~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Saturday, February 7, 2009

Seputar Kisah Biasa

Dia ialah seorang wanita biasa. Seorang ibu dan seorang isteri yang mengimpikan sebuah kehidupan biasa bersama suami dan anak-anak di sisi. Tapi hari itu hati wanitanya rapuh. Ketabahan yang cuba dipertahankan selama ini berkecai satu demi satu.

Suara si kecil merengek meminta disuapkan makanan terngiang-ngiang di telinga. Suara si kakak yang menangis menahan lapar bagai merobek hatinya. Menjenguk ke ruang dapur, seketika dia hampir hilang pertimbangan apabila tiap satu bekas dan tin yang dibukanya hanya terisi dengan rintih dan air matanya sendiri.

Sebulan berlalu tanpa sebarang khabar. Hanya petang tadi dia menerima sehelai warkah yang menoktahkan seluruh hidupnya. Ya.. dia hanya seorang wanita yang tidak punya sebarang upaya untuk menghalang lafaz talak daripada seorang lelaki yang bergelar suami.

Dunianya gelap. Sekelilingnya kelam. Dahan tempatnya bergantung harap selama ini patah dan hilang entah ke mana. Air mata seorang ibu dan seorang wanita berkecai dan bertaburan ke lantai.

Seluruh hidup yang disandarkan pada sang suami menjadi satu permainan takdir yang tiada bertepi. Yang tinggal cuma satu cinta yang diratapi dan sebuah kasih yang ditalkinkan sebelum masanya.

Begitulah perjalanan hidup seorang wanita, seorang ibu dan seorang isteri. Cebisan-cebisan kisah sepertinya sentiasa bermain dalam putaran kehidupan. Namun dia yang pernah kukenali pada nyatanya membuatkan diriku berfikir.. bukan sekali tetapi berkali-kali.. tentang nilai seorang Hawa di mata seorang Adam. Seorang Hawa yang dijadikan daripada rusuk seorang Adam.

Sulitkah untuk mengerti seorang Adam.. atau sukarkah untuk memahami seorang Hawa..? Kalaupun kesalahan terbeban di bahu Hawa.. bukankah Adam harus hadir memimpin agar Hawa tidak terus jatuh dan jatuh.. hanyut sendirian..? Dan teganya hati seorang Adam membiarkan zuriat sendiri menelan pahit kehidupan tanpa menemani mereka di sisi.

Kadangkala kisah-kisah sebegini menjadikan aku takut untuk membicarakan tentang sebuah perkongsian hidup. Telah terlalu banyak kisah yang terpapar di depan mata sehingga ada masa-masanya.. sukarnya untuk kusemai sebuah keyakinan...

Sendiri cuba mentafsir.. mungkin aku yang belum benar-benar mengerti....

Sunday, February 1, 2009

Kubawa diri ke ruang itu

Membaca apa yang ditulis oleh Marissa menyebabkan aku terpanggil untuk berkunjung ke stor DBP petang tadi. Sekali lagi melarikan diri ke ruang kecil di stor itu bagai membawa diriku ke satu alam lain. Alam yang penuh jujur dan telus membicarakan persoalan masyarakat juga sindiran sinis yang penuh ikhlas.

Dalam ruang yang kecil dengan renyai hujan di luar tidak sekalipun menggugat tumpuanku ke pentas kecil, walaupun sesekali gigil dengan sejuknya penghawa dingin. Masa berlalu seakan tidak terasa. Sedar-sedar sudah lebih kurang satu jam setengah aku memencilkan diri di ruang itu.


Selesai pementasan, aku melangkah keluar dengan satu kepuasan walaupun terdetik di hati ingin sekali lagi rasanya menyelami cerita yang terakhir yang dikisahkan. Mungkin juga kerana aku cukup terkesan dengan dialog-dialog yang menjadi asas penceritaannya.



Friday, January 30, 2009

Sejenak..bertafakur..bertawajuh


Sejenak ruang sepi itu kujelajahi
di penjurunya kutemui kekosongan yang nyata
lalu dengan penuh teliti, perlahan dan hati-hati
ku isikan ia dengan zikrullah.

Bertafakur seketika
merenung sisi gelap dalam diri
kutemui hitam yang kelam
sunyi
kosong
sepi
sendiri
mati.

