~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Monday, October 24, 2011

~ MeNiLai... ~

Sering melihat tuah orang lalu hati berkata, “Ah, untungnya mereka.. bertuahnya dia!”

Namun diri tidak pernah menilai atau melihat betapa bertuahnya diri sendiri. Sering terlupa untuk merenung apa yang telah dimiliki kerana kerap melihat dan membilang apa yang tiada. Segalanya seakan menjauhkan rasa syukur dek kealpaan yang kian mendekat.

Melihat orang lain membina bahagia, hati bagai sangsi dengan kebahagiaan sendiri. Malah mengharapkan agar kebahagiaan orang akan menjadi kebahagiaan kita, hinggalah pada suatu masa kita diuji dengan ujian yang tidak terduga. Pantas kita menyalahkan takdir, menjadikan keadaan sekeliling sebagai alasan. Ah, dangkalnya jiwa, rapuhnya iman!

Sunday, October 23, 2011

~ Memilih untuk Memilih ~

Kita sentiasa punya pilihan. Sama ada pilihan kita adalah untuk tidak memilih atau sebaliknya. Ianya tetap satu pilihan. Dan aku memilih untuk memilih dengan meletakkan tawakal dan tekad sebagai arah agar tidak tersasar. Juga mengharapkan agar sesal tidak menghambat di kemudian hari. Namun segalanya hanya DIA yang Maha Mengetahui.

Telah lama kucari kekuatan untuk meletakkan langkah setapak ke hadapan. Ternyata tidak senang untuk membuat kata putus apalagi menyimpulnya erat. Adakalanya yang biasa itu telah menjadi terlalu biasa seakan sebati dengan diri dan penghidupan.

Disebabkan yang biasa itu juga, kita sering memilih untuk tidak berubah, tetap dan setia pada yang sedia ada. Walaupun ada masa-masanya kita sendiri tidak pasti.. itukah yang dinamakan kesetiaan atau itukah yang digelar ketakutan?

Apa sekalipun, selagi kita bergelar manusia kita sentiasa punya pilihan. Memilih pada pekatnya hitam atau putihnya cahaya. Namun apa yang sering kita terlupa.. yang putih juga kadangkala mampu menyilaukan dan yang hitam itu tidak semuanya menyesakkan.

Apa yang nyata, dalam hidup ini setiap satunya ada baik dan buruknya. Pada akhirnya, segalanya terpulang pada diri dan hati kita sendiri kerana pandangan kita akan berbalik kepada diri sendiri.

Saturday, September 24, 2011

~ RiNdU... ~

Tiba-tiba aku jadi rindu.. teramat rindu dengan kehidupan semalam yang telah lama berlalu. Aku rindukan kesibukan itu. Rindukan teman-teman lama yang dulunya tidak pernah mengenal erti penat.

Benar.. kesibukan itu membuatkan hidup ini terisi. Tidak perlu mengundang fikiran-fikiran lain yang merimaskan. Hakikatnya.. aku merindui kehidupan dulu yang penuh dengan kesibukan, kepenatan dan segala. Hidup tidak pernah terasa kosong kerana sentiasa terisi. Tidak juga pernah terasa sunyi kerana sering di kelilingi teman-teman yang mampu membuat tawa.

Namun itu cerita dulu.. cerita lama yang akan sentiasa tersimpan utuh dalam ingatan. Hari semalam yang hanya mampu dikenang tika kesunyian menghimpit.. kerinduan mencengkam.

Kini.. segalanya berbeza. Yang tertinggal hanya kenangan. Tatkala melihat teman-teman membina bahagia.. fahamlah hati, mengertilah rindu. Mereka telah memilih untuk bahagia. Mereka telah memilih untuk membuka satu ruang dalam hati mereka untuk yang bernama bahagia.

Dan aku.. aku masih mencari bahagia itu. Tapi mungkin saja aku seringkali mencari bahagia di tempat yang salah. Namun tetap kuyakini bahawa DIA telah menyediakan bahagia itu buatku di suatu tempat dan di suatu masa yang telah DIA janjikan pada hambaNya yang redha...

