~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Friday, December 27, 2013

~ Sukar ~

Perkara yang paling sukar adalah tatkala terpaksa menahan rasa terhadap kemarahan yang dilemparkan atas kekhilafan orang lain.

Perlukan lebih daripada selaut kesabaran agar landas kewarasan tidak tersasar ke jurang emosi. Juga kadangkala perlukan lebih daripada sekadar ungkapan maaf untuk meleraikan luka yang tercalar di hati bagi membina kembali untaian kepercayaan. 

Tidak mudah sebenarnya walau kadangkala tidak sesukar mana.. namun untaian kepercayaan itu, bebenangnya terlalu halus. Kekadang terlalu rapuh. Dan sukarnya apabila kesabaran itu tertunduk oleh amarah...

    ~ Qasih ~

Friday, October 18, 2013

~ Pasrah.. ~

Aku cuba untuk merangka kata-kata. Namun segalanya kosong. Mata fikir bagai tidak pernah mengenali aksara. Jemari bagaikan tidak pernah memesrai papan kekunci. Segalanya menjadi kaku. Berteleku lama seakan mengulum zikir yang tidak berirama. Aku cuba untuk mengingati kembali.. bagaimana kata-kata itu kususun menjadi bahasa yang mampu menyelinap ke seluruh jiwa.

Perlukah ada luka agar aku tidak kehilangan kata-kata? Perlukah derita itu agar bahagia itu lebih dihargai? Persoalan demi persoalan bermain di minda namun bukan aku yang miliki jawapannya.

Kuyakini.. setiap resah dan badai itu tidak didatangkan tanpa bersebab. Cuma aku takut kalau-kalau keyakinan itu nanti akan goyah. Saat itu.. masih adakah huluran tangan untukku berpaut...

Ya Allah..
Jangan biarkan aku sendiri kerana aku tidak ingin sendiri lagi.
Berikanlah aku kekuatan
kerana diri ini semakin lemah untuk menghadapi setiap ujian-Mu.
Berikanlah aku ketabahan agar aku tidak mudah rebah.
 

~ Qasih ~

Friday, September 6, 2013

~ Yang Tak Perlukan KaTa-KaTa ~

Tak semua bicara perlukan kata-kata.
Kadangkala diam itu lebih memberi makna.
Mungkin mata lebih bijak meluah rasa.
Atau dengar sahaja bahasa tubuh berhujah.
Tepat menujah ke hati.
Lukanya tak berdarah.
Namun pedihnya berbekas di jiwa. 

~ Qasih ~

Saturday, August 10, 2013

~ Perjalanan Mencari DiRi ~

Perjalanan mencari diri.. tiga belas tahun adalah detik penentu. Setiap yang bermula pasti ada titik noktahnya. Masa... adalah suatu  perjalanan untuk mencari jawapannya... untuk dimengerti.

Dalam perjalanan ini, perlu bina kekuatan agar tidak rebah kerana mungkin satu masa nanti bahu yang sama itu tidak mungkin lagi sedia untuk berkongsi tangis.                                                                                                                                              
 ~ Qasih ~
Catatan : 3.05 pg
                                                                                                                                          

Thursday, May 30, 2013

~ Raikan Kesunyian ~

Sunyi itu milikku. Dampingi diriku dengan penuh tawaduk. Tidak pernah menjauh. Tidak pernah meninggalkan. Menemani dengan penuh kesetiaan. Tanpa perlu suara. Tanpa perlu kata-kata.

Kesunyian itu mengajar aku tentang erti kehidupan. Sunyi itu membuka segala hijab, menyingkap khilaf satu per satu.

Raikan kesunyian itu dengan suara tanpa kata-kata. Satu demi satu bagai layar putih setiap cerita yang tak pernah padam kembali diulang tayang. Pedih.. sakit.. segalanya menjadi satu.

Tanggal sembilan belas tahun dua ribu tiga belas akan terpahat selamanya. Raikan dalam deraian yang telah kehilangan segala rasa. Sunyi itu.. bersamanya telah hilang nilai sebuah kemaafan.


~ Qasih ~

Sunday, May 19, 2013

~ MAAF... ~

Sungguh aku tidak menyedari.. tutur dan tingkahku amat mengguris dan mencalar hati dan perasaannya. Bagaimana untuk ku jelaskan.. tidak pernah terniat di hati juga tidak pernah terlintas di fikirku untuk bertingkah sedemikian.. kerana dia satu-satunya sahabat yang ku punya.

