~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Sunday, December 30, 2012

~ Mengimbau Kenangan ~

Melihat gambar-gambar mereka.. teman-teman yang pernah berkongsi tawa bersama suatu masa dulu.. betapa masa begitu cepat berlalu. Sesekali tatkala tercuit untuk menoleh seketika, kenangan itu telah jauh tertinggal dan kita menjadi begitu berbeza.

Perjalanan masa lalu seakan sebuah mimpi sewaktu kita ketiduran melayan lelah dalam hambatan waktu. Kini, pabila jaga menyentuh alam realiti.. hati menjadi tertanya-tanya. Benarkah dulu kita pernah melayarkan bahtera persahabatan? ..kerana antara kita kini  seakan dua dunia yang berbeza.

Terkadang hati ini ingin merisik khabar yang seakan berkurun menyepi. Namun perbezaan itu menjadikan segalanya kelihatan amat kaku dan akhirnya aku lebih memilih diam. Mungkin itu lebih baik kerana aku tidak mahu duniaku yang kecil ini menjadi semakin kecil. 

Segalanya.. pada akhirnya.. kuserahkan pada DIA yang Maha Mengetahui. Dalam dunia kecilku ini dalam angan yang amat besar dan indah, kuletakkan setiap inci kekurangan itu dalam tautan redha, pasrah dan doa untuk kuteruskan perjalanan ini bersama limpahan kasih-Nya.

Tuesday, December 25, 2012

~ KeBERANIan.. ~

Kadang-kadang 
menulis itu lebih mudah 
daripada mengungkapkannya 
menjadi kata-kata 
yang boleh didengari... 
kerana suara itu 
 memerlukan keberanian 
yang bukan sedikit.


Sunday, December 2, 2012

~ Tuhanku... ~

Tuhanku....

Aku tidak lagi kuat untuk terus sendiri. Apabila ketakutan dan fikir bersatu, hanya ketabahan yang kuharapkan masih bersisa....




Thursday, September 27, 2012

~ Aku dan Kau... KiTa ~

Kuatur langkah
antara jejak dan ruang itu
antara kita, aku dan kau
kita tarikan rentak yang sama
tapi berbeza cerita
rupanya berhujung
pada noktah
yang bersimpang.

Kucuba petakan segala jejak
antara kita, kau dan aku
penghujungnya menjadi bebayang
kabus kabut kabur.

Mungkin telah tertulis
aku dan kau.. kita
hanya menumpang
gerabak yang sama
tapi berlainan hentian.

Di sini, di balik cermin kaca
aku menemani jejakmu
dengan pandangan mataku.

Di situ, kau lemparkan senyum
membiarkan pandanganku
mengiringi langkahmu.

Lalu, aku meneruskan perjalanan
gerabak ini masih panjang
mungkin kita ketemu lagi
pada satu hentian
atau mungkin
ini hentian kita yang terakhir
antara aku dan kau
telah tertulis cerita kita
walau hujungnya
mungkin berbeza destinasi.

Wednesday, September 12, 2012

~ Moga belum TeRLeWaT.. ~

Kadang-kadang kesibukan membuat kita hampir terlupa.. masih ada ruang kosong lain yang perlu diisi. Lalu apabila kesedaran tiba-tiba mencuit satu ruang yang paling dalam, yang bernama hati.. kita tersentak dan terkelu seolah-olah baru dikejutkan.

Dan dengan penuh sedar, kita mengharapkan moga belum terlewat untuk ruang itu diisi..

Monday, July 30, 2012

~ ..... ~

Ada ketikanya
apabila suara kehilangan bicara
dan diam mengambil tempat
berhujah tanpa kata
dan baitnya tidak lagi pincang
kerana iramanya telah senada... 




Sunday, July 8, 2012

~ Suara Kebisuan ~

Dalam hingar
kebisuan kian lantang bersuara
memenuhi segenap dinding dan ruang
memenjarakan senyuman
dalam satu ruang tak berwarna
hanya terhias putih pada pandangan
namun penuh kekosongan
setiap nafas, setiap langkah
kaku dalam detik waktu
yang kian pantas berdetak
yang masih tertinggal
hanya sebuah pengharapan
dan satu doa...

Tuesday, June 19, 2012

~ Aksara Yang Hilang ~

Sukarnya apabila kehilangan kata-kata untuk meluahkan.. mentafsir. Setiap bicara seakan kehilangan aksaranya. Melihat, namun begitu jauh untuk disentuh. Mata hati kian kabur dengan kekosongan yang tiada bertepi. Fikir ingin menjangkau namun segala kata-kata bagaikan bebayang yang makin dikejar makin jauh menghilang.

