~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Sunday, November 30, 2008

Erti Sebuah C.I.N.T.A.

terhibur dengan telatah anak-anak kecil dan dalam masa yang sama melayan kerenah si cilik bukan hanya untuk melangsaikan tanggungjawab yang perlu kugalas ke bahu tapi sememangnya aku cukup menyenangi kerja ini.. biarpun seorang teman pernah membangkang apabila aku nekad melepaskan jawatan sebagai tutor/pensyarah di sebuah kolej swasta hanya untuk menerima tawaran sebagai seorang guru di sekolah rendah.

kata-katanya yang masih kuingat..

“dah jadi tutor/pensyarah.. kenapa nak pilih cikgu? orang lain makin naik ke atas.. kenapa nak turun pula? kalau dari pensyarah biasa lepas tu jadi prof. madya.. memang la patut. ini.. dah elok jadi pensyarah.. tiba-tiba nak jadi cikgu...”

jawab ku..

“pensyarah, prof. madya atau cikgu.. bidang yang sama.. semuanya untuk mendidik manusia agar benar-benar menjadi manusia. yang penting.. apa yang kita sampaikan.. dapat mereka faham.. terima.. dan ilmu tu dibawa sampai bila-bila.. ke mana pun mereka pergi.. di mana pun mereka berpijak.”

aku sememangnya mencintai kerja ini.. memberikan diriku ketenangan. dari sehari ke sehari menjadikan aku seorang yang lebih sabar menghadapi hari mendatang. benar kata orang.. melakukan kerja yang kita minati akan memberikan kita ketenangan yang menyeronokkan dan bila kita berhadapan dengan kesukaran.. segalanya kelihatan mudah kerana tanggungjawab yang tergalas itu turut digalas dengan rasa cinta yang mendalam..

Saturday, November 29, 2008

SaHaBaT..

Sahabat
saat kulihat kau menahan segala kesakitan
ingin kukongsikan rasa itu denganmu

Sahabat
tika kulihat air mata di pipimu
kurasakan basahnya di pipiku

Sahabat
tatkala kulihat matamu terpejam
ku tau kau cuba mencari tenang di situ
untuk kau redakan perit sakitmu

Lalu kupejamkan mataku
untuk kurasai getirmu
agar dapat kupinjamkan tenangku
untuk kau redakan resahmu

Sahabat
bila kulihat senyum menari di bibirmu
kurasai bahagia bernyanyi di hatiku
dan saat itu ku tau..
kumasih punya dirimu
untuk kusandarkan piluku
untuk kukongsikan tawaku
bersamamu...

Janji Yang Tertangguh..

Adakalanya kesibukan menyebabkan janji yang terlafaz atau terlakar sering tertangguh untuk ditunaikan sehingga ada hati yang mungkin kian menjauh.. bukan tiada kesudian yang bermukim di hati namun.. tanggungjawab yang tergalas menuntut agar janji yang dibuat terpaksa dilupakan buat seketika.

buat kak iris.. yang kian dekat di hati walau tak pernah bersua.. juga buat kamezaim yang sentiasa sudi mengunjungi laman Qasih.. terima kasih buat kalian..

di sini.. Qasih tunaikan janji yang tertangguh.. seadanya.. tiada yang lebih sempurna melainkan Dia.. kerana itu.. hanya ini yang mampu Qasih berikan kerana Qasih hanyalah hamba-Nya yang jauh dari kesempurnaan..


1.take a recent picture of yourself or take a picture of yourself right now
2.don't change your clothes, don't fix your hair..just take a picture
3.post that picture with NO editing
4.post this instruction with your picture
5.tag 10 people to do this.

Saturday, November 22, 2008

Seketika merehatkan minda...

seketika merehatkan minda dan memberi ruang pada diri berhibur setelah seminggu bergelumang dengan kursus teknologi maklumat di sekolah.. semalam aku membawa diri ke sanggar teater fauziah nawi (stefani)..

seringnya caraku memanjakan diri dan merehatkan minda adalah dengan mengunjungi mana-mana toko buku atau kalau ada kelapangan aku lebih senang tenggelam dalam ruang teater yang bagiku.. di situlah terpaparnya segala yang dipanggil kehidupan...

aku sememangnya meminati teater.. cukup unik dalam ruangnya tersendiri tapi bicaranya.. bahasanya.. tiada batas sempadan.. bagiku. aku cuma seorang penggemar juga sekadar pemerhati.. untuk itu aku selalu cuba-cuba mencuri ruang untuk hadir di pementasan teater dan selalu juga aku mengikuti persembahan stefani tapi entah kenapa.. kali ini.. aku terpanggil untuk berbicara tentang persembahan stefani (Cinta Julia) setelah tenggelam bersama monolog fauziah nawi selama satu jam.

ku akui.. seronok melihat fauziah nawi beraksi.. bermonolog. satu jam.. sebenarnya cukup mencabar bagi seorang pelakon untuk bermonolog dan dalam masa yang sama cuba untuk menghiburkan penonton.. memukau pandang agar mata tidak beralih dari pentas lakon.

namun itulah yang dilakukan oleh fauziah nawi.. auranya yang cukup mempesonakan (meminjam kata-kata ryann) telah memukau segenap ruang dan setiap mata yang ada dalam stor teater malam itu.. satu rasa yang menyentuh.. amarah yang menyentak dan rintih yang menghiris..

