~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Thursday, February 11, 2010

Anugerah-Nya..

Subhanallah..
indahnya anugerah Tuhan pada hamba-Nya.
Tenang mata memandang setenang hati merasai...



Tuesday, February 2, 2010

DoA

Ya Allah Ya Tuhanku
kiranya ilmu yang kuberikan
kepada anak-anak didikku
adalah lahir dengan penuh keikhlasan
maka penuhilah dada mereka dengan ilmu
yang telah Engkau perkenankan.


Ya Allah Ya Tuhanku
kiranya pengorbanan masa
yang telah kuluangkan
adalah tulus kerana-Mu
maka berkatilah pengorbanan ini.


Ya Allah Ya Tuhanku
kerana sesungguhnya
Engkau yang Maha Mengetahui
maka permudahkanlah hamba-Mu ini
dalam mendidik dan membimbing mereka
ke arah nur-Mu yang satu.


Doa.. hanya itu yang termampu kuhadiahkan kepada mereka sebagai tanda kasihku dalam getar dan debar yang makin kuat menghuni tatkala memandang satu-persatu wajah-wajah polos di hadapanku. Sesungguhnya mereka belum mengenal mainan dunia. Mereka belum menjamah helah dan muslihat dunia yang tidak pernah mengenal erti kasihan. Mereka masih kecil dalam hijau yang masih segar.

Terkadang aku tertanya sendiri mengenang telatah mereka. Hati yang seharusnya putih dan belum tercalar tapi di mana silapnya. Terkadang agak sukar untuk dibentuk. Rona anak-anak sekarang yang tertitik hitam dalam hijaunya yang masih mentah. Salah siapakah? Masih aku tercari jawabnya dalam diam.. memerhati, menilai dan terus menekuni setiap tingkah dan laku mereka.

Saturday, January 16, 2010

Sejarah dan Hikayatnya

Semalam sejarah berhikayat
jatuh rebah seorang pejuang
semalam sejarah bercerita
tersungkur parah
yang bernama wira.

Hari ini sejarah jua berkata
bercerita tentang perjuangan
berbicara tentang kemenangan

tapi bicara sejarah hari ini
bukan lagi bicara pejuang
bukan lagi bicara
yang bergelar wira.


Benar!
Sejarah tetap bernama sejarah
walau bicaranya berbeza kini
sejarah tetap sejarah
walau yang bernama perjuangan
bukan lagi berjuang
di atas nama sebuah perjuanga
n
kerana zaman mendahului zaman
telah bermadah berkias seadanya
Jebat disanjung, derhakanya bukan ukuran
setianya Tuah bukan bayaran seorang wira
kerana setianya yang buta
membangkitkan suara perjuangan
kerana setianya juga
membunuh langkah seorang wira.

Benarlah!
Sejarah tetap sejarah
walau lagunya berbeza kini
namun terhimpun di dalamn
ya
cerita yang sama
hikayat yang
sama
hanya rentak berbeza.



Friday, January 8, 2010

Semoga Berbahagia.. Adinda

Doa Kakanda.. Semoga berbahagia Adinda..



Sirih junjung sirih beradat
Dititip dengan bunga melati

Majlis dimula penuh istiadat

Menyambung kasih dua sejoli




Mahligai bahagia impian bersama
Sehati sejiwa menjalin kasih

Lafaz diucap janji diterima

Dua hati diikat kasih



Sekacip madah seulas kata
Buat ingatan teruna dan dara

Bila hati seia sekata

Mahligai bahagia tuju bersama




Bersama Ayahanda dan Bonda





Di taman indah puteri dilamar
Cincin di jari sebagai tanda
Direnjis-renjis si air mawar
Mohon restu ayah dan bonda



Sungguh si nuri bersuara merdu
Hinggap di dahan di malam hari
Bila hati berlagu rindu
Itu tandanya cinta bersemi



Mahligai bahagia impian diri
Seia sekata tidak kan mungkir
Doa dimohon restu diberi
Moga bahagia hingga ke akhir




Tuesday, January 5, 2010

Diari Hati Seorang KEKASIH

Bersamamu ingin ku ungkapkan sayang
namun tak terdaya untuk kulafazkan
di sisimu ingin kubelai wajah mesra
namun tangan ini terantai erat
lalu bagaimanakah harus ku nyatakan
pada hatimu dan rasamu
aku hanyalah seorang perindu

menghitung rindu di birai waktu.

Andainya lekaku membiarkan sangsi
sesekali menyisih keyakinan ke tepian
lalu membiarkan kolam pilu melimpahkan
serumpun tangis di perdu resah
maafkanlah...

Andainya bicaraku menghiris se
mbilu
di lembut kasihmu yang tak ternilai
nilaiannya
lalu terkadang dengan sedar yang
bukan
sekadar hayalan
goresan luka di hatimu kutitiskan
dengan pedih sebuah janji
yang tak termampu untuk kugenggam
maafkanlah...

Kiranya kasihku hanya bermadah sayang
cuma bertinta rindu
tapi berbingkai perpisahan
maafkanlah..
kerana sesungguhnya
bukan niat sekadar menghir
is rasa
bukan kata sekadar menabur janji
dan bukan bicara sekadar menyulam harap.

