~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Friday, November 26, 2010

~ Wajah MaLaM ~

Menatap wajah malam
ada cerita yang belum selesai
ada kata yang belum terungkai.

Dalam sunyi dan dingin
yang membalut segala rasa
tirai alam tersingkap
rahsia hati terbentan
g.

Getar yang mendebar dada
membawa cerita yang tak terungkap
membuka kisah yang tak terluah.

Antara sunyi yang dingin
dan hitam yang gelisah
ada hati yang tenang
menatap sinar bintang

memujuk sendu bulan
agar tidak menitis tangis
pada kasih yang hilang.


Friday, November 19, 2010

~ Bila tintaku berkata ~

Aku ingin menulis. Meluahkan segalanya dalam bait-bait kata tapi aku tidak tahu dari mana harus kumulakan aksara-aksara itu. Segalanya berjalan seperti yang telah tersurat dalam laluan takdir di bawah ketentuan-Nya. Dan segala yang tersirat adalah kehebatan-Nya yang tidak terjangkau oleh minda kecilku.

Apapun aku akur untuk terus berjalan pada laluan yang telah sedia terbentang di hadapanku. Tampak mudah dan lurus walau kadangkala berselang onak dan duri yang tidak terlihat oleh pandang mata. Sekali lagi aku akur.. tidak ada yang mudah walau untuk mengerdipkan sepasang mata. Segalanya dengan izin-Nya.. Subhanallah...

Hari ini aku membawa diri.. merenung kembali jalan-jalan yang pernah kulalui, menilai khilaf diri, meneliti cantuman-cantuman hidupku yang masih belum lengkap. Aku mencari di mana letaknya diri ini.. hari ini.. semalam dan hari depan yang belum pasti.

Aku bertatih sendirian, berjalan dan cuba berlari. Kemudian jatuh dan cuba bangun semula. Kuatur langkah satu demi satu. Segalanya kulakukan dan laluinya sendiri.

Sungguh.. seketika aku terkedu. Setabah itukah diriku..? Mendekati angka 14.. di perantauan. Sekuat itukah aku?

Tidak punya jurusan yang mampu dibanggakan oleh sesetengah orang.. aku masih boleh bernafas lega di kota ini. Syukurku pada-Nya di atas segala kurniaan dan nikmat yang tidak terbatas. Soal jodoh.. hari depan.. kuserahkan pada DIA yang lebih mengetahui. Usah lagi terus-terusan hujani aku dengan pertanyaan kerana aku tidak punya jawapannya.

Thursday, November 11, 2010

~ Hari iNi.. ~

Hari ini..
Genang mata seorang guru adalah tumpahan segala jerih dan kasih yang tergalas di bahu atas nama amanah dan tanggungjawab.

Hari ini..
Linang yang luruh di birai mata anak-anak itu adalah lukisan kemanisan sebuah kejayaan yang sering terlakar dalam laungan suara seorang guru.

Hari ini..
Seorang murid mengerti makna kasih yang tersulam dalam tiap amarah yang singgah lewat tutur bicara seorang guru.

Hari ini..
Seorang murid mula memahami erti ketegasan seorang guru bukanlah lontaran kebencian mahupun hukuman semata. Sebaliknya adalah tangan yang membimbing agar tidak terus rebah tanpa sokongan.


Sunday, October 31, 2010

~ Bila kata menjadi SuKaR ~

Satu ketika.. mengungkapkan kata-kata itu menjadi begitu sukar. Mungkin kerana ungkapan itu bercerminkan kebenaran, maka lukanya menjadi begitu dalam. Lalu pembohongan menjadi begitu mudah apabila soal hati dan rasa menjadi yang utama.

Akhirnya.. yang tinggal hanya ruang kosong. Di tengahnya hanya terisi satu jasad bernyawa tanpa sebarang rasa. Segalanya sepi. Bungkam. Hanya menunggu untuk digerakkan. Segalanya hanyalah kerana menjaga hati yang teramat rapuh agar tidak terus retak dan berkecai. Cukuplah calarnya amat menghukum segenap sudut jiwa.

Lalu apabila detiknya fikir mula bermuhasabah.. diri seakan mencari dan menemui kembali sebahagian diri yang telah lama hila
ng. Lantas kamar perdebatan ligat melontarkan hujah agar menatang dewasa dalam dunia nyata dengan penuh berhemah.


Monday, October 18, 2010

~ Nilaian CiNtA ~

Genggam dan dakaplah CiNtA itu
dekat dengan hati
dan rapat dengan jiwa
agar mampu difahami
nilai sebenar CiNtA itu.

Jangan biarkan ia jatuh
kerana

CiNtA untuk ditatang
bukan untuk diletakkan ke bawah..
CiNtA untuk dimengerti
bukan untuk dipuja
atau disanjung.

CiNtA
adalah perkongsian dua jiwa
untuk saling melengkap
i
dalam mencari kesempurnaan..
CiNtA Ilahi...




Sunday, October 10, 2010

~ Berpaling SeTiA ~

Satu ketika
kupilih untuk menggenggam setia
kerana kukira
setia itu menghadiahkan bahagia.

Lalu aku tetap kekal di situ
menghulur seluruh jiwa
menelan segala perit dan nanah
yang lukanya berbekas
di hati
dalam pedih yang tak terpandang mata.

Rupanya
tidak semua manis itu
akan bersambut madu

kerana pandang yang berbeza
dan sangka yang tak sudah
kilauan kaca itu
tetap jua menjadi junjungan.

Kini, sedar pada yang nyata
ku memilih melepaskan setia
ku memilih untuk memilih
menjadi cahaya yang menerangi
dan tidak sesekali menjadi dian
berkorban dan terkorban
hilangnya tidak be
rbekas.