"Di manakah kan kutemui kamu..
Di tempat Adam dan Hawa ditemukan..
Di tempat kekasihku disemayamkan..
Ia kan junjunganmu.. takkan kau lupa Juliaku..
Lembut suaranya memanggilku..
Aku menggigil.."

- CINTA JULIA -


Monday, November 17, 2008

Kebahagiaan dalam Kehidupan

“Dalam usaha mencari kebahagiaan
kita telah kehilangan segala kebahagiaan yang lain

Kita keluar mencari kehidupan
namun kita telah jauh berpisah dari kehidupan itu sendiri

kita sering keliru..

walhal..

Kebahagiaan itu bukan satu destinasi
tetapi perjalanan itulah kebahagiaan...”


(kata-kata ini ku ambil dari filem yang pernah kutonton.. punya maksud yang begitu mendalam.. tentang kebahagiaan juga kehidupan)

Wednesday, November 5, 2008

Debat FIKIR dan RASIONAL

Bertanya pada diri
tentang takdir dan suratan
tentang hati dan budi
tentang hari ini dan semalam.

Lantas fikir membuka hikayat
rasional lantang mendebatkan.

Kata fikir:
takdir mengajak kita pasrah
suratan mengajar kita berserah.

Kata rasional:
takdir menuntut ketabahan
bukan sekadar pasrah semata
suratan menggamit kesedaran
agar tak kecundang dan hanya berserah.

Kata fikir:
hati itu lukisan keinsanan
budi itu cerminan peribadi.

Tapi kata rasional:
hati itu tak seluhur keinsanan
bertiangkan emosi berpasakkan nafsu
budi itu sekadarnya bukan peribadi
tunjangnya budaya akarnya bangsa.

Hujah fikir:
hari ini harus ditempuh
semalam harus ditinggalkan
kerana semalam telah berlalu
dan takkan mengubah hari ini.

Namun rasional tetap menegaskan:
tanpa semalam
hari ini hanyalah omongan kosong
dan igauan semata.

Monday, October 27, 2008

Aduhai.. wahai si kecil..


hari ini aku diam di situ.. memerhati tingkah si kecil pewaris bangsa. lekaku dengan pandangan yang kosong sebelum mataku berbicara dan hatiku berdetak.. apa akan jadi pada mereka.. lima atau sepuluh tahun lagi..? anak-anak itu yang kukenal, kurapati dan kumesrai setiap geraklaku dan tutur mereka.. membuat aku berfikir dan ingin sekali aku cuba mencari perbezaan di antara anak-anak itu dengan anak-anak di luar sana.

anak-anak itu yang kukenal dan kumesrai adalah si kecil yang tidak pernah mengenal erti susah dan payah yang bernama kehidupan. mereka dilahirkan dengan penuh kesenangan dan dilimpahi dengan segala kemewahan.

dengan begitu ramai anak kecil yang kutekuni setiap hari.. hanya tidak sampai separuh daripadanya adalah pewaris bangsaku sendiri.. dan hati kecil ini bagai direntap dan disentap oleh kekecewaan. memang benar bukan semuanya.. tapi yang segelintir itulah membuatkan fikirku bersoal jawab...

“Masih akan kukenalkah bangsaku yang bernama MELAYU sedekad yang mendatang?”

“Masih adakah yang bersemangat Tuah menghunus keris setia dan menjunjung ketuanan Melayu?”


atau


“Masih wujudkah lantang Jebat yang melaungkan amarah keadilan tanpa sedikit pun gentar di hati?”

segalanya.. tak ku punya jawapan...


kesalan yang terguris di hati adakalanya sukar untuk kupadamkan. betapa.. si kecil yang sewajarnya dihikayatkan dengan getir dan sukarnya perjuangan bangsa sendiri untuk utuh berdiri.. tenggelam dalam limpahan kemanjaan yang tak berpenghujung.. sehinggakan tidak mengerti untuk berdiri di atas kaki sendiri kerana segalanya telah siap tersedia tatkala mata dibuka.

aduhai.. wahai..
si kecil pewaris bangsa
bukan salahmu bermandi kemewahan
bukan silapmu dambakan kemanjaan.

aduhai.. wahai..
si kecil pewaris bangsa

moga takkan kau lontarkan kata

“ayah.. ku tak diajar..

bagaimana untuk kuteruskan hidup ini tanpamu..”

