Hati bagai diruntun. Begitu mudah tersentuh walau oleh perkara yang sebegitu kecil. Mungkin juga benar tutur orang.. ranjau dan onak dalam meniti perjalanan usia akan menjadikan hati seorang manusia itu, begitu senang mendekati keperitan insan lain. Namun hati itu juga kadangkala mampu menjadi sekeras batu apabila persoalan hidup menguji diri.
Soal hati adalah persoalan yang amat sukar untuk dimengerti. Walau kadangkala nampak mudah tapi sebenarnya amat payah untuk dirungkai.
Disebabkan soal hati juga rajuk semakin mengambil tempat. Walaupun pertimbangan akal tidak mahu saling menyalahkan, namun pendam yang telah terlalu lama memerhati dalam diam seakan sudah hilang sabarnya.
Entah pada bahu siapa mahu digalaskan rasa bersalah itu.. pada hakikat tidak ada manusia yang sempurna tapi semakin didiamkan, pendam itu semakin parah dan terluka.
No comments:
Post a Comment