Lalu berwudukku dalam rindu-Mu
untukku isikan nur dalam jiwaku
bersolatku dalam diam-Mu
untukku muhasabahkan diriku
bersujudku menyentuh kasih-Mu
untukku isikan tasbih dan tahmidku
bertawajuhku hanya pada-Mu.


Monday, January 26, 2009

Aku ingin Diam...


Telah lama kugenggam hati itu. Kesakitan ini juga telah lama kupendam. Kini lukanya kian berdarah. Calarnya kian memerah. Telah lama kumiliki hati ini. Perjalanan lapan tahun yang penuh pedih. Hari ini kulepaskan hati itu pada rasa yang bukan milikku lagi. Aku ingin diam.. diam.. diam.. kerana aku telah terlalu lelah. Aku ingin diam dalam sunyi.. sepi.. sendiri... aku ingin diam dalam pedih yang kian mencalar rasa...


Friday, January 23, 2009

Hanya DOa


Aku tak punya kekuatan untuk bercerita lagi
aku tak punya kekuatan untuk berhujah lagi
aku telah bisu dari berbicara
aku telah bisu dari berkata.

Semalam
aku masih punya hati
agar tak mati.

Semalam
aku masih punya jiwa
agar tak kecewa.

Semalam
aku masih punya rasa
agar tak binasa.

Hari ini
aku hanya
punya
satu
.
.
.
DOA.


Saturday, January 17, 2009

Erti Sebuah C.I.N.T.A. 2


Menunganku petang itu panjang. Jauh sekali. Mungkin. Berkali-kali kufikir dan kuselam.. wajarkah untuk kubicarakan.. di sini..? Dan bila rasa ini tidak tertanggung lagi..

kubiarkan rasa ini berbicara
kubiarkan tinta ini bersuara
dan
kubiarkan kalam ini bercerita...

Pagi itu seperti pagi-pagi yang lainnya adalah pagi yang biasa. Dengan cerita dan kisah yang biasa. Juga dengan teman yang biasa. Ku mulakan hari itu juga dengan langkah yang biasa. Penuh tenang.

Sepanjang perjalanan.. kupintalkan satu-persatu, kususun dan kuatur seyakin hati untuk kujalankan tanggungjawab yang telah sedia kugenggam. Tapi seketika keyakinan itu seakan digugat apabila temanku bersuara. Meluahkan kebosanannya untuk memulakan hari itu. Memuntahkan kemalasannya untuk terus mendepani anak-anak kecil yang masih hijau dengan rencah hidup ini. Walhal hari itu adalah hari pertama untuk melangsaikan amanah setelah lama bercuti.

Bukan pertama kali. Bukan sekali dua aku disuakan dengan suara-suara sebegitu yang berlagu di pendengaranku membuatkan aku sering menyoal sendiri.. kiranya tiada cinta, mengapa tega membiarkan diri terus diulit dengan bidang ini.. kerjaya ini? Adakah kerana hanya ini pilihan yang tinggal..?

Aduhai.. kadangkala tak sanggup lagi rasanya untuk kuterus menjadi pendengar pada rasa cinta itu yang kian pudar di hati mereka. Atau mungkin rasa itu tak pernah bermukim... Ada masa-masanya aku jadi semakin tidak mengerti.. untuk apa dicanang-canangkan rasa itu..? Untuk apa dikongsi kebosanan dan kemalasan itu? Terbebankah bahu kalian menggalas tanggungjawab itu?

Wahai teman.. cukuplah kalian mengeluh di atas ketidaksanggupan kalian menggalas tanggungjawab ini. Jangan musnahkan masa depan anak-anak kecil itu dengan rasa cinta kalian yang kian menghilang. Serahkan rasa cinta itu pada mereka yang benar-benar mencintai kerjaya ini.

Sesungguhnya amanah dan tanggungjawab yang terlukis pada wajah-wajah kecil itu bukanlah satu beban... tapi satu anugerah yang tidak ternilai....



Thursday, January 15, 2009

Sekadar Ingatan


Ada kalanya menerima segala ketentuan itu tanpa mempersoalkannya adalah lebih baik daripada mempersoalkan segalanya tanpa mengambil sebarang tindakan. Apa yang telah tersurat tetap akan terlestari tapi sebagai manusia kita harus sentiasa beringat.. sesungguhnya segala yang tersirat itu ada masa-masanya adalah di luar daripada jangkauan fikir kita.


