~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Saturday, March 13, 2021

Dan Aku Memilih Jebat


 Aku memilih Jebat 
bukan kerana setia kawannya
jauh sekali menjunjung durhakanya.


Kupilih dia kerana celik akalnya
melihat - membaca hakikat
melangkaui masa dan juga zaman.


Jebat melihat
setia itu tiada bermata
menjemput sesal ke hujung renta
adil itu bergalang khianat
maka kebenaran kian tenat.


Jebat bertingkah
bukan niat menghambur amarah
tiada mahu bermandi darah
hanya pinta ditunjuk arah
agar sejarah tak lagi merah.


Dan aku
tetap memilih Jebat
bukan durhakanya kujunjung julang
tapi semangatnya yang tak gentar berjuang
biarpun tegaknya hanya seorang
namun rebahnya tak bererti kecundang.

...

~ Az Aziz ~

No comments: