~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Friday, March 18, 2011

~ Yang TerPinjam ~


127 hours.. satu yang kupelajari daripada filem ini ialah apa juga matlamat yang ingin kita capai dalam hidup, perlu seiring doa, usaha dan semangat. Doa tanpa usaha takkan membawa kita ke mana-mana. Usaha tanpa semangat.. segalanya sia-sia. Yang pastinya, banyak yang terpinjam sebaik sahaja selesai menonton filem ini. Tentang kuasa mengawal, kuasa minda juga tentang ikhtiar hidup.

Garapan dan teknik yang menarik sepanjang penceritaan menyebabkan 1 jam 45 minit tidak terasa lama. Namun sedikit terkilan apabila pertengahan cerita sedikit terganggu dengan dengkur orang sebelah yang jaraknya selang dua kerusi.. ermm...


Sunday, March 13, 2011

~ Renung DiRi III ~

~ Ujian bukan sekadar menguji
ketabahan dan kekuatan hati
serta jiwa semata,
tapi ujian juga menguji
kekentalan iman serta kerapuhan peribadi.

Sesungguhnya..

cara kita berhadapan dan menangani
setiap ujian yang mendatang itu
akan membuka satu-persatu
hijab diri
untuk kita lebih mengenali
dan memahami
siapa kita sebenarnya... ~



Tuesday, March 8, 2011

~ ..kOsOng.. ~

Tika jam menunjukkan tepat 3.30 petang, aku tidak mahu jam itu terus berdetik. Kalaulah pilihan itu di tanganku.. biar saja aku lemas dan lelah dalam hal pekerjaan ini. Lebih ku rela daripada memikirkan pengakhiran kisah pada penghujung hari ini.

Aku ingin berlama di sini. Di tempat pekerjaan ini. Sesuatu yang tidak pernah aku fikirkan untuk lakukannya sebelum ini. Hatiku lebih tenang dalam kesibukan ini. Namun pilihan itu bukan di tanganku. Aku harus pulang. Pulang pada se
gala kekosongan yang sedia menanti.

Lalu aku memaksa diri memandu pulang dalam fikir yang melayang entah ke mana. Semakin hampir ke tempat yang ku tuju, semakin kekosongan memenuhi segenap ruang. Seketika.. aku benar-benar kehilangan arah. Ingin kuleraikan segala dalam titis yang luruh namun kebingungan semakin erat berdampingan.

Ya Allah.. bawalah hamba-Mu ini ke mana saja di bumi-Mu yang maha luas ini.. asalkan saja aku tidak perlu terus sendirian mengatur langkah. Aku pasrah.. dan kuredha. Hanya kasih-Mu yang kumiliki.

Sunday, March 6, 2011

~ Sandar yang PaTaH ~

Telah acapkali aku menyandar percaya pada yang dipanggil teman. Namun tiap kali itulah percaya itu menjadi lebur tak bernisan. Persahabatan itu menjadi perkuburan kaku tanpa sempat ditalkinkan.

Mungkin aku terlalu menggantung harap. Menyerah segala percaya dan beranggapan hanya dia teman yang aku punya. Sedang dia masih punya teman yang lain dan aku hanyalah antara yang singgah dalam hidupnya.


Mungkin juga kerana itulah.. apabila olah membuat onar dalam hubungan kami.. dia masih punya ruang lain untuk berkongsi cerita dan tawa. Dan aku.. hanya ada diriku.

Pernah aku mengintai-intai nombor-nombor yang masih dalam simpananku, untuk berkongsi sedikit cerita lama sambil meleraikan pintalan rindu.. mungkin. Namun segalanya hampa. Hanya nombor yang tertera.. hanya nombor.

Ternyata tanpa sedar aku melepaskan segala ikatan persahabatan yang pernah kumiliki hanya kerana aku percaya dan yakin.. bahu yang kusandarkan duka dan tawa selama ini tidak akan pernah meninggalkan aku. Benarkah...?

