~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Sunday, January 9, 2011

~ Catatan PerTama.. 2011 ~

Telah lama tidak melakar tinta di sini. Terlalu banyak kekangan menyebabkan soal diri perlu diketepikan dahulu buat sementara waktu. Rasa.. minta bicara, namun galas tanggungjawab perlu diletakkan di tempat yang paling atas agar amanah tidak titis di pertengahan.

Lalu detik awal 2011 kubiarkan berlalu begitu sahaja sebagaimana penghujung detik-detik terakhir tahun lalu berlalu dalam sun
yi yang tidak berhujung. Aku kembali mencari warna diri dan mengintai ruang untuk sedaya mengumpul kekuatan agar tahun ini memberikan lebih makna.

Tuhan.. berikan aku kurniaMu agar bahagia itu mendekat..
agar aku tidak lagi menggantung harap pada dahan yang rapuh..

agar bahu yang kusandarkan duka tidak lagi menikam jiwaku dalam diam...


..amiin..


Friday, December 24, 2010

~ Ruang Kejujuran ~

Aku gemar melihat rancangan temubual yang dikendalikan oleh Oprah. Yang paling kuingat ialah temubualnya bersama penulis buku Harry Potter, JK Rowling. Secara tak langsung mengingatkan aku kepada diriku sendiri. Kenapa aku perlu terus menulis.. melakar tinta yang mungkin hanya dibaca oleh diriku sendiri.

Menulis.. yang sejak kecil kuanggap sebagai minat adalah lebih dari itu. Pena menjadi temanku yang paling akrab.. tempat kusandarkan segala lara. Aku menulis ketika suara hati tidak terluah oleh bicara. Mindaku lancar sahaja melakar kata saat keresahan dan kesedihan menyesak dada. Ilham mendekat tanpa perlu kurayu pujuk. Dan saat kunoktahkan tinta, segala kalut rasa bagaikan tercurah semuanya pada bait-bait aksara.


Melihat apa yang ada dalam simpananku seperti aku melihat kematangan yang semakin mendewasa. Aku lebih senang memilih cara ini untuk meleraikan segala yang kusut. Bukan tidak kusandarkan percaya pada yang bergelar insan cuma ruang kejujuran itu lebih kutemui di sini...





Tuesday, December 21, 2010

~ Puisi RiNdU ~

Yang bernama rindu
lahirnya dari kasih dan sayang
dari hati yang mengharap
dari rasa yang menanti.

Yang dipanggil rindu

bila diri rasa terhukum
bila jiwa rasa terpenjara
bila hati rasa terdera.

Yang dikata rindu
tatkala kata menjadi bisu
tatkala jasad merintih pilu

tatkala air mata membasuh sendu
tatkala kenangan menjadi hidangan
tatkala fikir menghias khayal.

Yang bernama, dipanggil, dikata rindu
adalah sebuah kerinduan
rindukan sebuah pertemuan.

Sunday, December 5, 2010

~ Siratan yang Tersurat ~

Mungkin aku tidak memiliki kasih yang kudambakan. Mungkin hidupku tidak dilimpahi dengan kesenangan harta. Mungkin saja aku bukanlah sang puteri yang menghiasi mimpi sang putera. Apa sahaja berkemungkinan. Kemungkinan-kemungkinan itu sebenarnya bertitik-tolak daripada satu hal yang mungkin cukup remeh.

Aku telah singgah ke dalam hidupnya seketika. Menziarahi wangian kegembiraan yang bertandang dalam hidupnya dengan kehadiran zuriat. Kumesrai senyuman yang terukir di bibirnya. Kupandang sinar yang melimpahi birai matanya.

Seketika ku mencuri pandang ke ruang lain dalam hidupnya. Terpenjara. Kosong. Terkunci rapat di sebalik kemewahan yang melimpah. Aku membacanya dalam hijab yang tidak terlihat oleh pandang mata.
Tapi mungkin saja aku yang tersilap membiarkan empati memandu arah.

Lalu perjalanan pulangku yang panjang memberi ruang untuk mindaku berbicara. Mungkin aku tidak dilahirkan untuk menjadi sanjungan terbaik bagi insan lain. Mungkin aku tidak ditakdirkan untuk mendamba bangga menjulang kejayaan. Tapi aku masih mampu tersenyum hari ini.. melihat dan mengecapi kesederhanaan yang ku miliki. Aku masih mampu ketawa seperti yang lain, masih mampu bergurau dan menangis seperti yang lain. Cuma mungkin tangis aku sedikit
berbeza dan guris yang tertinggal sedikit lainnya dari yang lain.

Aku tidak pernah meminta-minta. Segala yang kumiliki adalah dari jerih dan payah yang kulalui dengan daya ku sendiri. Sememangnya aku harus berbangga dengan diriku sendiri kerana segala yang tersirat berjalan seperti yang telah tersurat dalam perancangan-Nya...


..Subhanallah...
..Alhamdulillah...