Thursday, September 22, 2011

~ Soal HaTi ~

Hati bagai diruntun. Begitu mudah tersentuh walau oleh perkara yang sebegitu kecil. Mungkin juga benar tutur orang.. ranjau dan onak dalam meniti perjalanan usia akan menjadikan hati seorang manusia itu, begitu senang mendekati keperitan insan lain. Namun hati itu juga kadangkala mampu menjadi sekeras batu apabila persoalan hidup menguji diri.

Soal hati adalah persoalan yang amat sukar untuk dimengerti. Walau kadangkala nampak mudah tapi sebenarnya amat payah untuk dirung
kai.

Disebabkan soal hati juga rajuk semakin mengambil tempat. Walaupun pertimbangan akal tidak mahu saling menyalahkan, namun pendam yang telah terlalu lama memerhati dalam diam seakan sudah hilang sabarnya.

Entah pada bahu siapa mahu digalaskan rasa bersalah itu.. pada hakikat tidak ada manusia yang sempurna tapi semakin didiamkan, pendam itu semakin parah dan terluka.



Monday, August 29, 2011

~ Penghujung Ramadan 1432H ~

Penghujung Ramadan ini
pada sahur yang terakhir
ada pilu mengetuk rasa
rindu menyentuh sukma
tangis merintih sendu.

Pada penghujung ini
membawa seribu erti
dalam redupnya..
menyentuh setiap hati
yang sentiasa merindui
ingin mendakapnya lagi
dengan penuh kerinduan.


Sunday, August 14, 2011

~ Sesungguhnya DIA Maha Mengetahui ~

DIA Maha Mengetahui
walau dalam ruang hati yang paling dalam
walau dalam sepi yang paling sunyi
walau dalam kebisuan yang tak terluah.

DIA lebih mengetahui
yang tersimpan di hati
yang bergetar pada rasa

dalam hitam yang tersembunyi
atau putih yang terselindung
dalam tiap titis embun
atau deru ombak
yang membelah lautan.

Sesungguhnya..
DIA amat mengetahui
segala yang tertinta di minda
segala yang terdetik di hati
biarpun belum terucap
walau pada sehembus nafas.


Subhanallah...


Sunday, July 24, 2011

~ IrOni yang TerTULIS ~

Kalut yang mengejar perjalanan hari memaksa aku melupakan seketika tempat ini.. tempat aku mencurahkan segala rasa. Terpaksa kutolak segalanya ke tepi kerana masih ada amanah yang perlu ditatang erat.

Semakin hari mendekat, kian debar mendebur menghempas tanpa henti. Ah, mungkin inilah satu-satunya perasaan yang tidak akan pernah lekang apalagi menjauh pada insan yang bergelar guru. Saat masa kian menghambat, hati setiap insan yang bergelar guru menjadi tidak keruan.. anak didik masih santai menggoyang leka.

Ah.. di mana silapnya..? Didikan seorang guru atau asuhan seorang ibu dan ayah? Sering yang terjadi.. kiranya kejayaan yang terjulang, bukanlah kerana kegigihan insan yang bergelar guru. Namun kalau kegagalan yang terhitung.. segalanya tergalas di bahu seorang guru.

Namun, apa sekalipun tanggapan.. hati seorang guru tidak akan pernah membiarkan anak-anak didiknya mendekat sesal. Tidak akan dibiarkan walaupun setitik air mata kegagalan titis di pipi mereka. Biarpun tanpa sebarang penghargaan mahupun ucapan terima kasih.. tidak akan sekali-kali seorang guru itu akan membiarkan kegagalan mendekat pada wajah-wajah itu.

Friday, July 8, 2011

~ Sesungguhnya... ~


~ Sesungguhnya.. saat DIA tidak memberikan apa yang kita pinta.. DIA sebenarnya telah menyediakan yang terbaik untuk kita. Yakinlah, kerana tidak ada perancang yang lebih baik melainkan DIA yang Maha Mengetahui segala yang tersurat mahupun yang tersirat... ~



Monday, June 27, 2011

~ Titis TiNtA ~

Telah agak lama kubiarkan teratak ini sepi tidak berkalam. Seakan hilang dalam sunyi yang panjang. Tenggelam dalam lara yang paling dalam. Sungguh.. segala seakan terhenti bukan hanya untuk sesaat dan tidak pula tertitik pada mana-mana noktah.