Namun.. Dia tidak pernah menguji hamba-Nya dengan ujian yang tidak termampu oleh kita kerana sesungguhnya Dia Maha Mengetahui sekental mana ketabahan diri kita. Lalu sebagai hamba-Nya yang tidak terlepas daripada khilaf.. menerima seadanya adalah lebih baik daripada mencari kesalahan orang lain yang akhirnya akan kembali kepada diri kita sendiri.

Dan.. sesekali cerminlah diri pada wajah peribadi...


Monday, January 12, 2009

Dengan Mata Hati

Terkadang
dengan mata hati
kita mampu merawat
parahnya kecewa.

Terkadang
dengan mata hati
kita mampu melihat
cerminan diri di wajah peribadi.

Tapi terkadang
dengan mata hati jua
kita mampu tersasar
dari landasan yang bernama hidup.


Saturday, January 3, 2009

Cara Kita BeRbEzA

Hari ini aku menghabiskan masa dengan berjalan-jalan di pusat membeli-belah. Aku gemar melihat gelagat manusia. Aku bukanlah pentafsir tapi sekadar memerhati.. kerana dari situlah minda hayalku mampu menterjemahkannya ke dalam bait-bait kata. Kerana itu juga nota kecil dan sebatang pen sering menemani diriku ke mana sahaja aku melangkah.

Seketika menjadi pemerhati, minda sedarku bagai membawa diriku pada tanggal 31 Disember yang lalu.Aku menerima panggilan daripada seorang teman.. bertanyakan rutinku untuk hari itu. Tanpa berfikir panjang, aku memberitahunya tentang apa yang telah kurencanakan seawal petang. Perbualan kami terhenti di situ dan aku meneruskan kerjaku.. dengan caraku.

Menatap kaca televisyen pada malamnya.. baru kusedar.. ke mana arahnya pertanyaan temanku itu. Aku jadi lupa.. benar-benar lupa pada tarikh yang ditunggu-tunggu.. mungkin oleh semua orang. Detik yang dinanti-nantikan untuk menyemai azam baru walhal tekad yang lama belum pun terlangsai.

..dan aku.. kukira masih belum terlambat untuk aku mengajak temanku itu bersantai menantikan kemeriahan sambutan malam tahun baru. Namun aku tetap berdiam di situ. Dalam ruangku sendiri. Tanpa kembali menghubungi temanku itu kerana.. cara kami mungkin berbeza.

Mungkin juga aku terlupa tentang malam itu kerana bagiku.. sambutan tahun baru telah pun berlalu pada tanggal 1 Muharram 1430 yang lalu. Telah kusemai azam. Telah kutanam tekad dan telah ku muhasabahkan diri ini dalam redha dan kasih-Nya.

Lalu dari jendela rumah kecilku pada detik menghampiri 12 malam.. kulihat warna-warni bunga-bunga dari percikan api yang menghias pekat malam. Dapat kubayangkan keriangan dan kemeriahan yang berlangsung di sana. Tapi saat lekaku merenung gemerlap cahaya itu, hati dan minda ini berbicara.. di sana.. di sudut yang lain berbumbungkan langit yang sama.. dentumannya memecah angkasa tapi disambut dengan rasa yang berbeza.

Di sini..
dentuman dan gemerlap itu disambut dengan sorak gembira dan tawa ria.

Di sana..
dentuman bergema hanya debar menghias rasa.


Di sini..
luruh maruah tercalar oleh leka tak sudah.


Di sana..
derai air mata tumpah tatkala kekejaman menghiris maruah bangsa.


Sememangnya cara kita berbeza...






Thursday, January 1, 2009

..Sepi..

Merenung hari-hari semalam yang telah ditinggalkan.
Ada sepi bertandang.
Ada amarah membelit
dan ada rindu membara.

Sepi.. yang telah lama berjalan seiring seusia diri. Sepi menjenguk ruang peribadi dengan makna yang mendalam. Sepi yang kian sukar untuk dirungkai dengan bait kata-kata. Juga sepi yang memberikan sedikit kekuatan dan semusim ketenangan. Sesungguhnya sepi itu indah. Seindah kasih Ilahi.