Kini seakan tiada lagi kemaafan daripadanya. Bagaimana harus kutebus segala khilaf itu yang tidak pernah terniat di hati? Bagaimana harus kutebus segala amarah dan kebenciannya agar segalanya kembali seperti dulu? Aku tidak ingin kehilangan teman sebaiknya kerana aku juga tidak pernah sempurna.

Maafkan aku teman. Maafkan aku sahabat. Biarpun sudah terlalu lewat.. moga masih ada sekelumit kemaafan yang masih tersimpan untukku. 


~ Qasih ~

~ Terima Kasih TEMAN ~

Terima kasih teman
berikan hadiah terbaik
tak mungkin kulupa
angka tiga tujuh
perjalanan mencari diri
akhirnya kutemui jawapan
hari ini dan di sini.

Saat kemaafan tiada lagi di bibirmu
tiap khilaf kau bilang satu-persatu
sungguh tidak lagi kau lupakan
segala guris dan pedih
yang tercalar antara kita
masih aku maafkan
dan telah aku lupakan
yang terguris dan tercalar itu
pedihnya akan kusimpan sendiri.

~ Qasih ~

Wednesday, May 15, 2013

~ Rasa itu membunuh dalam DIAM ~


Aku tenggelam dalam tawanya. Hilang dalam bicaranya yang seakan tiada penghujung. Namun, hakikat yang mencalar seluruh rasa.. yang pedihnya menjalar ke seluruh jiwa.. aku sebenarnya tiada pada sisinya. Jasad wujud yang tiada pada pandangannya.

Sungguh rasa terkilan itu begitu besar kali ini. Rasa yang telah acapkali terpendam dan telah sekian lama tersimpan. Rasa itu cukup untuk membunuhku kali ini. Dalam diam. Segalanya kosong. Titik.

Sunday, February 24, 2013

~ Masih Meneka.. menduga.. ~

Kukira 
meneka bahagia itu mudah
rupanya 
tidak semudah yang kusangka
kukira
menduga itu hanya menduga-duga
rupanya
ku perlu celikkan akal
untuk membidik rasa
agar tidak tersasar.

Kukira
meneka itu tidak perlu menduga
rupanya
sangkaan itu hanya sangka semata
 aku perlu terus meneka
untuk menduga bahagia.

Monday, February 11, 2013

~ Meneka Bahagia ~

Sekian lama mendiamkan diri, aku menjadi pemerhati... melihat kebahagiaan insan-insan yang pernah kukenali dari jauh. Mereka pernah hadir dalam hidupku. Pernah menjadi sahabat juga pernah berkongsi tawa.

Namun hari ini, ukhuwah itu seakan terlerai pada nyata. Hanya ingatan yang menjadi penghubung pada satu kewujudan yang telah ditinggalkan dalam penafian yang tidak berhujung. Mereka semakin jauh dari landasan persahabatan. Dan aku semakin menjadi orang asing yang seakan tidak pernah hadir dalam cebisan kisah lampau hidup mereka.

Lalu dari jauh ketika aku ‘membaca’ kebahagiaan mereka, rasa yang sedikit tercalar ini mempersoalkan... siapakah aku yang pernah menyentuh hidup mereka suatu waktu dahulu? Kalau aku yang pernah dipanggil sahabat... tidak ada sahabat yang pernah melupakan sahabatnya. Maka siapakah aku sebenarnya yang pernah mereka gelar sahabat..? Dan fahamlah aku. Jawapan itu tidak akan pernah mendekat kerana hanya aku yang menyimpan kejap memori itu.

Aku cuba meneka bahagiaku sendiri. Seakan kabus yang membayangi seluruh hidup ini. Aku cuba mencari dahan atau arah agar jalanku berpandu. Namun hingga kini masih tiada huluran jemari yang mampu kugenggam untuk memimpinku agar tidak rebah dan tersasar dari jalan-Nya.

Walau dalam redha dan pasrah, tetap cuba kuteka bahagiaku sendiri. Semakin lama kehilangan demi kehilangan semakin memenatkan. Aku takut untuk terus meneka, juga takut untuk menghitung hari depan.

Ya Allah... sesungguhnya Engkau maha mengetahui. Kurniakanlah yang terbaik untukku.. Ya Allah... Aamiin.