~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Friday, January 12, 2018

Catatan Rasa

 
 
  

Di bahu itu
tergalas segala rasa
jerihnya tika akal
ingin mendahului tindak
payahnya saat fikir
ingin menunjang kata
kerana insan sifatnya pelupa
lalu lupanya sentiasa menjadi teman. 

~ Qasih ~

Friday, May 19, 2017

~ Hari Ini ~

 
 
 
Hari ini
hari keraian
sebuah kelahiran. 

Hari ini
ada tangis dalam senyuman
merelakan sebuah pemergian.
 
Hari ini
segala rasa menjadi satu
panjatkan syukur
atas peluang yang diberi
kerana hari ini
hidup bermula dengan tangisan
dan tangisan jua
yang mengiringi sebuah kehilangan
yang bernama kematian. 
 
~ Qasih ~
( Catatan 19052017 )

 

Saturday, April 1, 2017

Saat Hati Dijentik..


Membaca coretan seorang teman.. tiba-tiba hati dijentik pilu. Tanpa sedar air mata mengalir tanpa sempat diseka lagi. Hati cukup mudah tersentuh membaca bait-baitnya. 

Lalu merenung di mana letak diri dalam laluan masa yang terlalu pantas berlari. Terasa aturan langkah itu terlalu perlahan dan diri telah jauh ditinggalkan. Setelah sepuluh tahun kembara di sini sendirian, seakan terkurung dalam perangkap masa. Rutin yang sama cuma penatnya berbeza. Tapi sampai bila...? Hati tak punya jawapannya.

Hari ini.. mungkin telah lama.. saat hati ini dijentik segalanya tampak berbeza dan hati ini merasainya.Pulang ke sana.. tiada lagi hingar ria seperti dulu. Tiada lagi leteran, bebelan. Semuanya telah dewasa dengan hidup masing-masing. Punya amanah yang perlu dikendong dan tanggungjawab yang perlu digalas. Terkadang rumah itu jadi terlalu sunyi. Kesunyian yang menggamit rindu pada suasana hingar dan riuh yang membingit.

Saat hati dijentik rindu
masa pantas berlari
sedang aku masih mengatur langkah
cuba memahami erti dewasa.

Saat hati dijentik pilu
masa berlalu seakan terhenti
sedang aku masih di sini
menghitung sunyi menganyam rindu
pada hingar dan riuh 
yang dulunya sering bertamu
kini berganti sepi menghias ruang.

~ Qasih ~