~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Tuesday, June 23, 2020

Kisah Yang Didiamkan : Luka Tak Didendang

Kegagalan menjadikan dia semakin cekal. Kedewasaan melahirkan rasa tabah. Dia terus bangkit daripada luka yang tidak berparut.

Sesungguhnya Tuhan itu Maha Adil. Jiwa yang terluka oleh kegagalan kembali bangkit demi untuk membuktikan setiap manusia berhak untuk berdiri pada jalan mereka sendiri. 

Dia percaya hidup ini masih punya pilihan. Lalu dia memilih untuk tidak mengalah. Dia memilih untuk terus melangkah. Biarpun langkahnya tidak dipandang gah namun dia nekad. Itu adalah pilihannya. Muktamad.

Lantas dengan yakin, dia teruskan perjuangan  meredah gelora dan lautan kehidupan demi segenggam ilmu. Biarpun jalan yang dipilihnya tidak mudah tapi dia tetap yakin. Membalut luka dalam rasa terpinggir itu lebih payah. Membuang rasa rendah diri itu jauh-jauh adalah jauh lebih sukar.  

Mendaki tangga-tangga kedewasaan jauh di perantauan telah mengajarnya untuk mengenal diri. Di situ dia perlahan-lahan belajar tentang erti persahabatan.. tentang makna kejujuran.. tentang rasa rindu juga tentang rasa terkilan.

Rindu yang disimpan jauh-jauh ... Namun sedikit demi sedikit, rasa rindu itu dilepas bebas. Dibiarkan terbang semahunya dan tidak lagi diizinkan singgah di hatinya walau sekali.

Dia tahu dirinya perlu kuat walau kadang-kadang jiwanya hampir rapuh. Namun dia tahu dan tetap yakin.. Tuhan sentiasa membalut kerisauannya dengan selimut kasih-Nya.

Dia berpegang pada kata-kata.. " Apabila kau letakkan seluruh percayamu pada DIA.. kau tidak akan sekali-kali ditinggalkan sendiri."     

Berpegang pada keyakinan itu juga, dia betah berjalan sendirian pada lewat malam hanya untuk memenuhi tuntutan ilmu yang perlu dilangsaikan tanpa syarat. Dalam gelap yang berselang samar cahaya lampu di pinggir jalan, dia terus melangkah mencari tempat berteduh untuk malam itu. 

Dan malam itu Tuhan tetap memeliharanya dengan penuh kasih. Apa pun mungkin sahaja terjadi kepada dirinya. Tiada siapa yang tahu atau ambil peduli. Namun Tuhan telah menutup mata-mata bukan mahram yang ada di situ daripada memandangnya. Dia seakan tidak wujud pada pandangan mereka.   

Sepenuhnya... dia dalam lindungan kasih Tuhannya.

*************

"Dalam selimut kasih-Nya
luka tak didendang itu
biarkan saja hilangnya 
bersama 
 sebuah kedewasaan."

~ AzmaMurni Aziz ~

***********  
 

Monday, June 22, 2020

Kisah Yang Didiamkan : Kegagalan Sempurna

Hari ini aku ingin ceritakan tentang sebuah kisah. Cerita tentang kisah yang telah lama didiamkan. Kisah ini tidak pernah kuceritakan pada kata-kata. Kisah ini kusimpan sendiri dalam diam.

Kisah tentang seorang anak kecil yang sering merasakan dirinya tidak punya apa-apa berbanding rakan sebaya yang lain. Dia adalah anak kecil yang mungkin tidak akan singgah dalam ingatan sesiapa kerana keberadaannya tak lebih umpama bebayang. Ada tidak menambah. Tiada juga tidak mengurangkan apa-apa.

Anak kecil itu membesar dengan rasa rendah diri. Amat sukar untuk dia bersuara di dalam dunia kecilnya. Dia membesar tanpa punya memori indah pada zaman persekolahannya. Tiada yang manis untuk dikenang dalam zaman kecilnya.

Entah mungkin disebabkan oleh sikapnya yang hanya diam dalam dunia kecilnya atau entah apa sebab sebenarnya.. dia sering kecundang dalam ujian. Mungkin bagi anak kecil itu.. kertas-kertas ujian itu terlalu membebankan fikirannya.

Akhirnya anak kecil itu membesar dalam kegagalan yang sempurna. Itulah yang ditanamkan dalam difikirannya oleh manusia dewasa di sekelilingnya apabila anak kecil itu dewasa dalam alirannya sendiri. 


*************

 Anak kecil itu
dewasa dalam jiwanya yang halus
dewasa dalam anggapan
kegagalan itu cukup sempurna
untuk terus bangkit dan berjuang
dalam dunia kedewasaannya.

Dewasa untuk terus
melakar tinta bicara
dalam bahasanya sendiri
membina dunianya sendiri
untuk didakap penuh cinta.

~ AzmaMurni Aziz ~

************

Sunday, May 17, 2020

Rindu

 


Rindu!?
Mungkin itu bukan perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan garis pemisah yang begitu lama antara keberadaan dan penyepian.

Rindu untuk kembali menulis. 
Ya, rindu yang amat dalam. Namun rasa rindu itu cepat sahaja menghilang dibawa arus masa. Semakin lama rasa rindu itu menjadi kian kabur seperti bebayang yang sedikit demi sedikit menghilang apabila cahaya mentari mula mengundurkan diri.

Ah.. rindu dalam penafian atau rindu dalam pencarian tidak ada banyak bezanya. Kedua-duanya tentang jarak dan masa.. tentang rasa kehilangan.



"Dan tahun-tahun itu pun berlalu
Meninggalkan momen terindah
Daripada cebisan kenangan
Dan kita pun tidak lagi
Membilangnya dalam sedar..."


~ AzmaMurni Aziz ~
24 Ramadan 1441H

Saturday, June 29, 2019

~ Nukilan 27 Jun 2019 ~


Hari ini kita bicara tentang jati diri
dengan mesra kita menyantuni si cendekiawan
sedang semalam dan malam-malam sebelumnya
kita lantunkan bicara berhias megah
kita tatang, kita julang setinggi awan
kita dakap bahasa penjajah erat ke dada.

Hari ini
kita susun bait demi bait, kata demi kata
tinggi nilai dan luhurnya bahasa ibunda
sedang dalam petah bicara
sirih dan gagang bersatunya tiada
lalu tanpa sedar
lontaran bahasa tiada lagi
mendukung bangsa.

~ Qasih ~


Friday, April 19, 2019

~ RaPuH ~

Satu ketika.. di mana jiwa menjadi begitu rapuh tatkala rasa tidak dihargai menguasai diri. Rapuh emosi.. rapuh jiwa.. saat tersedar begitu banyak masa diperhambakan bukan untuk diri tapi untuk tidak dihargai.

Saat dan detik di mana diri begitu teruji.. tentang kesetiaan.. tentang kecintaan. Setelah lebih sedekad menanam kecintaan dan menyuburkan kesetiaan, akhirnya terpaksa menggenggam kebenaran tentang kewujudan diri yang tak lebih umpama bayang. Wujud dalam tiada dan hilang dalam ada.

Hati begitu ingin melangkah meninggalkan segala kesetiaan itu cukup di situ. Jiwa begitu ingin membawa pergi kecintaan ini ke daerah lain namun kaki seakan masih terantai erat di situ. 

Perlukan lebih daripada secangkir kesabaran untuk memujuk diri.. meyakini hati bahawa Allah miliki sebab yang terbaik untuk tetap meletakkan diri ini bertahan di situ.

~ Qasih ~