~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Monday, October 27, 2008

Aduhai.. wahai si kecil..


hari ini aku diam di situ.. memerhati tingkah si kecil pewaris bangsa. lekaku dengan pandangan yang kosong sebelum mataku berbicara dan hatiku berdetak.. apa akan jadi pada mereka.. lima atau sepuluh tahun lagi..? anak-anak itu yang kukenal, kurapati dan kumesrai setiap geraklaku dan tutur mereka.. membuat aku berfikir dan ingin sekali aku cuba mencari perbezaan di antara anak-anak itu dengan anak-anak di luar sana.

anak-anak itu yang kukenal dan kumesrai adalah si kecil yang tidak pernah mengenal erti susah dan payah yang bernama kehidupan. mereka dilahirkan dengan penuh kesenangan dan dilimpahi dengan segala kemewahan.

dengan begitu ramai anak kecil yang kutekuni setiap hari.. hanya tidak sampai separuh daripadanya adalah pewaris bangsaku sendiri.. dan hati kecil ini bagai direntap dan disentap oleh kekecewaan. memang benar bukan semuanya.. tapi yang segelintir itulah membuatkan fikirku bersoal jawab...

“Masih akan kukenalkah bangsaku yang bernama MELAYU sedekad yang mendatang?”

“Masih adakah yang bersemangat Tuah menghunus keris setia dan menjunjung ketuanan Melayu?”


atau


“Masih wujudkah lantang Jebat yang melaungkan amarah keadilan tanpa sedikit pun gentar di hati?”

segalanya.. tak ku punya jawapan...


kesalan yang terguris di hati adakalanya sukar untuk kupadamkan. betapa.. si kecil yang sewajarnya dihikayatkan dengan getir dan sukarnya perjuangan bangsa sendiri untuk utuh berdiri.. tenggelam dalam limpahan kemanjaan yang tak berpenghujung.. sehinggakan tidak mengerti untuk berdiri di atas kaki sendiri kerana segalanya telah siap tersedia tatkala mata dibuka.

aduhai.. wahai..
si kecil pewaris bangsa
bukan salahmu bermandi kemewahan
bukan silapmu dambakan kemanjaan.

aduhai.. wahai..
si kecil pewaris bangsa

moga takkan kau lontarkan kata

“ayah.. ku tak diajar..

bagaimana untuk kuteruskan hidup ini tanpamu..”

“ibu.. ku tak diajar..

bagaimana untuk bernafas tanpa dakapanmu..”
aduhai.. wahai...


Wednesday, October 22, 2008

Kehilangan

Pagi itu tika bangunnya membuka jendela hayat
dia tergamam sendiri menyelak tabir kehidupan
kian lusuh dimamah waktu dan terdiam sendiri
dia membilang sepi yang lama bertafakur.

Di situ dia kembali pada diri lalu membelai
seluruh kamar dan ranjang tidurnya
dengan mata sayu yang telah terlalu letih
memandang gerak dan tingkah
yang bernama kemanusiaan.

Lalu dengan langkah separuh lelah
dia kembali pada meja fikirnya
seperti pagi-pagi sebelumnya
petang dan malam sebelumnya
dan hari-hari sebelumnya
berbicara pada hati, rasa dan diri
pada teman yang tak pernah bersuara
tapi tetap memegang setia pada janji
segala rasa.

Namun pagi itu
adalah pagi yang baru dalam hidupnya
kerana pagi itu dia tidak lagi berbicara
pada teman yang setia dan tidak lagi
mengunjungi meja fikirnya
kerana dia telah kehilangan kata-kata
untuk terus bercerita.


