~ Tuhanku, permudahkanlah segala urusanku. Limpahi daku dengan rahmat dan keredhaanMu. Berikanlah kekuatan untukku menempuh segala ujian daripadaMu melalui kesabaran yang tiada terbatas. Tetapkanlah imanku hanya pada jalanMU.. di dunia dan di akhirat.. amiin.. ~

Sunday, October 10, 2010

~ Berpaling SeTiA ~

Satu ketika
kupilih untuk menggenggam setia
kerana kukira
setia itu menghadiahkan bahagia.

Lalu aku tetap kekal di situ
menghulur seluruh jiwa
menelan segala perit dan nanah
yang lukanya berbekas
di hati
dalam pedih yang tak terpandang mata.

Rupanya
tidak semua manis itu
akan bersambut madu

kerana pandang yang berbeza
dan sangka yang tak sudah
kilauan kaca itu
tetap jua menjadi junjungan.

Kini, sedar pada yang nyata
ku memilih melepaskan setia
ku memilih untuk memilih
menjadi cahaya yang menerangi
dan tidak sesekali menjadi dian
berkorban dan terkorban
hilangnya tidak be
rbekas.



Friday, October 1, 2010

~ Antara masa, detik dan waktu itu.. ~


Seketika mencari tenang dengan kembali ke tempat dulu yang pernah ditinggalkan.. terasa rindu itu begitu menggamit walau segalanya bukan seperti dahulu lagi. Bertemu, bersua dan bertukar bicara bersama teman lama bagai mengubat segala rindu. Ahh.. betapa masa begitu cepat berputar dan detik tidak pernah menunggu untuk sesekali membayang kenang.


Bicara mesra bersama teman yang menyingkap kenangan lalu.. terasa benar mengajak sedar menjenguk nyata. Lalu tanpa pinta hati berdetak.. menyesalkah kerana memilih untuk menggenggam hari ini..?


Ya Allah.. tidak seharusnya aku bertanya soal itu. Telah Engkau tentukan yang terbaik untuk setiap hamba-Mu. Istighfar jiwa ini atas lalai yang tak sudah. Seharusnya aku bersyukur dikurniakan rezeki ini.


Namun kerap kali sebaris kata berbayang di minda.. DIA tidak akan mengubah nasib kita selagi kita sendiri tidak berusaha untuk mengubahnya. Lantas.. perlukah kuuraikan genggaman itu kerana nyata sekali genggaman itu tidak mampu untuk terus menyokong rebahku. Malah teduhan itu juga nyata sekali hanya mampu melindungi gerimis.

Masa terus berputar.. beredar dan semakin menjauh takkan sesekali berpaling. Dan antara putaran itu.. satu yang kufahami.. masa tidak pernah menunggu. Begitu juga diriku.



Saturday, September 25, 2010

~ Tuhan masih menguji... ~

Terlalu banyak yang terjadi sehingga aku hampir tidak lagi mengenali diri sendiri. Mungkin juga telah terlalu banyak yang terpendam sehingga pendam itu menjadi luka dan pedih yang sukar untuk dipulihkan walau oleh masa.

Aku bagai kehilangan diriku yang dulu. Entah ke mana hilangnya... Aku cuba mencermin diri, mencari di mana salahnya. Tiba-tiba aku m
enjadi begitu kejam tapi akhirnya rasa itu memenjarakan diriku sendiri. Syukurlah aku masih punya empati.. walau rasa itu hampir dirampas tanpa relaku.

Pernah aku bicara.. kadangkala berbuat jahat itu perlu untuk menyedarkan kiranya berbuat baik itu sudah tidak mampu lagi untuk difahami... Namun segala-galanya perlu berpada-pada agar tidak memakan diri.

Sememangnya aku perlukan waktu untuk
muhasabah diri agar segala yang kuputuskan ternoktah pada titik yang sepatutnya.. agar tidak akan ada lagi hati yang tercalar dan rasa yang terguris oleh tindak yang terpendam.



