
Seorang ibu pernah menyuarakan kebimbangannya kepadaku kerana anaknya seakan sudah hilang minat untuk belajar. Setiap hari pasti ada sahaja alasan yang mampu difikirkan untuk menyelinap keluar dari kelas. Tujuannya hanya untuk menelefon bonda meminta dijemput dengan seribu satu alasan.
Kutekuni setiap kata si ibu dan kubaca baris-baris harapan yang dilontarkan dari bibir seorang ibu. Kurangkai dan jalinkan setiap kata-kata dan harapan itu untuk kulebih memahami...
Bersama si anak.. kucuba selami jiwanya. Kudekati hatinya, kusentuh rasanya dan kuikuti getar resahnya. Kutekuni si anak sebagai seorang kawan dan kupimpinnya sebagai seorang guru.
Tidak lama.. seminggu kemudian kulihat perubahan yang membuatkan hati ini menguntum senyum. Belum sempat ku berdiri dari duduk, si anak telah siap di depanku bertanyakan apa yang ingin kuajar hari itu. Kadangkala seawal pagi sesampaiku di bilik, dia terus menemuiku bertanyakan kerja yang ingin kuberikan atau buku yang akan kugunakan. Di dalam kelas juga sikapnya tidak lagi seperti dulu yang sering mengadu kesakitan.
Untuk semuanya.. aku hanya mampu memanjatkan syukurku pada-Nya...
Kupilih amanah ini bukan kerana ini jalan yang terakhir terpaksa akur kuterima. Kupilih tanggungjawab ini yang kini kugalas ke bahuku atas rasa kagumku tehadap arwah mak ngah, seorang guru yang telah mendidik ramai insan.
Sedari dulu, apabila ditanya tentang hala tuju dan matlamat hidup, jawapanku hanya satu.. aku ingin mendidik. Aku ingin memanusiakan sekurang-kurangnya seorang manusia. Wahai.. terlalu tinggi rasanya cita-cita itu tapi aku berpegang pada prinsip.. tiada yang mustahil selagi kita bernafas!