Tuesday, October 14, 2008

Masih Ada Rindu...


hari ini aku menyusuri kembali laluan kenangan di tempat yang pernah aku tinggalkan dulu. seakan baru semalam kaki ini melangkah pergi dari situ. segalanya masih kelihatan sama... cuma dengan wajah yang baru.

kupandang sekeliling bagai ingin merakam kembali setiap kenangan yang ada di situ. rupanya... di situ masih ada rindu.. masih ada kasih dan masih ada sayang yang mendalam di situ. ingin sekali aku kembali ke situ dan mengulangi semula segala yang telah aku tinggalkan.

ketika aku mengira kembali tiap detik yang telah kutinggalkan jauh di dinding kenangan yang telah terpahat di setiap penjuru tempat itu... tiba-tiba sebaris kata-kata yang sering kudengar bermain di minda...

“untuk apa dikenang perkara yang telah berlalu...?”

“kenapa ingin mengulang kembali apa yang telah ditinggalkan? bukankah apa yang ada hari ini sudah lebih baik?”

aku mengeluh sendiri dan bertanya diri... salahkah untuk kembali semula ke pangkal jalan kalau itu mampu menjadikan kita manusia yang lebih baik dari hari ini? salahkah untuk mengenang kembali hari-hari semalam yang telah ditinggalkan... kalau ianya meninggalkan seribu satu kemanisan yang mampu mengundang senyum di hati?

ya.. serasa aku ingin kembali ke situ sekali lagi. empat tahun membina kenangan dan mengumpul pengalaman menjadikan aku sukar untuk melupakan tempat itu. di situ aku kenal erti manusia dan kemanusiaan. di situ aku kenal tingkah dan laku manusia.

hakikatnya.. tempat itu banyak mengajar aku menjadi manusia yang sebenarnya manusia. manusia yang penuh dengan rasa kemaafan... penuh dengan rasa amarah jua penuh dengan rasa kesedaran dan insaf diri.

di situ.. aku kenal diri.. kenal hati.. kenal rasa juga kenal jiwa. banyak kali atau lebih tepat seringkali aku berdepan dengan kepuraan manusia menjadikan aku berpijak pada nyata. pernah aku berdepan dengan manusia yang menjadikan pangkat dan wang ringgit sebagai nilaian rasa hormat. juga bukan sekali dua aku bertemu dengan kesantunan Melayu yang kian pudar.

walau apa sekalipun... tempat itu banyak mengajar aku mengenal manusia dan kemanusiaan. dan tatkala aku kembali ke situ untuk kesekian kalinya.. dapat kurasakan.. masih ada rindu di situ. rindu yang mengajar aku mentafsir makna hidup ini dalam ruangnya sendiri... yang tidak kutemui dari mana-mana naskhah yang kemas tersusun di tempatnya.

Wednesday, October 8, 2008

Dunia dan Isinya


Beralah bukan semestinya kalah
menang tak semestinya juara
umpama tangis dan tawa
ada titis yang luruh mencalar jiwa
ada titis yang jatuh menjemput bahagia
umpama tawa terukir membawa madu
ada masanya membawa hempedu.

Inilah dunia dan ceritanya
inilah kehidupan dengan tingkahnya
seringnya mendamba pada yang jahil
meminta pada yang bakhil.

Aduhai..
dunia dan isinya
ibarat si buta mengaku celik
ibarat mengadu pada si pekak
si bisu melaungkan amarah keadilan
sedang yang celik - melihat, mendengar
namun terkunci hatinya
tertutup mulutnya
tenggelam bersama
laungan suara kepalsuan
sedang kebenaran, keadilan
terus buta, pekak dan bisu.

Monday, September 29, 2008

Buatmu Yang Bergelar SAHABAT..

Di sini tiada getar suara yang bertingkah memeriahkan suasana. Hanya getar rasa yang bermukim jauh di sudut hati yang paling dalam.. disentuh dan tersentuh oleh lirikan tinta yang bisu. Di sini tatkala tinta bermadah kata.. Qasih persembahkan buatmu yang bergelar sahabat.. biarpun bicara dan senda kita hanya di maya ini.. amat Qasih hargai.. lalu terimalah...