Friday, September 17, 2010

~ Sesungguhnya DIA Maha Mengerti.. ~

Masih tinggal beberapa hari lagi untuk kembali kepada rutin biasa. Kembali ke tempat itu menggalas tanggungjawab yang belum selesai. Namun entah ke mana hilangnya semangat itu. Ketika terakhir kali kaki ini ingin melangkah meninggalkan tempat itu.. terasa langkah ini begitu senang untuk diatur satu-persatu. Terkadang sendiri tertanya.. ke mana hati ini telah membawa rindu itu pergi...

Bagai soal yang tidak pernah berjawab.. mungkin juga hati telah nekad membuat pilih dalam mencari jalan yang lain, rimbunan lain yang mampu meneduhkan. Lalu kasih yang beralih ini moga dipermudahkan oleh-Nya kerana sememangnya meletakkan kasih dan setia pada yang tidak pernah menghargai hanya akan mencalar rasa yang mengguris pedih.

Namun.. pada segalanya.. akur pada yang telah tertulis jua redha pada apa yang tersirat kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Tika kita meminta bahagia,
DIA datangkan pedih sebuah ujian.

Saat kita menginginkan senyuman,
DIA berikan kita air mata.

Tatkala kita meminta pertemuan,
DIA merencanakan perpisahan..

kerana sesungguhnya DIA Maha Mengerti..
Di sebalik pedih ujian itu adalah tenang yang mendamaikan.

Pada air mata itu adalah bias kebahagiaan yang tidak sekadar senyuman.

Dan DIA merencanakan perpi
sahan
kerana di situlah bermulanya sebuah pertemuan.


Thursday, September 16, 2010

~ Luahan Tinta ~

Berteleku di hadapan papan kekunci sambil mata merenung kosong aksara-aksara bagai kehilangan segala kata-kata. Di mana harus dimulakan sebuah bicara..? Bagaimana harus meluahkan sebaris kata.. apabila tidak ada yang berhujung mahupun berpangkal.

Aku ingin terus menulis seperti dahulu. Melakar kata demi kata namun kekangan masa membatas segala. Lalu rindu itu terus tertinggal di situ.. mendambakan belaian kata-kata yang semakin menjauh.. juga kesihatan yang seakan tidak mengizinkan.

Benarlah.. saat Allah pinjamkan kita kesenangan, kebahagiaan mahupun kesihatan yang baik.. kita seakan terbuai dalam nikmat rahmat-Nya hingga hampir terlupa untuk bersujud menuturkan ucap kasih pada cinta-Nya untuk kita sebagai hamba-Nya. Lalu
tika Allah mendekatkan kasih-Nya pada kita melalui ujian dan dugaan, kita seakan terpukul dalam khilaf sendiri. Moga kesedaran itu tidak pernah terlambat kerana sesungguhnya masa tidak pernah berhenti berdetik.


Sunday, August 22, 2010

~ Belajar Menghargai.. ~

Tiada kata yang mampu dilakar. Tiada ungkap bicara yang dapat tulis. Hanya degup rasa yang sukar dimengerti oleh bahasa tinta. Sesungguhnya bisik alam pada Ramadan kali ini punya maknanya sendiri. Gemersik rindu yang singgah di hujung kesenyapan itu juga memberi tenang yang sukar untuk ditafsir.

Sungguh.. hidup ini punya jalan dan arah yang kada
ngkala bersimpang, berduri, dan ada masanya jalannya lurus penuh tenang. Yang nyata setiap langkah yang kita atur membawa kita pada simpang yang bernama pilihan. Pastinya kita perlu memilih kerana perjalanan hidup ini masih terlalu amat panjang.

Walaupun apa yang tergenggam pada esok harinya tika mata ini kita buka.. tidak tersurat pada akal juga tidak tersirat pada fikir. Hanya kematangan yang lahir dari setiap luka itulah yang akan menjadi penyuluh memberikan cahaya di sepanjang perjalanan. Hanya jika kita bijak menghargai setiap kesilapan itu sebagai khilaf yang bukan untuk dicemuh tetapi salah yang perlu dijadikan guru agar tidak terulang kesilapan yang sama...

Tuesday, August 10, 2010

~ Mencari yang HiLaNg ~

Kala kata tidak memberi makna.. kebisuan menjadi penyambung dalam satu ikatan persahabatan. Bicara tidak lagi menjadi utama. Hanya tercari-cari khilaf diri hingga renggang menanti belah.

