas angan
meneguk segelas dusta
demi sebuah janji.

 
Kuala Lumpur
7 Julai 2020.