~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Wednesday, October 8, 2008

Dunia dan Isinya


Beralah bukan semestinya kalah
menang tak semestinya juara
umpama tangis dan tawa
ada titis yang luruh mencalar jiwa
ada titis yang jatuh menjemput bahagia
umpama tawa terukir membawa madu
ada masanya membawa hempedu.

Inilah dunia dan ceritanya
inilah kehidupan dengan tingkahnya
seringnya mendamba pada yang jahil
meminta pada yang bakhil.

Aduhai..
dunia dan isinya
ibarat si buta mengaku celik
ibarat mengadu pada si pekak
si bisu melaungkan amarah keadilan
sedang yang celik - melihat, mendengar
namun terkunci hatinya
tertutup mulutnya
tenggelam bersama
laungan suara kepalsuan
sedang kebenaran, keadilan
terus buta, pekak dan bisu.

Monday, September 29, 2008

Buatmu Yang Bergelar SAHABAT..

Di sini tiada getar suara yang bertingkah memeriahkan suasana. Hanya getar rasa yang bermukim jauh di sudut hati yang paling dalam.. disentuh dan tersentuh oleh lirikan tinta yang bisu. Di sini tatkala tinta bermadah kata.. Qasih persembahkan buatmu yang bergelar sahabat.. biarpun bicara dan senda kita hanya di maya ini.. amat Qasih hargai.. lalu terimalah...


( Buat semua yang sudi berkunjung ke teratak kecil Qasih... TERIMA KASIH daripada Qasih buat semua. Dan sudikanlah terima pemberian kecil ini daripada Qasih.. SALAM DI AIDIL FITRI BUATMU SAHABAT )

Monday, September 22, 2008

Hatiku tersentuh lagi...

kubuka mata yang terpejam. cuba mencari seraut wajah itu. wajah yang kudambakan sekian lama. wajah yang kurindukan berkurun lama.

di situ kulihat wajah itu. wajah yang kuinginkan mengisi segenap ruang yang sarat dengan rindu yang tertahan. kurenung wajah yang mendamaikan itu tapi hanya seketika. pantas.. waras menyedarkan aku. wajah di depanku ini bukanlah wajah yang ingin kusentuh kasihnya. hanya iras yang sama... tapi mataku tetap pada wajah itu seakan aku melihat dia berada di depanku.

sesaat hati rasa disentuh. mata kian kabur dan... rindu yang tak tertahan akhirnya gugur jua.. rintik di jari. entah mengapa.. rasa mengajak pilu lalu mengundang sebak yang bertandang.

walaupun bukan dia di depanku namun pandangan ini bagai terkaku di situ. sesungguhnya aku merindui saat-saat itu...

setiap kali aku pulang... dia satu-satunya yang setia menunggu. seawal subuh, dia telah siap sedia menantikan kepulanganku. perhatiannya itu cukup membuatkan aku terharu. tutur dalam bicaranya yang masih kuingat... hadir aku dinanti tanpa sabar kerana hanya aku satu-satunya yang cukup betah melayan kerenahnya.

aku yang begitu payah untuk menitiskan air mata akhirnya tewas jua. ujaran kata-kata yang kudengar itu tanpa sedar telah melembutkan hatiku yang sekeras batu.

tiba-tiba lamunanku terhenti membawa aku ke alam sedar. kembali kucari wajah itu. kurenung dari atas ke bawah sambil fikirku ligat berbicara. kalau tidak dihitung kesabaran, ingin saja aku mendekati wajah di depanku itu untukku luahkan segala persoalan yang bermain di mindaku saat ini.

“atuk nak ke mana?”

“atuk seorang saja?”

“atuk tinggal dengan siapa?”

“kenapa atuk jalan seorang diri?”

rupanya dalam sedar yang berbeka di hati, aku mengeluh sendiri bila mengenang sikap segelintir manusia yang cukup miskin kasih di hati. mungkin aku yang dibesarkan dengan kasih sayang seorang datuk dan nenek begitu mudah tersentuh hatiku bila melihat seorang tua berjalan sendirian membawa nasib diri. pantas fikirku membayangkan dia yang kusayang berjalan sendirian di kota besar ini.. tanpa ditemani. lalu hatiku tersentuh lagi....


( Hari ini genaplah 5 tahun Tok Wan pergi.. serasa baru semalam suaranya menyapa telingaku.. senyumnya menghias pandangku. hati ini rindu.. terlalu rindu dan akan tetap rindukan hari-hari semalam.. cerita tentang seorang cucu dan datuk... Al-Fatihah buat Tok Wan... )

Thursday, September 18, 2008

cInTa


cInTa
bukan untuk dikejar
juga bukan untuk dicari...


cInTa
juga tidak mengejar
dan tidak mencari...


Bila ada getar di hati
di situlah ada cInTa
yang telah tertulis sejak azali...