( Buat semua yang sudi berkunjung ke teratak kecil Qasih... TERIMA KASIH daripada Qasih buat semua. Dan sudikanlah terima pemberian kecil ini daripada Qasih.. SALAM DI AIDIL FITRI BUATMU SAHABAT )

Monday, September 22, 2008

Hatiku tersentuh lagi...

kubuka mata yang terpejam. cuba mencari seraut wajah itu. wajah yang kudambakan sekian lama. wajah yang kurindukan berkurun lama.

di situ kulihat wajah itu. wajah yang kuinginkan mengisi segenap ruang yang sarat dengan rindu yang tertahan. kurenung wajah yang mendamaikan itu tapi hanya seketika. pantas.. waras menyedarkan aku. wajah di depanku ini bukanlah wajah yang ingin kusentuh kasihnya. hanya iras yang sama... tapi mataku tetap pada wajah itu seakan aku melihat dia berada di depanku.

sesaat hati rasa disentuh. mata kian kabur dan... rindu yang tak tertahan akhirnya gugur jua.. rintik di jari. entah mengapa.. rasa mengajak pilu lalu mengundang sebak yang bertandang.

walaupun bukan dia di depanku namun pandangan ini bagai terkaku di situ. sesungguhnya aku merindui saat-saat itu...

setiap kali aku pulang... dia satu-satunya yang setia menunggu. seawal subuh, dia telah siap sedia menantikan kepulanganku. perhatiannya itu cukup membuatkan aku terharu. tutur dalam bicaranya yang masih kuingat... hadir aku dinanti tanpa sabar kerana hanya aku satu-satunya yang cukup betah melayan kerenahnya.

aku yang begitu payah untuk menitiskan air mata akhirnya tewas jua. ujaran kata-kata yang kudengar itu tanpa sedar telah melembutkan hatiku yang sekeras batu.

tiba-tiba lamunanku terhenti membawa aku ke alam sedar. kembali kucari wajah itu. kurenung dari atas ke bawah sambil fikirku ligat berbicara. kalau tidak dihitung kesabaran, ingin saja aku mendekati wajah di depanku itu untukku luahkan segala persoalan yang bermain di mindaku saat ini.

“atuk nak ke mana?”

“atuk seorang saja?”

“atuk tinggal dengan siapa?”

“kenapa atuk jalan seorang diri?”

rupanya dalam sedar yang berbeka di hati, aku mengeluh sendiri bila mengenang sikap segelintir manusia yang cukup miskin kasih di hati. mungkin aku yang dibesarkan dengan kasih sayang seorang datuk dan nenek begitu mudah tersentuh hatiku bila melihat seorang tua berjalan sendirian membawa nasib diri. pantas fikirku membayangkan dia yang kusayang berjalan sendirian di kota besar ini.. tanpa ditemani. lalu hatiku tersentuh lagi....


( Hari ini genaplah 5 tahun Tok Wan pergi.. serasa baru semalam suaranya menyapa telingaku.. senyumnya menghias pandangku. hati ini rindu.. terlalu rindu dan akan tetap rindukan hari-hari semalam.. cerita tentang seorang cucu dan datuk... Al-Fatihah buat Tok Wan... )

Thursday, September 18, 2008

cInTa


cInTa
bukan untuk dikejar
juga bukan untuk dicari...


cInTa
juga tidak mengejar
dan tidak mencari...


Bila ada getar di hati
di situlah ada cInTa
yang telah tertulis sejak azali...

Saturday, September 13, 2008

Satu Ketika.. Kukorbankan Segala

seketika fikiran ini melayang jauh ke satu masa yang silam. seperti hanya jasad yang bersimpuh di sini sedang minda dan hayalku telah kembali mengutip tiap langkah yang kuatur pada hari-hari semalam yang telah kutinggalkan.. yang kenangannya cuma berbayang di minda. terkadang hilang.. terkadang jerihnya mengusik ketenangan hari ini.

masih kuingat..
satu ketika...