“ibu.. ku tak diajar..

bagaimana untuk bernafas tanpa dakapanmu..”
aduhai.. wahai...


Wednesday, October 22, 2008

Kehilangan

Pagi itu tika bangunnya membuka jendela hayat
dia tergamam sendiri menyelak tabir kehidupan
kian lusuh dimamah waktu dan terdiam sendiri
dia membilang sepi yang lama bertafakur.

Di situ dia kembali pada diri lalu membelai
seluruh kamar dan ranjang tidurnya
dengan mata sayu yang telah terlalu letih
memandang gerak dan tingkah
yang bernama kemanusiaan.

Lalu dengan langkah separuh lelah
dia kembali pada meja fikirnya
seperti pagi-pagi sebelumnya
petang dan malam sebelumnya
dan hari-hari sebelumnya
berbicara pada hati, rasa dan diri
pada teman yang tak pernah bersuara
tapi tetap memegang setia pada janji
segala rasa.

Namun pagi itu
adalah pagi yang baru dalam hidupnya
kerana pagi itu dia tidak lagi berbicara
pada teman yang setia dan tidak lagi
mengunjungi meja fikirnya
kerana dia telah kehilangan kata-kata
untuk terus bercerita.


Tuesday, October 14, 2008

Masih Ada Rindu...


hari ini aku menyusuri kembali laluan kenangan di tempat yang pernah aku tinggalkan dulu. seakan baru semalam kaki ini melangkah pergi dari situ. segalanya masih kelihatan sama... cuma dengan wajah yang baru.

kupandang sekeliling bagai ingin merakam kembali setiap kenangan yang ada di situ. rupanya... di situ masih ada rindu.. masih ada kasih dan masih ada sayang yang mendalam di situ. ingin sekali aku kembali ke situ dan mengulangi semula segala yang telah aku tinggalkan.

ketika aku mengira kembali tiap detik yang telah kutinggalkan jauh di dinding kenangan yang telah terpahat di setiap penjuru tempat itu... tiba-tiba sebaris kata-kata yang sering kudengar bermain di minda...

“untuk apa dikenang perkara yang telah berlalu...?”

“kenapa ingin mengulang kembali apa yang telah ditinggalkan? bukankah apa yang ada hari ini sudah lebih baik?”

aku mengeluh sendiri dan bertanya diri... salahkah untuk kembali semula ke pangkal jalan kalau itu mampu menjadikan kita manusia yang lebih baik dari hari ini? salahkah untuk mengenang kembali hari-hari semalam yang telah ditinggalkan... kalau ianya meninggalkan seribu satu kemanisan yang mampu mengundang senyum di hati?

ya.. serasa aku ingin kembali ke situ sekali lagi. empat tahun membina kenangan dan mengumpul pengalaman menjadikan aku sukar untuk melupakan tempat itu. di situ aku kenal erti manusia dan kemanusiaan. di situ aku kenal tingkah dan laku manusia.

hakikatnya.. tempat itu banyak mengajar aku menjadi manusia yang sebenarnya manusia. manusia yang penuh dengan rasa kemaafan... penuh dengan rasa amarah jua penuh dengan rasa kesedaran dan insaf diri.

di situ.. aku kenal diri.. kenal hati.. kenal rasa juga kenal jiwa. banyak kali atau lebih tepat seringkali aku berdepan dengan kepuraan manusia menjadikan aku berpijak pada nyata. pernah aku berdepan dengan manusia yang menjadikan pangkat dan wang ringgit sebagai nilaian rasa hormat. juga bukan sekali dua aku bertemu dengan kesantunan Melayu yang kian pudar.

walau apa sekalipun... tempat itu banyak mengajar aku mengenal manusia dan kemanusiaan. dan tatkala aku kembali ke situ untuk kesekian kalinya.. dapat kurasakan.. masih ada rindu di situ. rindu yang mengajar aku mentafsir makna hidup ini dalam ruangnya sendiri... yang tidak kutemui dari mana-mana naskhah yang kemas tersusun di tempatnya.

Wednesday, October 8, 2008

Dunia dan Isinya


Beralah bukan semestinya kalah
menang tak semestinya juara
umpama tangis dan tawa
ada titis yang luruh mencalar jiwa
ada titis yang jatuh menjemput bahagia
umpama tawa terukir membawa madu
ada masanya membawa hempedu.

Inilah dunia dan ceritanya
inilah kehidupan dengan tingkahnya
seringnya mendamba pada yang jahil
meminta pada yang bakhil.

Aduhai..
dunia dan isinya
ibarat si buta mengaku celik
ibarat mengadu pada si pekak
si bisu melaungkan amarah keadilan
sedang yang celik - melihat, mendengar
namun terkunci hatinya
tertutup mulutnya
tenggelam bersama
laungan suara kepalsuan
sedang kebenaran, keadilan
terus buta, pekak dan bisu.