~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Tuesday, June 23, 2020

Kisah Yang Didiamkan : Luka Tak Didendang

Kegagalan menjadikan dia semakin cekal. Kedewasaan melahirkan rasa tabah. Dia terus bangkit daripada luka yang tidak berparut.

Sesungguhnya Tuhan itu Maha Adil. Jiwa yang terluka oleh kegagalan kembali bangkit demi untuk membuktikan setiap manusia berhak untuk berdiri pada jalan mereka sendiri. 

Dia percaya hidup ini masih punya pilihan. Lalu dia memilih untuk tidak mengalah. Dia memilih untuk terus melangkah. Biarpun langkahnya tidak dipandang gah namun dia nekad. Itu adalah pilihannya. Muktamad.

Lantas dengan yakin, dia teruskan perjuangan  meredah gelora dan lautan kehidupan demi segenggam ilmu. Biarpun jalan yang dipilihnya tidak mudah tapi dia tetap yakin. Membalut luka dalam rasa terpinggir itu lebih payah. Membuang rasa rendah diri itu jauh-jauh adalah jauh lebih sukar.  

Mendaki tangga-tangga kedewasaan jauh di perantauan telah mengajarnya untuk mengenal diri. Di situ dia perlahan-lahan belajar tentang erti persahabatan.. tentang makna kejujuran.. tentang rasa rindu juga tentang rasa terkilan.

Rindu yang disimpan jauh-jauh ... Namun sedikit demi sedikit, rasa rindu itu dilepas bebas. Dibiarkan terbang semahunya dan tidak lagi diizinkan singgah di hatinya walau sekali.

Dia tahu dirinya perlu kuat walau kadang-kadang jiwanya hampir rapuh. Namun dia tahu dan tetap yakin.. Tuhan sentiasa membalut kerisauannya dengan selimut kasih-Nya.

Dia berpegang pada kata-kata.. " Apabila kau letakkan seluruh percayamu pada DIA.. kau tidak akan sekali-kali ditinggalkan sendiri."     

Berpegang pada keyakinan itu juga, dia betah berjalan sendirian pada lewat malam hanya untuk memenuhi tuntutan ilmu yang perlu dilangsaikan tanpa syarat. Dalam gelap yang berselang samar cahaya lampu di pinggir jalan, dia terus melangkah mencari tempat berteduh untuk malam itu. 

Dan malam itu Tuhan tetap memeliharanya dengan penuh kasih. Apa pun mungkin sahaja terjadi kepada dirinya. Tiada siapa yang tahu atau ambil peduli. Namun Tuhan telah menutup mata-mata bukan mahram yang ada di situ daripada memandangnya. Dia seakan tidak wujud pada pandangan mereka.   

Sepenuhnya... dia dalam lindungan kasih Tuhannya.

*************

"Dalam selimut kasih-Nya
luka tak didendang itu
biarkan saja hilangnya 
bersama 
 sebuah kedewasaan."

~ AzmaMurni Aziz ~

***********  
 

Monday, June 22, 2020

Kisah Yang Didiamkan : Kegagalan Sempurna

Hari ini aku ingin ceritakan tentang sebuah kisah. Cerita tentang kisah yang telah lama didiamkan. Kisah ini tidak pernah kuceritakan pada kata-kata. Kisah ini kusimpan sendiri dalam diam.

Kisah tentang seorang anak kecil yang sering merasakan dirinya tidak punya apa-apa berbanding rakan sebaya yang lain. Dia adalah anak kecil yang mungkin tidak akan singgah dalam ingatan sesiapa kerana keberadaannya tak lebih umpama bebayang. Ada tidak menambah. Tiada juga tidak mengurangkan apa-apa.

Anak kecil itu membesar dengan rasa rendah diri. Amat sukar untuk dia bersuara di dalam dunia kecilnya. Dia membesar tanpa punya memori indah pada zaman persekolahannya. Tiada yang manis untuk dikenang dalam zaman kecilnya.

Entah mungkin disebabkan oleh sikapnya yang hanya diam dalam dunia kecilnya atau entah apa sebab sebenarnya.. dia sering kecundang dalam ujian. Mungkin bagi anak kecil itu.. kertas-kertas ujian itu terlalu membebankan fikirannya.

Akhirnya anak kecil itu membesar dalam kegagalan yang sempurna. Itulah yang ditanamkan dalam difikirannya oleh manusia dewasa di sekelilingnya apabila anak kecil itu dewasa dalam alirannya sendiri. 


*************

 Anak kecil itu
dewasa dalam jiwanya yang halus
dewasa dalam anggapan
kegagalan itu cukup sempurna
untuk terus bangkit dan berjuang
dalam dunia kedewasaannya.

Dewasa untuk terus
melakar tinta bicara
dalam bahasanya sendiri
membina dunianya sendiri
untuk didakap penuh cinta.

~ AzmaMurni Aziz ~

************