Sunday, November 28, 2010

~ Tentang RaSa ~



Apa guna berpandang mata

Kalau tidak sampai ke hati

Apa guna berkias kata

Kalau kasih berbunga simpati.


Friday, November 26, 2010

~ Wajah MaLaM ~

Menatap wajah malam
ada cerita yang belum selesai
ada kata yang belum terungkai.

Dalam sunyi dan dingin
yang membalut segala rasa
tirai alam tersingkap
rahsia hati terbentan
g.

Getar yang mendebar dada
membawa cerita yang tak terungkap
membuka kisah yang tak terluah.

Antara sunyi yang dingin
dan hitam yang gelisah
ada hati yang tenang
menatap sinar bintang

memujuk sendu bulan
agar tidak menitis tangis
pada kasih yang hilang.


Friday, November 19, 2010

~ Bila tintaku berkata ~

Aku ingin menulis. Meluahkan segalanya dalam bait-bait kata tapi aku tidak tahu dari mana harus kumulakan aksara-aksara itu. Segalanya berjalan seperti yang telah tersurat dalam laluan takdir di bawah ketentuan-Nya. Dan segala yang tersirat adalah kehebatan-Nya yang tidak terjangkau oleh minda kecilku.

Apapun aku akur untuk terus berjalan pada laluan yang telah sedia terbentang di hadapanku. Tampak mudah dan lurus walau kadangkala berselang onak dan duri yang tidak terlihat oleh pandang mata. Sekali lagi aku akur.. tidak ada yang mudah walau untuk mengerdipkan sepasang mata. Segalanya dengan izin-Nya.. Subhanallah...

Hari ini aku membawa diri.. merenung kembali jalan-jalan yang pernah kulalui, menilai khilaf diri, meneliti cantuman-cantuman hidupku yang masih belum lengkap. Aku mencari di mana letaknya diri ini.. hari ini.. semalam dan hari depan yang belum pasti.

Aku bertatih sendirian, berjalan dan cuba berlari. Kemudian jatuh dan cuba bangun semula. Kuatur langkah satu demi satu. Segalanya kulakukan dan laluinya sendiri.

Sungguh.. seketika aku terkedu. Setabah itukah diriku..? Mendekati angka 14.. di perantauan. Sekuat itukah aku?

Tidak punya jurusan yang mampu dibanggakan oleh sesetengah orang.. aku masih boleh bernafas lega di kota ini. Syukurku pada-Nya di atas segala kurniaan dan nikmat yang tidak terbatas. Soal jodoh.. hari depan.. kuserahkan pada DIA yang lebih mengetahui. Usah lagi terus-terusan hujani aku dengan pertanyaan kerana aku tidak punya jawapannya.

Thursday, November 11, 2010

~ Hari iNi.. ~

Hari ini..
Genang mata seorang guru adalah tumpahan segala jerih dan kasih yang tergalas di bahu atas nama amanah dan tanggungjawab.

Hari ini..
Linang yang luruh di birai mata anak-anak itu adalah lukisan kemanisan sebuah kejayaan yang sering terlakar dalam laungan suara seorang guru.

Hari ini..
Seorang murid mengerti makna kasih yang tersulam dalam tiap amarah yang singgah lewat tutur bicara seorang guru.

Hari ini..
Seorang murid mula memahami erti ketegasan seorang guru bukanlah lontaran kebencian mahupun hukuman semata. Sebaliknya adalah tangan yang membimbing agar tidak terus rebah tanpa sokongan.


Sunday, October 31, 2010

~ Bila kata menjadi SuKaR ~

Satu ketika.. mengungkapkan kata-kata itu menjadi begitu sukar. Mungkin kerana ungkapan itu bercerminkan kebenaran, maka lukanya menjadi begitu dalam. Lalu pembohongan menjadi begitu mudah apabila soal hati dan rasa menjadi yang utama.

Akhirnya.. yang tinggal hanya ruang kosong. Di tengahnya hanya terisi satu jasad bernyawa tanpa sebarang rasa. Segalanya sepi. Bungkam. Hanya menunggu untuk digerakkan. Segalanya hanyalah kerana menjaga hati yang teramat rapuh agar tidak terus retak dan berkecai. Cukuplah calarnya amat menghukum segenap sudut jiwa.

Lalu apabila detiknya fikir mula bermuhasabah.. diri seakan mencari dan menemui kembali sebahagian diri yang telah lama hila
ng. Lantas kamar perdebatan ligat melontarkan hujah agar menatang dewasa dalam dunia nyata dengan penuh berhemah.


Monday, October 18, 2010

~ Nilaian CiNtA ~

Genggam dan dakaplah CiNtA itu
dekat dengan hati
dan rapat dengan jiwa
agar mampu difahami
nilai sebenar CiNtA itu.

Jangan biarkan ia jatuh
kerana

CiNtA untuk ditatang
bukan untuk diletakkan ke bawah..
CiNtA untuk dimengerti
bukan untuk dipuja
atau disanjung.

CiNtA
adalah perkongsian dua jiwa
untuk saling melengkap
i
dalam mencari kesempurnaan..
CiNtA Ilahi...