Sesungguhnya Tuhan itu Maha Adil. Jiwa yang terluka oleh kegagalan kembali bangkit demi untuk membuktikan setiap manusia berhak untuk berdiri pada jalan mereka sendiri.
Dia percaya hidup ini masih punya pilihan. Lalu dia memilih untuk tidak mengalah. Dia memilih untuk terus melangkah. Biarpun langkahnya tidak dipandang gah namun dia nekad. Itu adalah pilihannya. Muktamad.
Lantas dengan yakin, dia teruskan perjuangan meredah gelora dan lautan kehidupan demi segenggam ilmu. Biarpun jalan yang dipilihnya tidak mudah tapi dia tetap yakin. Membalut luka dalam rasa terpinggir itu lebih payah. Membuang rasa rendah diri itu jauh-jauh adalah jauh lebih sukar.
Mendaki tangga-tangga kedewasaan jauh di perantauan telah mengajarnya untuk mengenal diri. Di situ dia perlahan-lahan belajar tentang erti persahabatan.. tentang makna kejujuran.. tentang rasa rindu juga tentang rasa terkilan.
Rindu yang disimpan jauh-jauh ... Namun sedikit demi sedikit, rasa rindu itu dilepas bebas. Dibiarkan terbang semahunya dan tidak lagi diizinkan singgah di hatinya walau sekali.
Dia tahu dirinya perlu kuat walau kadang-kadang jiwanya hampir rapuh. Namun dia tahu dan tetap yakin.. Tuhan sentiasa membalut kerisauannya dengan selimut kasih-Nya.
Dia berpegang pada kata-kata.. " Apabila kau letakkan seluruh percayamu pada DIA.. kau tidak akan sekali-kali ditinggalkan sendiri."
Berpegang pada keyakinan itu juga, dia betah berjalan sendirian pada lewat malam hanya untuk memenuhi tuntutan ilmu yang perlu dilangsaikan tanpa syarat. Dalam gelap yang berselang samar cahaya lampu di pinggir jalan, dia terus melangkah mencari tempat berteduh untuk malam itu.
Dan malam itu Tuhan tetap memeliharanya dengan penuh kasih. Apa pun mungkin sahaja terjadi kepada dirinya. Tiada siapa yang tahu atau ambil peduli. Namun Tuhan telah menutup mata-mata bukan mahram yang ada di situ daripada memandangnya. Dia seakan tidak wujud pada pandangan mereka.
Sepenuhnya... dia dalam lindungan kasih Tuhannya.
*************
"Dalam selimut kasih-Nya
luka tak didendang itu
biarkan saja hilangnya
bersama
sebuah kedewasaan."
~ AzmaMurni Aziz ~
***********
No comments:
Post a Comment