Saturday, September 13, 2008

Satu Ketika.. Kukorbankan Segala

seketika fikiran ini melayang jauh ke satu masa yang silam. seperti hanya jasad yang bersimpuh di sini sedang minda dan hayalku telah kembali mengutip tiap langkah yang kuatur pada hari-hari semalam yang telah kutinggalkan.. yang kenangannya cuma berbayang di minda. terkadang hilang.. terkadang jerihnya mengusik ketenangan hari ini.

masih kuingat..
satu ketika...

tidak pernah terfikir di benakku.. tentang perancangan hari ini apalagi untuk merancang hari esok. aku seakan tenggelam dalam ruang yang terbatas, lemas dalam arus kesibukan yang tak pernah surut. Hidupku, mindaku dan jasadku pada saat itu hanya satu...kerja. aku dambakan segalanya pada kerja sehingga aku lupa betapa indahnya sinar mentari kerana pulangku sering bertemankan sinar rembulan. terkadang pulangku diiringi titisan embun pertama yang menyentuh bumi.

kuserahkan segala pada yang bernama kerja. seringnya diri ini dihujani dengan leteran kerana aku cukup tidak betah berlama-lama bergurau-senda bersama keluarga. di benakku saat itu hanya satu... kerja harus ku utamakan.

aku bagai lupa dunia sekelilingku. duniaku hanya teman-teman sekerja, beberapa blok bangunan yang wajib kujelajahi setiap hari, juga timbunan ratusan puluhan kerja yang menuntut tarikh akhir di luar logik akal manusia biasa. segalanya kulakukan dengan penuh minat dan tanggungjawab. tiada gaji tambahan... kukorbankan segala... cuti hujung minggu juga waktu santai dan lenaku.

ya, aku lepaskan segala yang dipanggil kehidupan. aku lupa bagaimana untuk menikmati hidup ini sebenarnya.. sewajarnya...

sehinggalah..
pada satu ketika...

sedang aku dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, memandu dengan minda yang kosong sambil membuang pandangku ke jalan yang bertali arus... membawa aku ke alam sedar untuk aku menyoal diri.. kembali...

sehingga bila
harus kukorbankan setiap detik yang bermakna bagi sebuah kehidupan
hanya untuk memenuhi tuntutan kerja?

sehingga bila
harus ku berjaga walau dalam lena
hanya untuk ku abaikan kepentingan sendiri?

lalu kupanjatkan kesyukuran pada Ilahi kerana aku belum terlewat untuk menyedari bahawa hidup ini terlalu indah untuk dipersiakan.. terlalu manis untuk dilupakan dan terlalu bermakna untuk dibiarkan.. kerana sesungguhnya hidup ini satu anugerah yang tak ternilai!

Friday, September 5, 2008

HIJRAH


Gugus-gugus seroja yang gugur
dengan renjisan air di kali
seringnya melayarkan seribu rindu
dalam detik-detik terakhir
di saat kecundangnya
nafas keegoan
dalam dakapan
keinsafan
dan
hangatnya
rangkulan kesedaran
dibelai jemari tulus
yang rintik di pipi mulus
lalu membuahkan nekad yang rimbun
di taman impian yang satu
Hijrah!

Tuesday, September 2, 2008

KalauLAH...


satu hari yang membosankan! banyak yang ingin dilakukan tapi segalanya tertinggal begitu saja. terlalu banyak yang bermain di minda tapi segala bagaikan terpenjara di sini. tiada jalan keluar. sebagai gantinya... kebosanan yang beraja di minda dan akal.

huh.. kalaulah... satu kata yang sinonim dengan bibir dan hati manusia. sikit tak banyak.. kita sebenarnya tak boleh hidup tanpa perkataan KALAU. satu kata yang punya pengaruh buat manusia untuk menyulam rasa kesal, ketidakpuasan hati dan apa jua tafsiran, anggapan dan tanggapan negatif yang ingin kita putar balikkan menjadi seperti apa yang kita harapkan. merealitikan mimpi dan memfantasikan realiti dalam jaga dan sedar.

kalaulah semalam adalah hari ini
akan kuhentikan masa
agar rasa bahagia itu
tetap kekal selamanya.

kalau hari ini adalah semalam
akan kuputarkan kembali masa
agar hari ini bukan satu kekesalan
dan hari ini akan jadi milikku.

kalaulah.. kalaulah..
kalaulah KALAU itu tidak pernah wujud
pastinya manusia akan tahu nilainya
sebuah kesyukuran..
pastinya manusia akan faham ertinya
betapa manisnya detak detik setiap ujian.

Thursday, August 28, 2008

Maruah Merdeka


Merdeka itu
yang kurentasi melaluinya
adalah merdeka yang berdarah
merdeka itu adalah merdeka yang dijajah
merdeka itulah merdeka yang hilang
dalam laungan kemerdekaannya
yang usang dan tercarik
oleh belati kemajuan.


