seketika fikiran ini melayang jauh ke satu masa yang silam. seperti hanya jasad yang bersimpuh di sini sedang minda dan hayalku telah kembali mengutip tiap langkah yang kuatur pada hari-hari semalam yang telah kutinggalkan.. yang kenangannya cuma berbayang di minda. terkadang hilang.. terkadang jerihnya mengusik ketenangan hari ini.
masih kuingat..
satu ketika...
tidak pernah terfikir di benakku.. tentang perancangan hari ini apalagi untuk merancang hari esok. aku seakan tenggelam dalam ruang yang terbatas, lemas dalam arus kesibukan yang tak pernah surut. Hidupku, mindaku dan jasadku pada saat itu hanya satu...kerja. aku dambakan segalanya pada kerja sehingga aku lupa betapa indahnya sinar mentari kerana pulangku sering bertemankan sinar rembulan. terkadang pulangku diiringi titisan embun pertama yang menyentuh bumi.
kuserahkan segala pada yang bernama kerja. seringnya diri ini dihujani dengan leteran kerana aku cukup tidak betah berlama-lama bergurau-senda bersama keluarga. di benakku saat itu hanya satu... kerja harus ku utamakan.
aku bagai lupa dunia sekelilingku. duniaku hanya teman-teman sekerja, beberapa blok bangunan yang wajib kujelajahi setiap hari, juga timbunan ratusan puluhan kerja yang menuntut tarikh akhir di luar logik akal manusia biasa. segalanya kulakukan dengan penuh minat dan tanggungjawab. tiada gaji tambahan... kukorbankan segala... cuti hujung minggu juga waktu santai dan lenaku.
ya, aku lepaskan segala yang dipanggil kehidupan. aku lupa bagaimana untuk menikmati hidup ini sebenarnya.. sewajarnya...
sehinggalah..
pada satu ketika...
sedang aku dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, memandu dengan minda yang kosong sambil membuang pandangku ke jalan yang bertali arus... membawa aku ke alam sedar untuk aku menyoal diri.. kembali...
sehingga bila
harus kukorbankan setiap detik yang bermakna bagi sebuah kehidupan
hanya untuk memenuhi tuntutan kerja?
sehingga bila
harus ku berjaga walau dalam lena
hanya untuk ku abaikan kepentingan sendiri?
lalu kupanjatkan kesyukuran pada Ilahi kerana aku belum terlewat untuk menyedari bahawa hidup ini terlalu indah untuk dipersiakan.. terlalu manis untuk dilupakan dan terlalu bermakna untuk dibiarkan.. kerana sesungguhnya hidup ini satu anugerah yang tak ternilai!