Sungguh.. tidak pernah tersangka.. noktah ya
ng tertitik seakan telah sampai ke hujung. Hayat satu dekad menyulam dan menganyam temali persahabatan bagai tidak punya sebarang nilai. Ranjau, duri, dan warna-warna kehidupan yang memberi tenang dan memaknai ketabahan bagai terpalit segalanya dengan hitam yang tidak berwarna. Yang tertinggal hanya warna-warna pudar dan suram yang telah kehilangan tawa dan senda.

Entah di mana khilaf yang tersirat. Tak mampu untuk dirungkai k
erana bicara telah kehilangan suara. Tiba-tiba diam menjadi debat yang hebat.. dan entah mengapa.. hati ini menjadi begitu keras... Atau mungkin telah terlalu pasrah dalam mencari khilaf diri, menutur ungkap maaf. Atau mungkin saja fikir ini tidak lagi berkira kalau esok langkah ini tidak lagi berteman seperti dulu.. kerana diri ini telah terlalu letih dan hati ini telah terlalu redha.. dengan segala ketentuan-Mu.. Ya Allah...

Friday, July 30, 2010

~ Tinta Jiwa ~

Bila hati mendekati cinta.. memberi biarlah bukan pada segalanya. Bila kasih berbicara rindu.. simpankan sedikit sayang itu buat dirimu.. agar bila cinta dan kasih tidak lagi bersatu mengintai rindu.. dirimu masih miliki sedikit sayang untuk terus menemani di kala tawa tidak lagi menghias hari...


Saturday, July 10, 2010

~ Tentang Pilihan ~

Berkira tentang masa lepas dan membilang masa depan membuat malam terasa begitu menghimpit sunyi. Segalanya berjalan pada jalannya. Cuma kadangkala antara ruang-ruang yang tertinggal itu bagai ada kekosongan yang tidak pernah terisi.

Hakikat.. hidup ini tidak mudah. Juga tidak
begitu susah. Cuma ada masanya kita perlukan sedikit keberanian untuk berubah dan melangkah mencari teduhan yang mampu meredakan gusar dan memberikan sedikit tenang. Walau pilihan tentunya di tangan sendiri tapi sedikit berani itu perlu untuk terus melangkah agar tidak dihambat sesal kerana setiap tindak itu pasti beriring dengan risiko yang tidak terjangka.

Lalu soalan yang sama diulang tanya pada diri.. inikah saatnya memilih untuk mencari teduhan lain yang mampu meneduhkan? Atau perlukah ini dinoktahkan di sini dan jadikan teduhan ini hentian yang terakhir? Lalu terus membiarkan diri basah walau dalam renjis gerimis?

Tuesday, June 15, 2010

Lukisan JiWa

Setiap orang punya cara apabila berhadapan dengan masalah atau persoalan hidup. Cara untuk menangani, juga cara untuk menghadapinya. Bagi diriku, tinta merupakan satu medium yang paling dekat dengan hati dan rasa. Pena ialah temanku yang paling akrab untuk berkongsi soal jiwa.

Aku tidak menulis sekadar meluahkan tapi tiap abjad itu punya suaranya sendiri. Suara hati, suara minda dan suara jiwa yang bersatu dalam acuan kematangan yang kukutip dalam tiap tawa dan lara yang singgah di sepanjang perjalanan hari.

Bila aku menjadi pendebat yang bisu dalam pertelingkahan hidup yang seakan tidak ada akhirnya.. di sini tempat aku berlapang hujah berperisai kata. Di sini teduhanku tatkala hati tersayat oleh bisa nista.

Genggaman aksara, bait kata yang terukir bagai teralirnya semangat kental yang tidak mudah menyerah dan berserah semata. Segala rasa yang kelat dan pahit itu kutumpahkan di sini. Kucoretkan dan kuwarnakan mengikut alunan penaku sendiri. Kususunkan dan kubangunkan keyakinan itu dengan baris demi baris kata-kata yang lahir dari hati, jiwa dan rasa.