Kugenggam kejap telahanku agar tidak terlepaskan kerana aku tahu.. aku tidak punya kekuatan itu kalau benar saat itu tiba. Ya, kalau pun benar.. aku amat-amat berharap dan berdoa agar apabila tiba saat itu aku telah punya kekuatan untuk menyandarkan segala rasa pada bahuku sendiri. Amat-amat berharap....


Sunday, February 20, 2011

~ Mencuri RuAnG ~



Pulang dari tempat pekerjaan, terus sahaja dengan perancangan asal untuk menonton wayang. Moga waktu santai itu mampu memberi sedikit tenang tatkala rasa begitu menghimpit dengan urusan yang tak pernah usai. Tekanan demi tekanan yang seakan tidak akan pernah mahu berhenti, sudah cukup untuk semakin melunturkan seluruh jiwa.

Memilih genre seram bercampur komedi benar-benar menghilangkan segala yang berselirat dalam minda. Pertama kali menjerit tanpa sedar kerana melayan rasa terkejut yang tidak tersangka diselangi dengan ketawa yang tidak mampu ditahan-tahan lagi.. benar-benar melepaskan segalanya. Aku jadi lupa seketika pada segala yang menyesak dada.

Juga menonton filem ini membuatkan aku inginkannya lagi.. pada rasa yang aku tinggalkan setelah melangkah keluar dari tempat itu.. :)

Monday, February 14, 2011

~ Tazkiyatun Nafs1 -Jenis Hati- PUISI 2010 ~


Ya Allah..
kurniakanlah hati ini
agar erat menggenggam kasihMu
dengan cinta yang mendalam
dengan rindu yang tak bertepi
agar takkan sesekali berpaling
dari jalanMu yang satu
pada kasihMu Yang Maha Agung..

Friday, February 4, 2011

~ RaPuH... ~


Hari ini.. kebisuan yang telah lama aku diamkan akhirnya pecah di dada. Kusut yang bersimpul di jiwa, luruh dan tangis di hati. Meskipun mata ini tidak berkaca, namun tusukannya tepat mengenai seluruh raga. Aku terasa benar-benar keseorangan berselimutkan keriuhan yang berdendang di sekelilingku.

Tuhan.. payungkanlah aku dengan kekuatan agar aku tidak lemas dan tenggelam dalam ujian-Mu. Pandulah aku dengan nur-Mu agar aku tidak tersasar dalam terang. Sesungguhnya saat ini aku terasa amat rapuh.. sehinggakan sehembus nafas pun mungkin saja mampu membuatkan aku jatuh tersungkur...

Thursday, January 27, 2011

~ Tinta KaTa II ~

Hidup ini sering memberikan kita pilihan.

Namun adakalanya kita sering terlepas pandang,

lalu berpaling menghulurkan tangan

untuk menggenggam pilihan

yang bukan

milik

kita.


Wednesday, January 19, 2011

~ Tinta KaTa ~




Berkata
..
bila ianya perlu.

Diam..
kalau itu yang terbaik.




Sunday, January 9, 2011

~ Catatan PerTama.. 2011 ~

Telah lama tidak melakar tinta di sini. Terlalu banyak kekangan menyebabkan soal diri perlu diketepikan dahulu buat sementara waktu. Rasa.. minta bicara, namun galas tanggungjawab perlu diletakkan di tempat yang paling atas agar amanah tidak titis di pertengahan.

Lalu detik awal 2011 kubiarkan berlalu begitu sahaja sebagaimana penghujung detik-detik terakhir tahun lalu berlalu dalam sun
yi yang tidak berhujung. Aku kembali mencari warna diri dan mengintai ruang untuk sedaya mengumpul kekuatan agar tahun ini memberikan lebih makna.

Tuhan.. berikan aku kurniaMu agar bahagia itu mendekat..
agar aku tidak lagi menggantung harap pada dahan yang rapuh..

agar bahu yang kusandarkan duka tidak lagi menikam jiwaku dalam diam...


..amiin..