Aduhai, kala ini benarlah.. derita itu satu nikmat yang amat aneh! Pedih dan lukanya memberikan pelbagai rasa untuk menyempurnakan sebuah kehidupan. Dan bahagia itu, bersamanya hanyalah satu rasa. Hanya satu...

Dan sememangnya amat benarlah.. DIA datangkan derita itu dengan ‘nikmat’ segala rasa. Cantumkanlah ia dengan temali kesabaran, keyakinan dan keikhlasan. Pastinya apa yang terhasil di sebalik cantuman-cantuman rasa itu adalah nilai sebuah kebahagiaan yang sebenar.. kerana puncak kebahagiaan itu letaknya di hujung setiap penderitaan.


~ KeBaHaGiAaN jarang sekali melahirkan manusia tabah. Tapi PenDeRiTaAn seringkali menghasilkan manusia berjiwa kental. ~

Friday, June 8, 2012

~ MaWaR ~

Mawar itu
merah kelopaknya
hadir dalam kasih dan rindu.

Mawar itu
yang putihnya tergenggam
dalam dakapan keikhlasan
menghamparkan wangian
aroma penuh ketulusan
terkadang mentafsirnya
dalam sendu yang tidak berwarna
terkafan dalam sunyi
yang tiada bertanda.

Mawar itu
yang warna-warnanya
adalah lambang

setiap keinginan dan angan
terkadang, tatkala durinya
tertusuk rasa tertikam sanubari
merah yang menitis pada helai kelopaknya
memanjat sedar dan menggetar nyata.

Mawar itu
tafsirnya..
bukan hanya memberi nafas
tapi memaknakan hayat
bagi yang tahu menilai.


Saturday, May 19, 2012

~ TeRiMa KaSiH TUHAN.. ~

Hari ini genap 36 tahun aku diberikan peluang untuk bernafas di bumi Allah ini melalui kasih dan pengorbanan seorang ibu yang tidak pernah kutemui. Namun tidak sekalipun kusesali akan ketiadaan itu kerana tanpa seorang ibu di sisi telah mengajar aku erti tabah. Aku menjadi manusia kental yang berjiwa halus. 

 TeRiMa KaSiH TUHAN..
kerana dampingkan aku kekuatan 
tika aku sendirian
kerana berikan aku keyakinan 
tika semangatku hampir goyah
kerana titipkan keimanan tika jiwaku kian leka
kerana anugerahi aku dengan kasih dan sayang
daripada setiap insan yang ada di sisi
sejak Engkau berikan nafas ini padaku.

TeRiMa KaSih TUHAN..
kerana berikan aku anugerah terindah
ISLAM sebagai agamaku..

Sunday, April 22, 2012

~ Permainan WaKtU ~

Masa beredar dan tanpa sedar kita bermain dengan waktu. Satu saat kita terlupa.. masa terus berlalu tapi kita masih menghitungnya bagai saat dan minit itu masih dalam genggaman. Segalanya makin pantas berlari, namun kita masih santun menyusun langkah. 

Sekelipan mata, angka kian memanjat usia.. dari satu menjadi dua dan kian bertambah. Segalanya semakin jelas selari dengan kematangan tapi tiba-tiba menjadi lebih jauh. Akhirnya kita bagai gelandangan yang cuba berpijak di tempat di mana kita dilahirkan.                              

Hakikat.. hidup hari ini meminta kita untuk merebut apa jua peluang yang  mampu dicapai.  Keberanian adalah sesuatu yang amat diperlukan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Masa tidak pernah memberi peluang kalau kita takut untuk melangkah. Walau seinci ke hadapan, ertinya kita masih bernafas. Kekuatan iman dan keyakinan pada-Nya adalah benteng  yang paling utuh.

Saturday, April 7, 2012

~ Episod Kehidupan ~

Di balik kebisuan yang tak punya suara itu
adalah kebingitan yang sukar diterjemahkan
oleh bahasa kata yang tak pernah henti bicara.

Dalam hening yang mencari sudut sunyi itu
rupanya kalut mengatur jiwa
merencana sebuah keinginan
selirat menyusun atur
baris-baris aksara kehidupan
agar episod yang tertulis
terlukis jujur penuh kesedaran.

Wednesday, March 14, 2012

~ MaSa ~

Untuk kesekian kali, aku di sini menghitung detik waktu yang berlalu pada jalannya. Mencari ujaran kata yang pernah singgah di teratak hati. Segalanya ingin kuabadikan dalam satu jasad dan minda. Namun hanya masa yang mampu menentukan kehadiran yang pasti dalam samar yang tidak bertepi.

Di sini.. ternyata segalanya telah berubah. Tidak lagi menjadi tempat sepermainan atau tempat menghitung mimpi untuk mencapai bintang yang tinggi di awan. Aku seakan tidak lagi mengenali jejak yang pernah kutinggalkan di sini. Aku bagaikan berkelana di tempat yang pernah mengajarku mengenal huruf.