tidak pernah terfikir di benakku.. tentang perancangan hari ini apalagi untuk merancang hari esok. aku seakan tenggelam dalam ruang yang terbatas, lemas dalam arus kesibukan yang tak pernah surut. Hidupku, mindaku dan jasadku pada saat itu hanya satu...kerja. aku dambakan segalanya pada kerja sehingga aku lupa betapa indahnya sinar mentari kerana pulangku sering bertemankan sinar rembulan. terkadang pulangku diiringi titisan embun pertama yang menyentuh bumi.

kuserahkan segala pada yang bernama kerja. seringnya diri ini dihujani dengan leteran kerana aku cukup tidak betah berlama-lama bergurau-senda bersama keluarga. di benakku saat itu hanya satu... kerja harus ku utamakan.

aku bagai lupa dunia sekelilingku. duniaku hanya teman-teman sekerja, beberapa blok bangunan yang wajib kujelajahi setiap hari, juga timbunan ratusan puluhan kerja yang menuntut tarikh akhir di luar logik akal manusia biasa. segalanya kulakukan dengan penuh minat dan tanggungjawab. tiada gaji tambahan... kukorbankan segala... cuti hujung minggu juga waktu santai dan lenaku.

ya, aku lepaskan segala yang dipanggil kehidupan. aku lupa bagaimana untuk menikmati hidup ini sebenarnya.. sewajarnya...

sehinggalah..
pada satu ketika...

sedang aku dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, memandu dengan minda yang kosong sambil membuang pandangku ke jalan yang bertali arus... membawa aku ke alam sedar untuk aku menyoal diri.. kembali...

sehingga bila
harus kukorbankan setiap detik yang bermakna bagi sebuah kehidupan
hanya untuk memenuhi tuntutan kerja?

sehingga bila
harus ku berjaga walau dalam lena
hanya untuk ku abaikan kepentingan sendiri?

lalu kupanjatkan kesyukuran pada Ilahi kerana aku belum terlewat untuk menyedari bahawa hidup ini terlalu indah untuk dipersiakan.. terlalu manis untuk dilupakan dan terlalu bermakna untuk dibiarkan.. kerana sesungguhnya hidup ini satu anugerah yang tak ternilai!

Friday, September 5, 2008

HIJRAH


Gugus-gugus seroja yang gugur
dengan renjisan air di kali
seringnya melayarkan seribu rindu
dalam detik-detik terakhir
di saat kecundangnya
nafas keegoan
dalam dakapan
keinsafan
dan
hangatnya
rangkulan kesedaran
dibelai jemari tulus
yang rintik di pipi mulus
lalu membuahkan nekad yang rimbun
di taman impian yang satu
Hijrah!

Tuesday, September 2, 2008

KalauLAH...


satu hari yang membosankan! banyak yang ingin dilakukan tapi segalanya tertinggal begitu saja. terlalu banyak yang bermain di minda tapi segala bagaikan terpenjara di sini. tiada jalan keluar. sebagai gantinya... kebosanan yang beraja di minda dan akal.

huh.. kalaulah... satu kata yang sinonim dengan bibir dan hati manusia. sikit tak banyak.. kita sebenarnya tak boleh hidup tanpa perkataan KALAU. satu kata yang punya pengaruh buat manusia untuk menyulam rasa kesal, ketidakpuasan hati dan apa jua tafsiran, anggapan dan tanggapan negatif yang ingin kita putar balikkan menjadi seperti apa yang kita harapkan. merealitikan mimpi dan memfantasikan realiti dalam jaga dan sedar.

kalaulah semalam adalah hari ini
akan kuhentikan masa
agar rasa bahagia itu
tetap kekal selamanya.

kalau hari ini adalah semalam
akan kuputarkan kembali masa
agar hari ini bukan satu kekesalan
dan hari ini akan jadi milikku.

kalaulah.. kalaulah..
kalaulah KALAU itu tidak pernah wujud
pastinya manusia akan tahu nilainya
sebuah kesyukuran..
pastinya manusia akan faham ertinya
betapa manisnya detak detik setiap ujian.