~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Saturday, September 25, 2010

~ Tuhan masih menguji... ~

Terlalu banyak yang terjadi sehingga aku hampir tidak lagi mengenali diri sendiri. Mungkin juga telah terlalu banyak yang terpendam sehingga pendam itu menjadi luka dan pedih yang sukar untuk dipulihkan walau oleh masa.

Aku bagai kehilangan diriku yang dulu. Entah ke mana hilangnya... Aku cuba mencermin diri, mencari di mana salahnya. Tiba-tiba aku m
enjadi begitu kejam tapi akhirnya rasa itu memenjarakan diriku sendiri. Syukurlah aku masih punya empati.. walau rasa itu hampir dirampas tanpa relaku.

Pernah aku bicara.. kadangkala berbuat jahat itu perlu untuk menyedarkan kiranya berbuat baik itu sudah tidak mampu lagi untuk difahami... Namun segala-galanya perlu berpada-pada agar tidak memakan diri.

Sememangnya aku perlukan waktu untuk
muhasabah diri agar segala yang kuputuskan ternoktah pada titik yang sepatutnya.. agar tidak akan ada lagi hati yang tercalar dan rasa yang terguris oleh tindak yang terpendam.



Friday, September 17, 2010

~ Sesungguhnya DIA Maha Mengerti.. ~

Masih tinggal beberapa hari lagi untuk kembali kepada rutin biasa. Kembali ke tempat itu menggalas tanggungjawab yang belum selesai. Namun entah ke mana hilangnya semangat itu. Ketika terakhir kali kaki ini ingin melangkah meninggalkan tempat itu.. terasa langkah ini begitu senang untuk diatur satu-persatu. Terkadang sendiri tertanya.. ke mana hati ini telah membawa rindu itu pergi...

Bagai soal yang tidak pernah berjawab.. mungkin juga hati telah nekad membuat pilih dalam mencari jalan yang lain, rimbunan lain yang mampu meneduhkan. Lalu kasih yang beralih ini moga dipermudahkan oleh-Nya kerana sememangnya meletakkan kasih dan setia pada yang tidak pernah menghargai hanya akan mencalar rasa yang mengguris pedih.

Namun.. pada segalanya.. akur pada yang telah tertulis jua redha pada apa yang tersirat kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Tika kita meminta bahagia,
DIA datangkan pedih sebuah ujian.

Saat kita menginginkan senyuman,
DIA berikan kita air mata.

Tatkala kita meminta pertemuan,
DIA merencanakan perpisahan..

kerana sesungguhnya DIA Maha Mengerti..
Di sebalik pedih ujian itu adalah tenang yang mendamaikan.

Pada air mata itu adalah bias kebahagiaan yang tidak sekadar senyuman.

Dan DIA merencanakan perpi
sahan
kerana di situlah bermulanya sebuah pertemuan.


Thursday, September 16, 2010

~ Luahan Tinta ~

Berteleku di hadapan papan kekunci sambil mata merenung kosong aksara-aksara bagai kehilangan segala kata-kata. Di mana harus dimulakan sebuah bicara..? Bagaimana harus meluahkan sebaris kata.. apabila tidak ada yang berhujung mahupun berpangkal.

Aku ingin terus menulis seperti dahulu. Melakar kata demi kata namun kekangan masa membatas segala. Lalu rindu itu terus tertinggal di situ.. mendambakan belaian kata-kata yang semakin menjauh.. juga kesihatan yang seakan tidak mengizinkan.

Benarlah.. saat Allah pinjamkan kita kesenangan, kebahagiaan mahupun kesihatan yang baik.. kita seakan terbuai dalam nikmat rahmat-Nya hingga hampir terlupa untuk bersujud menuturkan ucap kasih pada cinta-Nya untuk kita sebagai hamba-Nya. Lalu
tika Allah mendekatkan kasih-Nya pada kita melalui ujian dan dugaan, kita seakan terpukul dalam khilaf sendiri. Moga kesedaran itu tidak pernah terlambat kerana sesungguhnya masa tidak pernah berhenti berdetik.