Ah, segalanya memusatkan fikir yang bukan sedikit! Aku ingin berdiam dan berlama di sini. Namun masa seakan tidak henti mengejar. Apakah aku harus terus berlari? Atau biarkan saja diriku tenggelam dalam amukan masa? Pada akhirnya, aku serahkan segalanya pada DIA yang Maha Mengetahui.

~~~~~~~~~~~~~~ @~@~@ ~~~~~~~~~~~~~~~~

Semalam, tika jejak itu kutinggalkan
masih kukenali liku-likunya
simpang-siurnya menjadi hafalanku.

Semalam, saat aku mula melangkah
meninggalkan becak itu
membiarkan lumpur itu
tidak lagi memalitkan riang
rupanya dalam diam
segalanya menjadi bayang
yang mengikut setiap jejak langkahku
ada tikanya, ada saatnya dan detiknya
bagai tenggelam dalam pusaran masa.


Friday, February 10, 2012

~ DIA sedang menguji.. ~

DIA sedang menguji
sejauhmanakah kecintaan kita
dan
sekuat manakah kerinduan kita
pada kasihNya yang tidak terbatas.

DIA sedang menduga
seutuh manakah
keyakinan kita padaNya
tatkala DIA biarkan
setitis air mata singgah di pipi.

Tika DIA letakkan
segaris resah menumpang di bahu..
sesungguhnya
DIA sedang menguji
menduga
seikhlas manakah rasa kasih itu
kita serahkan sepenuhnya
hanya padaNya.



Tuesday, February 7, 2012

~ Izinkan.. ~



Izinkan rindu itu singgah
menyulam makna kasih
atas temali kejujuran
dan biarkan rasa itu berlabuh
mencari makna hidup
atas jalan kebenaran
atas rasa kecintaan
pada DIA yang satu.


Tuesday, January 24, 2012

~ Mimpi ~

Mimpi..
kalau dapat kugapai ianya menjadi realiti
pasti rintik duka takkan singgah ke hati
rintih pilu takkan membaluti jiwa...

Aku telah bermimpi dan mimpi itu indah sekali. Aku mengharapkan agar mimpi itu akan menjadi realiti yang akan menemani jagaku. Tapi ternyata aku salah. Mimpi tetap mimpi. Mimpi takkan sesekali berada dalam dunia realiti. Mimpi dan realiti takkan bersatu sampai bila-bila.

Kalau diberi pilihan, aku ingin terus bermimpi kerana di dalamnya aku tidak pernah sendirian. Tapi aku hidup dalam dunia realiti yang terbina daripada cantuman segala rasa. Terpaksa kuakur.. tiada dayaku untuk menggapai gemawan menjadi selimut mimpiku.

Monday, January 23, 2012

~ Nilai Sebuah PerSaHaBaTaN ~

Berteleku di hadapan papan kekunci.. entah di mana harus kumulakan. Tiba-tiba aku kehilangan segala kata-kata.

Lebih kurang 14 tahun yang lalu aku menjejakkan kaki ke sini. Di sini aku belajar tentang nilai sebuah persahabatan. Nilai itu mengikat diriku dengan temali kepercayaan yang semakin hari kian kukuh dan bertambah teguh. Segalanya begitu manis pada ingatan biarpun kadangkala bersulam pahit yang pedih. Rencah itulah yang menambahkan keindahan pada ikatan yang terjalin.

Namun setelah tahun-tahun sukar itu berlalu, rupanya badai tidak pernah meninggalkan ribut memecah ombak sendirian. Kusangka air yang dicincang tidakkan pernah putus. Benarlah, tapi gerimis yang jatuh tetap akan berderai jua.

Temali yang dulunya kugenggam erat ternyata kian rapuh. Semakin hari makin banyak sembilu yang melukakan tanganku. Pedihnya cuba kutelan selagi dayaku kerana persahabatan ini bagiku.. tidak ternilai.

Tuesday, January 17, 2012

~ Catatan PerTama.. 2012 ~

Lama berdiam bukan membilang duka tapi mengumpul kekuatan dan muhasabah diri kerana esok siapa tahu apa yang bakal menanti. Sering kita merancang dan sering juga kita diuji.

Kadangkala Allah berikan kita kesenangan, bukan untuk kita lupakan tiap calar dan luka yang pernah menggores setiap sudut hidup kita. Tapi untuk kita hargai setiap kesakitan itu kerana telah menjadikan kita seorang manusia yang tidak mudah berputus harap. Juga bukan untuk kita dendami kisah pedih yang pernah mencalar luka, tapi untuk kita syukuri nikmat kebahagiaan yang sedang mendampingi kita.