~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Tuesday, June 30, 2009

..tidak hanya saat tinta ternoktah..

Sedari kecil kita sering disuakan dengan cerita-cerita indah sang putera dan puteri yang berakhir dengan ‘..dan mereka hidup bahagia selama-lamanya’. Lalu kita menerimanya sebagai sesuatu yang indah dan nyata. Kita bawanya ke dalam setiap mimpi dan angan sehinggalah ke satu ketika.. saat kematangan memberikan salam pada kehidupan.

Getir.. payah.. mendepani onar dalam meneruskan kelangsungan hidup telah membangkitkan minda untuk mempersoal, mencari dan mendepani yang bernama hakikat. Lalu apabila ruang kematangan mula mengisi setiap inci dari jasad dan fikir.. hati akan pedih dengan goresan calar yang merobek angan di hujung setiap mimpi zaman keanakan.

Justeru.. sedar dengan lembut, terkadang kasar.. akan menjemput waras untuk kembali membangkit sedar bahawa hidup ini tidak semudah melakar cereka di helaian putih.. kerana yang pasti.. bahagia itu tidak hanya bermula saat tinta ternoktah.

Bahagia itu
letaknya di hati
dari jiwa yang tenang
dalam cinta yang dalam
dari nafas penuh kerinduan
dalam redha yang penuh keikhlasan...

..SUBHANALLAH...


Thursday, June 25, 2009

TeMaN JiWa

Tersentuh dengan alunan lagu dan rentak cerita yang begitu meruntun jiwa. Tanpa perlu lafaz bait-bait kata. Tanpa perlu susunan bicara. Cukup dengan bahasa tubuh, pandangan mata dan getar emosi. Terkasima seketika. Tanpa sedar.. titis luruh ke pipi tanpa dapat ditahan-tahan.

Teman jiwa.. setiap orang meletak harap hingga ke akhir hayat. Teman yang memahami. Bersama ketika senang dan tetap teguh setianya di kala dugaan datang menguji.

Namun tika teman jiwa yang setia di sisi tidak lagi mampu menemani, runtunan kesunyian dan hambatan ketakutan akan kesendirian mendepani hari-hari mendatang.. pastinya akan meninggalkan satu kesan yang cukup mendalam.




Monday, June 15, 2009

..Mengutip Sunyi..

Usai melakar kenangan bersama keluarga, akhirnya aku kembali ke sini. Ke tempat yang mengajar aku tentang erti sebuah kematangan. Biarpun hanya seketika meninggalkan tempat ini namun rasa rindu itu terlalu menebal dalam diri.

Lalu renungku membawa tanya.. apakah sudah kurang sayangku pada tempat yang melukiskan perjalanan zaman keanakanku? Apakah sudah berkurang cintaku pada tempat kelahiran? Kuselam hati untuk kucari jawab. Yang kutemui.. mungkin di sana yang tersisa hanya kenangan. Manis untuk dikenang, pilu untuk dirindu, pahit untuk ditelan. Segalanya teradun menjadi satu. Dan perjalanan hidup ini harus diteruskan sehingga ke noktahnya.

Adakalanya hati ini bersoal dan pinta akal mahupun waras memberikan jawabnya. Bila menyedari keegoan diri dalam meniti perjalanan usia.. sendiri.. di manakah akhirnya perjalanan ini?