Di sini kerana segalanya sesungguhnya
dalam rela yang resah
dan dalam keterpaksaan yang payah
pasrah meminggirkan sebuah pertemuan
parah memenjarakan rindu yang tertangguh
hanya kerana segalanya
bukanlah di tangan kita untuk membina
fantasi sebuah mimpi
di dunia realiti.

Satu yang nyata

kasih ini
bukan sekadar indah ilusi
kerana derita dan pedihnya
adalah kasih yang indah
nilaiannya adalah luhur sebuah hati.


Catatan : 29 Julai 2001

Saturday, January 2, 2010

Bicara Sepertiga Malam

Membilang hari-hari semalam.. banyak kenangan yang tertinggal dalam laluan masa. Terkadang tanpa sengaja tak terakam oleh ingatan. Lalu yang tinggal hanya detik kosong yang terkurung dalam memori.

Betapa hidup ini terlalu singkat untuk dikeluhkan dalam simpang-siur kehidupan yang terlalu panjang untuk difikirkan. Hingga terkadang tidak sedar.. masa berlari pergi membawa segala. Dalam sekelipan mata dan seperti sehembus nafas.. setiap langkah hidup yang kita atur dalam separuh kehidupan rupanya tertinggal di belakang begitu sahaja. Tanpa sebarang catatan pada diari hayat yang telah lama tidak tersentuh.

Betapa masa begitu pantas berlari dan kita menjadi begitu lel
ah mengejar. Lalu bila sesekali lena malam terusik oleh sunyi sepertiga malam.. sedar datang mengetuk pintu muhasabah. Tuhanku.. betapa kelalaian itu tidak pernah terlupa untuk mendampingi. Dan betapa sunyi yang berbicara di sepertiga malam ini telah membuka hijab diri satu-persatu.

Wednesday, December 23, 2009

Kota Yang Mati

Mungkinkah
kota itu menjadi kota mati
yang dulunya pernah hidup
di atas ruang-ruang kesedaran
berpacakkan nisan-nisan penjajahan.

Mungkinkah
saat gagak-gagak hitam bertebaran
kota itu sedang berkabung
di atas sebuah kematian

lalu sepasang merpati putih
berterbangan mengkhabarkan berita
dan hujan pun singgah
membasuh lumpur yang terpalit
dan mungkinkah
kota itu akan hidup kembali
dengan nafas baru
mungkinkah...?


Friday, December 18, 2009

.. yang tidak pernah lupa ..





Membelek helaian majalah yang telah usang dalam simpanan bagai mengulang tayang setiap lembaran sejarah. Rupanya dalam sedar yang lena, sejarah tidak pernah meninggalkan kita. Hanya kita yang sering melupakannya. Aduhai....


Monday, December 14, 2009

Mengurung Detik

Ada saatnya
apabila kata menjadi cukup sukar
untuk mengungkapkan apa yang bermain di minda
...
lalu dirakamkan dalam detik-detik bermakna
yang mungkin hanya difahami
apabila hati mula berbicara...








Wednesday, December 9, 2009

Membilang Janji

Beberapa hari melarikan diri jauh dari kota yang penuh cerita. Berkira akan bertemu sedikit tenang di sana tapi rupanya sangka yang tidak bertemu hujung. Terantai dalam kalut yang lelah membuat diri terlupa untuk mencuri sedikit tenang di sana. Ditambah dengan denyut yang makin menggila pinta rehat yang tidak pernah sempurna.

Tidak sempat untuk berfikir. Malah makin lelah dalam janji tanggungjawab yang tidak rasmi. Pada saat-saat akhir masih tetap berukir kata untuk penuhi jan
ji yang telah dibuat. Janji yang membelit diri hingga lena terpaksa dilupakan lewat jam dua pagi.

Selesai segala.. syukur pada-Mu di atas kelancaran yang telah diberi. Biarpun ada kalut yang mungkin tidak disedari. Lalu tika jam menghampiri detik 12 malam.. kulenyapkan diri dari kemeriahan yang sedang bersinar bila mata kian memberat dan denyut makin menguasai.

Dua hari terakhir di sana.. cuba mencari sedikit tenang di rumah ayahanda yang hampir kulupa bila kali terakhir kulelapkan mata di singgahan itu. Bersantai di sana seadanya. Mengurung tenang dengan denyut yang seakan tidak mahu menjauh sambil membila
ng janji yang belum terlangsai untuk adinda bongsu. Janjiku.. sedaya mampu untuk kukarang bait-bait pantun indah menghiasi hari persandingannya nanti.

..Dan saat malam tika langkah kuatur untuk kembali ke sini.. ada titis yang cuba kusembunyikan di kolam mata lantaran untuk pertama kalinya aku tidak berkesempatan bersua salam dengan nenda tersayang sebelum kembali ke sini. Lalu perjalananku malam itu amat dingin, sepi dan kosong dalam tangis yang luruh di hati.

Catatan : 8 Disember 2009