~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Saturday, February 27, 2021

Bukan Salah Takdir


Hidup adalah tentang pilihan dari saat mata dibuka hingga ke penghujung hari. 
 
Kita memilih untuk meletakkan noktahnya semahu hati. 
 
Usah dipersalahkan takdir kalau senja hari ini tidak seindah semalam.
 
Mungkin yang perlu dilakukan adalah dengan melihatnya dari sudut yang berbeza.
 
Hidup ini tidak kejam. Cuma hati kita yang sering tidak endah untuk mengaku khilaf sendiri. 
 
Lebih senang meletakkan salah pada bahu yang lain agar galas itu tidak lagi membebankan hati dan jiwa. Tapi sampai bila?
 
 
~ Az Aziz ~

Akrab



Dinding-dinding itu
setianya tiada berbahagi
menyimpan diam penuh akur
cerita-cerita kita
tentang air mata
berselang tawa
atau pedih yang lirih
tetaplah ia sembunyikan segala
penuh setia.


Namun hari ini
seperti kita yang terhubung
hanya pada kenangan
telah jua dinding-dinding itu
kehilangan jiwanya.

...
Kuala Lumpur
27022021
... 

 ~ Az Aziz ~

Thursday, February 25, 2021

Kita dan Waktu


 
Waktu tidak pernah
melukis wajah cemburu
cuma kita yang sering terlupa
menyusun atur rentak hidup.

Waktu tidak berlari
berjalan atau mengengsot
cuma kita yang lelah mengejar mimpi.

Berhentilah menjalin ilusi
mungkin inilah waktunya
berlapang dada bersama mentari.

Untuk sekali lagi
tidak pernah terlewat
berada di garis mula
dan terus kembali berlari.

...
Kuala Lumpur
FB: 16022021
...

~ Az Aziz ~

Wednesday, February 24, 2021

Yang Kau Tak Miliki


Simpati itu
kau tak punya
kerna matamu
hanya memandang
sempurna itu
milikmu
abadi.

 

~ Az Aziz ~

Tuesday, February 23, 2021

Apa Yang Kau Banggakan?

Tak perlu kau canangkan
dirimu sehebat sarjana
jua tak perlu kupertahankan
semampu mana aku pada matamu.

Kita - nilainya bukan pada gah diperkata
telusnya belum tentu tembus ke dasar
lalu untuk apa bangga yang kau dabikkan?

Sempurna bukan pada matamu
lalu jaminan apa yang kau persembah
cela itu tak pernah kau damping.

Kita - seindah anugerah
yang ingin kau pertikai
adalah sesempurna kejadian
unik yang tiada tara bandingnya.

Lalu masihkah ingin kau mendongak?
mengatakan kau lebih tinggi
sedang dudukmu jua
meminjam lantai milik Tuhan.


 
~ Az Aziz ~

Tika


 

Tika hujan menyapa alam
Mentari pun sembunyi malu
Biarkan hujan bersapa dahulu.

Tika hujan berlalu pergi
Mentari tersenyum seribu erti
Menggamit pelangi berkongsi hari.

Tika hujan dan pelangi menjadi satu
Hati pun tiba-tiba berbunga rindu.
...
FB: 22 Feb. 2021

...

~ Az Aziz ~

Sebuah Catatan Hati Yang Tak Pernah Mati.

Telah lama kutinggalkan tinta kering di helaian hari. Namun tidak pernah sekalipun pena di tangan kuletakkan ke tepi. 

Tika jiwa ini sesekali penasaran dalam kalut tanggungjawab, kubiarkan diri hanyut dalam lautan aksara. Di situ kutemui penawar yang menyembuhkan jiwa.
 
Sesekali jua saatku memandang ke belakang.. harus kuakur hidup ini tidak mudah. Untuk percaya bahawa aku masih mampu berdiri dan bertahan sehingga ke detik ini adalah nikmat dan ihsan-Nya yang cukup nyata.
 
Pernah suatu ketika, keyakinan itu terlalu tipis untuk kuletakkan seluruh percaya pada diri sendiri.. saat kumenoleh dan yang masih tinggal hanyalah diriku.
 
Namun masa tetap menyembuhkan segala. Untuk yang masih ada di sisi.. di situlah kekuatan itu terbina selangkah demi selangkah sehingga kita menjadi terbiasa dengan segala kekurangan. Lalu kita saling melengkapi dalam ranumnya masa yang kita kongsi manisnya bersama.
 
~FB: 23 Januari 2021 ~
 
 
~ Az Aziz ~

Sunday, February 21, 2021

Bahana Kata

Hanya sebaris kata
kita tuntut janji dikota.
 
Hanya seulas bicara
kita sanjung junjung
setinggi awan.
 
Dengan seungkap kata
kita noktah sebuah rasa.
 
Hanya kerana kita
kehilangan kata-kata
untuk melaung hujah
kita diamkan segala bicara
bungkamkan ucap kata
humbankan segala lafaz
dalam jurang penuh sunyi
belantara paling dalam.
 
 
 ~ Az Aziz ~

Saturday, February 20, 2021

Penyesalan Yang Terlewat...

 
Kita seringkali membiarkan kesibukan memimpin kehidupan hingga kita tenggelam di dalamnya. 
 
Terlupa bagaimana untuk terus hidup tanpa dikejar oleh masa demi memenuhi tuntutan tarikh akhir. 

Sesaat apabila kesedaran itu mendekat, mungkin saja telah terlewat untuk sebuah penyesalan. 
 
Apa yang kita miliki semalam, sebuah persahabatan yang damai mungkin sahaja ternoktah pada hari ini tanpa sedar. 
 
Dan esok.. damai yang hilang itu pasti disesali tika kita temukan kehilangan pada sebuah kenangan yang semakin pudar.
 
Mungkin mula belajar menghargai itu lebih manis daripada penyesalan atas sebuah kehilangan yang pedih.
 

~ Az Aziz ~
 

Friday, February 19, 2021

Mengutip Rindu

 Sekian lama laman ini ditinggalkan sepi tanpa bicara sepertinya perpisahan tanpa tanda atau ucap kata. 

Rindu itu sesekali bertamu dan resah pun mengintai di celah-celah hari walau kesibukan seakan memamah segala rasa. Lalu untuk masa-masa yang ditinggalkan sepi, cuba dicantum kembali kisah itu satu per satu, mengharapkan masih ada yang boleh dikisahkan dalam sela waktu yang masih tersisa.

Moga rindu yang ingin dikutip kembali itu tumbuh rimbun meneduhkan jiwa kala dihambat kesibukan di penghujung hari.

 


 ~ Az Aziz ~