Teratak ini kutinggalkan seketika. Cuba kutarikan rentaknya di luar sana. Cuba kulestarikan setiap mimpi agar nyatanya tidak lagi sekadar igauan. Lalu kususun langkah ini satu-persatu menemani setiap jalan kehidupan yang kulalui. Terkadang keliru menyapa. Aku jadi gamam sendiri.

Aku hanya punya tanganku sendiri untuk kugenggam erat. Hanya bahuku sendiri untuk kualirkan segala resah. Dan aku hanya ada diriku untuk kusandarkan rebah. Hanya diriku...

Kubiarkan laluan hari berjalan pada jalannya. Kulihat segalanya berubah dan masa terus berdetik. Aku tidak tahu di mana akhirnya perjalananku ini. Siapa yang akan terus menemani langkahku.. tidak ku punya jawapannya walau pada bayangan sekalipun.

Namun, satu yang kupasti.. aku tidak pernah sendirian selagi kugenggam erat kasih-Nya dalam kasihku kerana DIA tidak pernah meninggalkan aku sendirian walaupun sesaat.

Mungkin dalam hidup ini, banyak yang kupinta daripada-Nya tapi tidak semua menjadi milikku kerana sesungguhnya DIA telah menyediakan yang terbaik untukku.

Dan sungguh.. aku meyakini itu sebagaimana yakinnya aku pada cinta dan kasih-Nya yang tidak pernah berpaling dariku. Terkadang aku terlupa tapi DIA tidak pernah melupakan diriku.. Subhanallah...


Tuesday, June 7, 2011

~ Terkongsi RaSa ~

Bermalas-malas bersama si kecil milik saudara sepupu menggamit tenang yang menyenangkan. Rengek si kecil dan nakal yang tak terkejar benar-benar menghiburkan sambil mendengar leter si umi yang keletihan melayan kerenah empat puteri.

Bercerita tentang saudara sepupu yang lain menjadikan kami.. jauh yang dekat. Walau di mana antara kami berada namun cerita-cerita yang tersampai seakan kami tidak pernah berjauhan. Itulah nilai kekeluargaan yang mendekatkan kami sebenarnya. Masing-masing dengan cerita yang terkongsi pada rasa yang sama. Pada akhirnya, segala berputar tentang kehidupan.

Hidup ini terlalu pantas berlari dalam putaran masa sehingga kadangkala tidak terkejar. Kita sering bercerita tentang kebahagiaan orang lain sehingga kita hampir terlupa tentang kebahagian sendiri. Kita simpati pada derita insan lain hingga kadang-kadang kita lupa yang kita juga mampu dan pernah terluka. Malah luka itu masih mengalir pedih tanpa dirawat.

Sememangnya hidup ini amat luar biasa aneh dalam jangkaan yang tidak terjangka. Hari ini mungkin saja terbina seratus persahabatan tapi pada saat yang sama juga hubungan itu boleh terputus tanpa sebarang alasan. Aneh bukan.. apabila ada hubungan yang terjalin tanpa nama tapi tetap kukuh sehingga ke akhir hayat. Sedangkan hubungan yang terjalin atas nama persahabatan, perkahwinan atau berikan apa sahaja nama.. mampu terlerai sepantas kerdipan mata.

Segalanya dalam rahsia Allah yang tidak terjangkau oleh fikir. Yang terbaik.. berikanlah kemaafan walau tanpa dipinta kerana kita mungkin lebih memerlukannya pada saat yang tidak terfikir oleh kita.

..kerana kemaafan juga adalah sebahagian daripada kehidupan. Ya, cuma sebahagian. Namun sebahagian itulah yang akan menjadikan hidup ini lebih bermakna...