Friday, October 1, 2010

~ Antara masa, detik dan waktu itu.. ~


Seketika mencari tenang dengan kembali ke tempat dulu yang pernah ditinggalkan.. terasa rindu itu begitu menggamit walau segalanya bukan seperti dahulu lagi. Bertemu, bersua dan bertukar bicara bersama teman lama bagai mengubat segala rindu. Ahh.. betapa masa begitu cepat berputar dan detik tidak pernah menunggu untuk sesekali membayang kenang.


Bicara mesra bersama teman yang menyingkap kenangan lalu.. terasa benar mengajak sedar menjenguk nyata. Lalu tanpa pinta hati berdetak.. menyesalkah kerana memilih untuk menggenggam hari ini..?


Ya Allah.. tidak seharusnya aku bertanya soal itu. Telah Engkau tentukan yang terbaik untuk setiap hamba-Mu. Istighfar jiwa ini atas lalai yang tak sudah. Seharusnya aku bersyukur dikurniakan rezeki ini.


Namun kerap kali sebaris kata berbayang di minda.. DIA tidak akan mengubah nasib kita selagi kita sendiri tidak berusaha untuk mengubahnya. Lantas.. perlukah kuuraikan genggaman itu kerana nyata sekali genggaman itu tidak mampu untuk terus menyokong rebahku. Malah teduhan itu juga nyata sekali hanya mampu melindungi gerimis.

Masa terus berputar.. beredar dan semakin menjauh takkan sesekali berpaling. Dan antara putaran itu.. satu yang kufahami.. masa tidak pernah menunggu. Begitu juga diriku.



Saturday, September 25, 2010

~ Tuhan masih menguji... ~

Terlalu banyak yang terjadi sehingga aku hampir tidak lagi mengenali diri sendiri. Mungkin juga telah terlalu banyak yang terpendam sehingga pendam itu menjadi luka dan pedih yang sukar untuk dipulihkan walau oleh masa.

Aku bagai kehilangan diriku yang dulu. Entah ke mana hilangnya... Aku cuba mencermin diri, mencari di mana salahnya. Tiba-tiba aku m
enjadi begitu kejam tapi akhirnya rasa itu memenjarakan diriku sendiri. Syukurlah aku masih punya empati.. walau rasa itu hampir dirampas tanpa relaku.

Pernah aku bicara.. kadangkala berbuat jahat itu perlu untuk menyedarkan kiranya berbuat baik itu sudah tidak mampu lagi untuk difahami... Namun segala-galanya perlu berpada-pada agar tidak memakan diri.

Sememangnya aku perlukan waktu untuk
muhasabah diri agar segala yang kuputuskan ternoktah pada titik yang sepatutnya.. agar tidak akan ada lagi hati yang tercalar dan rasa yang terguris oleh tindak yang terpendam.



Friday, September 17, 2010

~ Sesungguhnya DIA Maha Mengerti.. ~

Masih tinggal beberapa hari lagi untuk kembali kepada rutin biasa. Kembali ke tempat itu menggalas tanggungjawab yang belum selesai. Namun entah ke mana hilangnya semangat itu. Ketika terakhir kali kaki ini ingin melangkah meninggalkan tempat itu.. terasa langkah ini begitu senang untuk diatur satu-persatu. Terkadang sendiri tertanya.. ke mana hati ini telah membawa rindu itu pergi...

Bagai soal yang tidak pernah berjawab.. mungkin juga hati telah nekad membuat pilih dalam mencari jalan yang lain, rimbunan lain yang mampu meneduhkan. Lalu kasih yang beralih ini moga dipermudahkan oleh-Nya kerana sememangnya meletakkan kasih dan setia pada yang tidak pernah menghargai hanya akan mencalar rasa yang mengguris pedih.

Namun.. pada segalanya.. akur pada yang telah tertulis jua redha pada apa yang tersirat kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Tika kita meminta bahagia,
DIA datangkan pedih sebuah ujian.

Saat kita menginginkan senyuman,
DIA berikan kita air mata.

Tatkala kita meminta pertemuan,
DIA merencanakan perpisahan..

kerana sesungguhnya DIA Maha Mengerti..
Di sebalik pedih ujian itu adalah tenang yang mendamaikan.

Pada air mata itu adalah bias kebahagiaan yang tidak sekadar senyuman.

Dan DIA merencanakan perpi
sahan
kerana di situlah bermulanya sebuah pertemuan.


Thursday, September 16, 2010

~ Luahan Tinta ~

Berteleku di hadapan papan kekunci sambil mata merenung kosong aksara-aksara bagai kehilangan segala kata-kata. Di mana harus dimulakan sebuah bicara..? Bagaimana harus meluahkan sebaris kata.. apabila tidak ada yang berhujung mahupun berpangkal.

Aku ingin terus menulis seperti dahulu. Melakar kata demi kata namun kekangan masa membatas segala. Lalu rindu itu terus tertinggal di situ.. mendambakan belaian kata-kata yang semakin menjauh.. juga kesihatan yang seakan tidak mengizinkan.

Benarlah.. saat Allah pinjamkan kita kesenangan, kebahagiaan mahupun kesihatan yang baik.. kita seakan terbuai dalam nikmat rahmat-Nya hingga hampir terlupa untuk bersujud menuturkan ucap kasih pada cinta-Nya untuk kita sebagai hamba-Nya. Lalu
tika Allah mendekatkan kasih-Nya pada kita melalui ujian dan dugaan, kita seakan terpukul dalam khilaf sendiri. Moga kesedaran itu tidak pernah terlambat kerana sesungguhnya masa tidak pernah berhenti berdetik.