Merdeka yang berdarah hatinya
ditusuk tingkah anak warisan
yang terkoyak pakaian bangsanya - Melayu.


Merdeka yang hilang maruahnya
yang luka jantungnya
yang terkulai semangatnya
yang tercalar jiwanya
adalah merdeka hari ini
yang dilukai dan dicalar
oleh tangan anak bangsanya sendiri.


Merdeka hari ini
adalah kemerdekaan yang usang
yang kian hilang di dalam laungan kemerdekaan
yang terjajah di tanah sendiri
kemerdekaan yang terpenjara
dalam belenggu kekalutan
laungan penuh kepalsuan.


Merdekakah kita?

Thursday, August 21, 2008

Pencarian Tanpa Noktah

sejujurnya aku memang meminati dunia sastera dan seni, juga cukup mengagumi bahasa ibunda. aku yakinkan diri.. aku dilahirkan dengan jiwa yang satu ini. bagiku dunia yang satu ini tidak salah. dunia ini putih dalam warnanya sendiri.

tapi tika ingatan ini menerjah lewat masa kecilku...segala yang tergambar tentang dunia ini sudah cukup menggoyahkan diriku. aku disuakan dengan kepapaan, kedunguan, kemelaratan, kebodohan dan pelbagai kenegatifan dunia ini. sehingga kadangkala aku jadi ragu untuk meletakkan sederap langkahku melewati garis sempadan ke dunia khayal ini (sejujurnya itulah tafsiran yang diajarkan padaku yang sekecil anak, saat itu).

mungkin kerana aku dibesarkan dalam lingkungan manusia-manusia yang berajakan sains dan teknologi menjadikan aku sekerdil-kerdilnya tika itu. bukan maksudku bidang sains itu satu simpang yang kaku tapi aku yang sedangkal usia kecilku tika itu disuakan dengan dunia sains yang penuh jaminan. sedang dunia yang satu lagi (yang makin dekat dengan hatiku) adalah satu dunia yang malap. itulah yang aku faham hasil dari lontaran bibir-bibir tua yang telah terlebih dulu makan garam dariku.

lalu tatkala aku yang tak betah berada dalam genggaman ‘dunia realiti’ itu... lantas mengheret langkahku satu persatu atas nama tekad ke tangga menara Universiti Malaya. kuteruskan pencarianku ke singgahsana Akademi Pengajian Melayu.

di sana kuteruskan pencarian dalam pertapaan yang penuh keterasingan. kugenggam tekad... aku harus terus berdiri untuk membuktikan ‘dunia khayal’ ini mampu menjadikan aku seorang manusia yang sebenar-benarnya manusia. seorang manusia yang tidak mati jiwanya dan tidak hitam hatinya tika melangkah masuk ke dunia yang penuh cabaran.. tatkala meneruskan langkah ke alam kerja yang sukar menjanjkan suatu kepastian.

tapi bila kematangan menjengah.. aku akur. hidup ini perlu saling bergantungan. tidak ada dunia khayal atau fantasi. tidak ada dunia realiti atau nyata. apa saja dunia kita... di mana saja kita berlari, berdiri, berjalan, merangkak atau bertatih.. dan di mana sahaja dunia yang kita singgahi.. yang pasti ianya tidak akan sempurna tanpa kedua-duanya.

cuma ada masa-masanya aku ingin lontarkan rasa terkilan ini jauh dari hati bila merenungkan betapa egoisnya tanggapan yang dilemparkan pada dunia kecilku ini oleh mereka yang mendabik dada berpijak pada dunia realiti yang penuh kesempurnaan.

dan aku akan terus mencari, mencari dan terus mencari... kesempurnaan kecil dalam dunia kecilku ini yang dihiasi dengan setulus ketenangan. biarlah hanya aku yang mengerti betapa indahnya dunia ini dalam tafsiranku sendiri. juga tentunya takkan kulupakan dunia yang satu lagi kerana kedua-duanya amat diperlukan untuk saling melengkapi sebuah ‘kesempurnaan’.

Wednesday, August 20, 2008

Bicara Rindu

Kiranya dapat ku rungkaikan
bicara rindu ini menjadi satu
kiranya dapat kuhamparkan
resah rindu ini...
menjadi selimut malammu
akulah penunggu malam
yang paling setia.


Kiranya dapat ku ungkapkan
irama rindu ini menjadi lagu
kiranya dapat kutenun sutera rindu ini
menjadi selendang kasihmu
akulah penanti abadi yang tak pernah jemu
mengusung rindu di hujung pertemuan.


Andainya rindu itu penebat sebuah luka
andainya rindu itu penawar sebuah tangis
akulah perindu itu yang mengukir bahagia
di pintu kasihmu...


Namun akulah perindu walang
mengemis kasih di hujung air mata
mencipta rindu di bayang pertemuan
dan membelai potretmu di persada mimpi.